Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat firaun baru dalam kalangan umat manusia di sepanjang zaman? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maksudnya: Firaun berucap di hadapan kaumnya dengan berkata, “Wahaikaumku! Bukankah aku pemilik kerajaan Mesir? Bukankah sungai-sungai ini mengalir di kaki istanaku? Tidakkah kamu semua melihat kerajaanku ini?”

(Surah al-Zukhruf: 51)

Firman Allah lagi:

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Firaun telah bermaharajalela di atas muka bumi dengan menjadikan penduduknya berpecah belah kepada berbagai-bagai puak, menindas sebahagian daripada golongan mereka, menyembelih anak-anak lelaki dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup. Sesungguhnya Firaun tergolong dalam kalangan mereka yang melakukan kerosakan.

 (Surah al-Qasas: 4)

Sifat melampau Firaun juga berpunca daripada hasutan syaitan. Syaitan memperindahkan perbuatan buruk Firaun agar kelihatan baik. Natijahnya, Firaun terus bermaharajalela di jalan yang batil. Walaupun pembangunan Firaun menjadi sebahagian daripada tamadun Mesir sehingga hari ini tetapi usahanya hanya menempah kerugian dan laknat daripada Allah .(Lihat Tafsir al-Tabari, 6/145)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini Kelompok pemerintah yang zalim seperti Firaun sentiasa ada dalam kalangan umat zaman-berzaman. Allah SWT mengizinkan kemunculan ‘firaun-firaun’ ini namun Allah SWT sama sekali tidak meredhai mereka. Segala kezaliman yang dilakukan bakal membawa kepada penderitaan mereka sendiri.

Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا فِيهَا ۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya:  Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.

(Surah al-’An’am: 123)

Pada zaman era moden, kelompok penzalim ini masih wujud. Mereka dikenali sebagai para pemimpin yang gemar mencabar rakyat dan keadilan. Tangan mereka senantiasa bertindak melumpuhkan hak rakyat, menghalang kemaraan agama, mengaut keuntungannegara untuk kepentingan peribadi dan membunuh rakyat jelata. Lebih malang kelompok zalim yang menjadi ‘firaun baharu’ terdiri daripada tokoh kepimpinan negara umat Islam.Mereka ini sepatutnya mengambil iktibar daripada kehancuran firaun yang tenggelam dalam kuasa yang dimiliki. Sesungguhnya segala kezaliman terutama kezaliman terhadap umat Islam adalah sesuatu jenayah yang besar di sisi Allah SWT. Kelak Allah SWT menyediakan perhitungan yang berat kepada firaun-firaun kecil ini. Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ

Maksudnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

(Surah Ibrahim:42)

Justeru kami kami katakan di era zaman yang serba moden ini juga boleh dikatakan wujud kerana sikap ketidakadilan dan kezalimannya yerhadap rakyat. Betapa ramai pada harini dalam kalangan pemimpin dunia berlaku zalim dan tidak adil terhadap rakyat-rakyatnya. Oleh yang demikian, Sifat angkuh dan zalim  ialah dosa besar yang tidak patut diamalkan umat yang beriman. Kebinasaan golongan kufur adalah disebabkan mereka angkuh iaitu membesarkan kedudukan diri mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply