Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kepentingan pengaplikasian sistem syura?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya”

ٍ(Surah al-Syura: 38)

Begitu juga dengan firman-Nya:

فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: Oleh kerana itu maafkanlah kesalahan mereka; pohonlah keampunan buat mereka; dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan keduniaan. Dan apabila engkau telah membulatkan tekad untuk melakukan sesuatu selepas bermesyuarat, maka laksanakanlah ia dan bertawakallah kepada Allah

(Surah Ali-Imran: 159)

Sistem syura merupakan tonggak penting bagi sesebuah organisasi, masyarakat, apatah lagi sebuah negara. Ia diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA serta diwarisi oleh umat Islam berkurun lamanya. Sistem syura amat penting untuk dikaji, difahami dan diaplikasi bagi memastikan perjalanan organisasi, masyarakat serta sistem kenegaraan hari ini sentiasa berada dalam landasan Syarak.

Menurut Ibn al-`Arabi, maksud syura ialah; “Suatu perkumpulan/mesyuarat terhadap suatu perkara untuk meminta pandangan setiap daripada ahli mesyuarat tersebut dan mengeluarkan/menghasilkan sesuatu daripadanya.”

Ulama kontemporari seperti Syeikh Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris pula telah mendefinisikan syura seperti berikut: “Proses bertukar pendapat yang pelbagai dan sudut pandang berbeza terhadap suatu isu yang mana ia diselidiki dan dikaji oleh para sarjana cendekiawan sehingga sampai kepada suatu keputusan yang tepat, ataupun yang paling tepat dan terbaik, untuk beramal dengannya sehingga dapat merealisasikan natijah yang terbaik.”

Daripada pandangan ulama yang dinyatakan, jelaslah bahawa syura merupakan suatu proses perbincangan yang melibatkan para ilmuwan atau pakar suatu bidang tertentu terhadap suatu perkara tertentu bagi mendapatkan natijah keputusan yang terbaik.

Syura disebut dalam Al-Quran pada tiga tempat iaitu Surah al-Baqarah ayat 233 yang menceritakan berkenaan syura dalam isu kekeluargaan yang merupakan asas (lubnah) pembentukan ummah, dalam Surah Syura ayat 38 yang menerangkan bahawa syura merupakan salah satu daripada sifat orang beriman, serta dalam Surah Ali ‘Imran ayat 159 yang memberi arahan kepada orang Islam supaya melakukan syura.

Islam mengiktiraf syura sebagai salah satu tonggak sebuah kehidupan Islam. Pemerintah dan umat Islam perlu saling bertukar pandangan dan saling nasihat menasihati. Ulama juga meletakkan syura sebagai salah satu sistem yang amat penting dalam pemerintahan Islam bagi memastikan keharmonian, kekuatan dan kestabilan sesebuah negara, institusi atau organisasi. Betapa tinggi kepentingannya sehingga Allah SWT menamakan salah satu Surah dalam al-Quran sebagai Surah al-Syura.

Melalui surah ini, Allah SWT telah menyatakan beberapa sifat orang beriman yang mana salah satunya ialah “urusan mereka berlandaskan syura”, setanding kedudukannya dengan ibadah solat, sedekah serta menjauhi perkara haram. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/503-506)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply