#4273: Kalimah Wajilat disandarkan kepada Qulub

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah signifikan kalimah wajilat yang disandarkan kepada qulub?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًۭا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah; hati mereka menjadi gementar dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya; keimanan mereka bertambah dan mereka bertawakal hanya kepada Tuhan mereka.

(Surah al-Anfal: 2)

Allah SWT mengemukakan pula beberapa sifat terpenting golongan Mukmin yang dirakamkan dalam kumpulan ayat ini. Sifat tersebut adalah apabila disebutkan nama Allah SWT kepada mereka, hati mereka bergetar serta bertambah takut kepada-Nya, tunduk serta berasa gusar akan balasan buruk daripada-Nya. Selain itu, apabila mereka mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, mereka membenarkan segala kandungannya, menghayati pembacaannya, serta meyakini bahawa al-Quran datang daripada Allah SWT. Dengan demikian, keimanan mereka semakin bertambah. Seterusnya, mereka tidak bergantung harap melainkan hanya kepada Allah SWT dan juga tidak takut melainkan hanya kepada-Nya. Menurut Abu Hayyan, berdasarkan ayat ke-2 daripada Surah al-Anfal, terdapat tiga peringkat golongan beriman, iaitu bermula dengan maqam khauf (takut), disusuli dengan maqam pertambahan keimanan, seterusnya maqam tawakal, yakni pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/132)

Signifikan Pemakaian Kalimah (وَجِلَتْ) yang Disandarkan kepada Hati (قــُـلُوبٌ)

Pada ayat ke-2 daripada Surah al-Anfal, Allah SWT menyebutkan salah satu ciri hati golongan beriman adalah (وَجِلَتْ) yakni dia gementar takut lantaran mendengar nama Allah. Manakala pada ayat lain pula, Allah SWT menyatakan ciri hati golongan yang beriman adalah berbentuk ketenangan sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Ra‘d, ayat ke-28 melalui firman-Nya:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

Maksudnya: “Mereka ialah orang-orang beriman dan hati mereka tenang dengan mengingati Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati manusia akan tenang.” (Surah al-Ra‘d: 28)

Kedua-dua situasi hati ini secara zahirnya dilihat seakan-akan kontradik di saat mengingati Allah SWT. Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan bahawa ketenangan hati berlaku ketika mencapai keyakinan yang mendalam dengan pengetahuan tauhid yang kukuh.  Manakala ketakutan yang lahir daripada hati pula adalah disebabkan takut akan balasan Allah SWT. Kedua-dua situasi hati pada dua ayat yang dinyatakan di atas dapatlah dihimpunkan dan diharmonikan berdasarkan firman Allah SWT:

ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ ٱلْحَدِيثِ كِتَـٰبًۭا مُّتَشَـٰبِهًۭا مَّثَانِىَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَهْدِى بِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنْ هَادٍ

Maksudnya: “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang mempunyai ayat-ayat yang sama dari sudut kebenaran dan keindahan, serta berulang padanya pelbagai perkara. Apabila mendengarkannya, bergementarlah kulit orang yang takut kepada Tuhan mereka, kemudian kulit dan hati mereka menjadi tenang dan lembut mengingati Allah.”

(Surah al-Zumar: 23)

Berasaskan ayat di atas, terdapat dua keadaan orang yang beriman iaitu gementar lantaran takut akan azab Allah SWT, seterusnya hati mereka menjadi tenang ketika mengingati Allah SWT dan mengharapkan pahala daripada-Nya. Justeru, pemakaian kedua-dua kalimah tersebut dalam menggambarkan kondisi hati saat mereka mendengar nama Allah sememangnya bertepatan dengan konteks ayat dalam bab mengingati Allah SWT, sekaligus menyaksikan tiada pertembungan antara ayat-ayat al-Quran. Hal ini turut memaparkan keluasan bahasa al-Quran yang bermukjizat. Usaha golongan orientalis dan golongan anti-Islam yang cuba menimbulkan kekeliruan dengan cara mengemukakan ayat-ayat al-Quran yang seakan-akan kontradik pada zahirnya pasti menemui kegagalan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/133-134)

Sesungguhnya, Allah SWT menjamin kedudukan al-Quran daripada dinodai sebagaimana firman-Nya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami yang telah menurunkan al-Quran dan hanyalah Kami pemeliharanya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Kesimpulan

Sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa bermuhasabah mengenai kedudukan iman kita. Tanda hati mati dan keimanan kian pudar dalam jiwa seseorang ialah apabila hatinya tidak lagi takut dan tidak lagi bergetar apabila nama Allah SWT disebut. Malah, mereka juga tidak berasa senang apabila mendengar ayat-ayat al-Quran dibaca.

Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadi seorang Mukmin yang benar-benar memenuhi ciri-ciri terpenting golongan beriman sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran kitab suci-Nya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.

Wallahua`lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *