Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh terangkan kepada kami beberapa pengajaran dan ibrah yang terkait dengan nabi Allah Musa AS? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَىٰ وَلْيَدْعُ رَبَّهُ ۖ إِنِّي أَخَافُ أَن يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَن يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ ‎﴿٢٦﴾‏ وَقَالَ مُوسَىٰ إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُم مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لَّا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ

Maksudnya: Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi”. Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu – dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!”

(Surah Ghafir:26-27)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa faedah daripada perkataan Nabi Musa A.S dalam doanya sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam Fakhrurrazi anataranya ialah:

  • Perkataan Musa A.S ( إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُم ) yang menggunakan lafaz (إلى )menunjukkan kepada pernyataan untuk menguatkan ( التأكيد ). Keadaan ini menunjukkan bahawa cara yang paling berkesan untuk menolak keburukan adalah dengan bertawakal kepada Allah SWT.
  • Memohon perlindungan daripada Allah SWT menjaga seseorang manusiadaripada syaitan jin dan manusia. Jika seseorang muslim berkata (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ), maka Allah SWT akan menjaga agamanya dari was-was syaitan. Demikian juga jika seseorang muslim berkata (أعوذ بالله) maka Allah SWT akan melindunginya dari ketakutan.
  • Perkataan Musa A.S ( بِرَبِّي وَرَبِّكُم ), menunjukkan bahawa, apabila tiada pelindung melainkan Allah SWT sahaja, maka menjadi kewajipan bagi orang yang berakal untuk menolak segala keburukan dengan memohon penjagaan daripada Allah SWT, kerana Dia-lah sebaik-baik Pelindung dan Pemelihara.
  • Perkataan Musa A.S ( وَرَبِّكُم), padanya terdapat gesaan kepada kaumnya supaya mengikuti jejak langkahnya yang memohon perlindungan kepada Allah SWT.
  • Nabi Musa A.S tidak menyebut nama Firaun dalam doanya, bagi menjaga haknya yang memeliharanya sewaktu kecil.
  • Sekalipun Firaun berazam untuk membunuh Musa A.S, tiada faedah mendoakan kebinasaan dengan menyebut namanya secara langsung. Ini adalah kerana, lebih baik memohon perlindungan daripada Allah SWT terhadap semua yang kufur dan bersifat takabbur. Doa sebegini akan merangkumi semua yang memusuhi Musa A.S sama ada musuh yang zahir mahupun yang tersembunyi.

Kesimpulan daripada doa Nabi Musa A.S ini ialah, sebaik-baik cara menolak kejahatan pihak musuh dan menangkis perancangan jahat mereka ialah memohon perlindungan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Razi, 27/56-57)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Leave a Reply