Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana ciptaan bumi dan atmosphere oleh Allah dengan penuh keunikan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah :

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ ۖ فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam.

(Surah Ghafir: 64)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahwa Bumi merupakan antara makhluk Allah SWT yang terbesar di alam yang berdekatan dengan kehidupan manusia. Imam al-Tabari  menyatakan dalam tafsirnya (6/441) bahawa ternyata manusia dapat hidup dengan selesa dan kukuh di permukaan bumi yang disediakan Tuhan. Tiada kehendak untuk meninggalkan bumi untuk mencari petempatan yang lain.

Sebagai petempatan manusia, Allah SWT menyiapkan bumi dengan sistem yang amat sempurna. Penemuan ilmu sains mengakui bumi menjadi kediaman jutaan spesies khasnya manusia. Bumi juga merupakan satu-satunya tempat kehidupan dalam alam semesta yang diketahui wujud. Kajian saintifik menunjukkan bahawa bumi telah terbentuk kira-kira 4.54 bilion tahun yang lalu. Setengah pengkaji berpendapat bumi dijangkakan telah berusia selama 4,600 juta tahun. Jarak purata bumi dengan matahari adalah sekitar 149.6 juta kilometer. Teori terkenal yang dikaitkan menjadi punca kewujudan bumi dan alam semesta ialah teori Big Bang yang diasaskan Albert Einstein pada tahun 1915. Menurut teori Big Bang, alam ini sebenarnya terdiri daripada suatu jisim besar (Primary Nebula) yang asalnya bercantum padu. Kemudian berlaku satu ledakan mega yang sangat dahsyat antara 10 hingga 20 billion tahun yang lampau. Hasil ledakan berfungsi membentuk segala gugusan bintang dan seterusnya melahirkan bumi yang kerdil.

Dalam bidang geografi, terdapat dua aspek utama, iaitu pertama “geografi fizikal” yang merangkumi bumi sebagai satu sistem, batuan, laut dan lautan, iklim, luluhawa, ekosistem, tumbuhan dan haiwan. Kedua ialah “geografi manusia” yang merangkumi skop ekonomi, kebudayaan, politik, meterologi dan ekologi bumi yang dipengaruhi oleh kegiatan manusia.[1]

Segala aspek geografi bumi ini telah disentuh dalam banyak ayat di dalam al-Quran al-Karim.

Di samping geografi bumi yang menarik, luar bumi mempunyai keistimewaan tersendiri yang diciptakan Allah SWT. Bumi dikeliling lapisan langit pertama yang dikenali sebagai atmosfera. Lapisan atmosfera penting kepada semua hidupan di bumi sebagai penghalang penembusan bahang matahari secara berlebihan ke bumi termasuk menghalang sinaran ultra violet yang boleh membahayakan manusia dan mengawal suhu bumi pada siang dan malam.  Atmosfera dapat dibahagikan kepada tiga lapisan utama:

  • Lapisan Troposfir: Berkedudukan pada 13 hingga 15 km di atas permukaan bumi. Lapisan ini berfungsi menyerap wap air dari permukaan bumi untuk proses penurunan hujan.
  • Lapisan ozon: Berkedudukan pada ketinggian 25 km. Lapisan ini berfungsi memantulkan radiasi berbahaya dan sinar ultraviolet dari ruang angkasa.
  • Lapisan Ionosfir: Berfungsi memantulkan dan mengimbangkan pancaran gelombang radio dari bumi ke bahagian bumi yang lain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/42-43)

Justeru, Sebagai orang yang beriman, kita wajib beriktikad bahawa segala kejadian alam ini tidaklah berlaku secara semula jadi, bahkan ia diatur oleh Allah Yang Maha Bijaksana. Pengkajian terhadap bumi dan alam semesta telah banyak dijalankan para saintis namun tidak semua mahu beriman. Hanya segelintir manusia sahaja yang sedar fenomena alam berlaku dengan tersusun kerana kuasa Tuhan Yang Maha Esa.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahu A’lam

 

Nota kaki:

[1] Kamarul Azmi Jasmi, Sains Asas, Fizik, Kimia dan Geografi dari Perspektif al-Quran, 55.

Leave a Reply