Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, benarkah tiada paksaan dalam agama dan boleh terangkan tafsir ayat 256? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sejak awal Islam, Rasulullah SAW tidak pernah memaksa mana-mana bukan Muslim untuk memeluk agama Islam. Para sahabat yang memeluk Islam, menganutnya atas kehendak hati mereka tanpa ada sedikitpun paksaan. Ini kerana pemaksaan bertentangan dengan prinsip dasar Islam

Berbalik kepada persoalan di atas kami katakan beragama adalah fitrah semulajadi manusia. Kerana itu secara automatik ia adalah menjadi hak kepada mereka. Selaku hak, sudah semestinya tidak siapapun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama itu. Ini jelas disebut oleh Allah SWT sendiri  dalam surah al-Baqarah ayat 256:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Berdasarkan panduan daripada al-Quran dan perbuatan Nabi SAW. sendiri, Islam menggunakan pendekatan dakwah dan bukan paksaan, lalu diseru manusia kepadanya dengan cara yang baik dan menerusi nasihat yang berguna.

Perkara ini ditegaskan oleh Ibnu Kathir yang menyatakan, “Tidak ada yang dipaksa untuk memeluk agama Islam kerna telah jelas dan tegas tanda dan bukti kebenaran Islam sehingga tidak perlu lagi memaksa seseorang untuk memeluk agama Islam. Orang yang diberi hidayah oleh Allah SWT untuk menerima Islam, lapang dadanya dan dicerahkan pandangannya sehingga ia memeluk Islam dengan alasan yang pasti. Namun orang yang hatinya dibutakan oleh Allah SWT dan ditutup hati serta pandangannya, tidak ada manfaatnya memaksa mereka untuk masuk Islam” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/310)

Senada dengan beliau, Ibnu Jarir al-Tabari juga berkata: “Sungguh telah jelas antara kebenaran dan kebatilan dan telah jelas sudah sisi kebenaran bagi para pencari kebenaran, malah kebenaran ini telah jelas berbeza dari kesesatan. Sehingga tidak perlu lagi memaksa para ahli kitab dan orang-orang kafir yang dikenakan jizyah untuk memeluk agama Islam, agama yang benar. Orang-orang yang berpaling dari kebenaran ini setelah jelas baginya, biarlah Allah SWT yang mengurusnya. Sungguh Allah SWTlah yang akan mempersiapkan hukuman bagi mereka di Akhirat kelak.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 4/551)

Ibn Kathir juga menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu (قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ) “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/682)

Ibn ‘Asyur berkata: “Setelah disebutkan ayat kursi, disebutkan pula ayat ini kerana kesesuaian kandungannya dengan pengisian ayat-ayat yang lepas berkaitan bukti-bukti keesaan dan kebesaran Allah, serta penyucian-Nya dari segala kesyirikan yang dilakukan berbagai umat. sehingga selayaknya ayat ini membimbing orang-orang berakal ke arah penerimaan agama ini yang jelas aqidahnya dan lurus syariatnya, tanpa ada paksaan.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/499)

Begitu juga Abdullah Yusuf Ali di dalam bukunya The Meaning of the Holy Quran, menafsirkan bahawa pemaksaan tidak sesuai dengan agama, kerana Pertama, agama berdasarkan pada keyakinan dan kehendak dan agama tidak berguna apabila dijalankan dengan fikiran dan hati yang dipaksa. Kedua, kebenaran dan kesalahan telah begitu jelas ditunjukan melalui kasih sayang Tuhan sehingga tidak perlu ada keraguan. Dan Ketiga, perlindungan Tuhan berlangsung terus menerus dan kasih sayang Tuhan adalah memberi petunjuk kepada manusia dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Ternyata bahawa tidak memaksa orang kafir untuk memeluk  Islam bukan bererti reda terhadap kekafiran mereka, bukan membenarkan semua agama yang ada, dan bukan menghilangkan status ‘kafir’ daripada diri mereka sebagaimana didakwa oleh para pluralis.

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Wahai Rasul, jikalau Tuhanmu menghendaki untuk menetapkan keimanan manusia semua terhadap risalahmu dalam satu waktu, tentulah semua orang di muka bumi akan beriman seluruhnya. Namun Allah SWT tidak melakukannya supaya mereka memilih. Keimanan dan perbuatan itu sesuai dengan kehendak Allah SWT, maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia  supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman kepada risalahmu yang mana Allah tidak menghendakinya? Itu bukanlah dalam ruang lingkup kekuasaanmu  dan kamu tidak lain hanya menyampaikan (Lihat al-Wajiz, hlm. 221)

Sebagai kesimpulannya kami katakan Islam memberi kebebasan kepada individu bukan Muslim untuk memilih anutan dan pegangannya. Walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama oleh masyarakat bukan Muslim. Oleh yang demikian jelaslah kepada kita

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’la

Leave a Reply