Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah kulit kita menjadi saksi pada hari akhirat kelak ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيَوْمَ يُحْشَرُ أَعْدَاءُ اللَّهِ إِلَى النَّارِ فَهُمْ يُوزَعُونَ (19) حَتَّىٰ إِذَا مَا جَاءُوهَا شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَارُهُمْ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (20) وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدتُّمْ عَلَيْنَا ۖ قَالُوا أَنطَقَنَا اللَّهُ الَّذِي أَنطَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (21) وَمَا كُنتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَن يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَٰكِن ظَنَنتُمْ أَنَّ اللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِّمَّا تَعْمَلُونَ (22) وَذَٰلِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنتُم بِرَبِّكُمْ أَرْدَاكُمْ فَأَصْبَحْتُم مِّنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya:  Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan). (21) “Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu). “Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Kulit merupakan bahagian yang terbesar dalam tubuh manusia dengan beratnya di antara 5-10 kg dan luasnya di antara 1.5 hingga 2 meter persegi. Menurut sains, kulit mengandungi deria rasa selain ia berfungsi sebagai pelindung tubuh manusia daripada suhu panas atau dingin disebabkan perubahan cuaca dan iklim. Namun, ayat 20-21 Surah Fussilat mendedahkan satu lagi fungsi kulit yang belum diketahui manusia iaitu menjadi saksi di atas amalannya semasa di dunia. Dalam mentafsirkan dua ayat ini dan ayat-ayat yang seerti dengannya dalam surah-surah yang lain, terdapat tiga pandangan ulama mengenainya:

  • Allah SWT menjadikan kulit mampu bercakap seperti manusia dan memahami percakapan manusia.
  • Allah SWT menjadikannya bersuara dengan bunyi-bunyi tertentu yang mengandungi makna-makna yang difahami oleh Allah SWT.
  • Allah SWT menzahirkan pada kulit tanda-tanda tertentu yang menunjukkan amalan yang pernah dilakukan oleh manusia. (Lihat Majma’ al-Buhuth, al-Tafsir al-Wasit, 8/696)

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“‏ هَلْ تَدْرُونَ مِمَّ أَضْحَكُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ مِنْ مُخَاطَبَةِ الْعَبْدِ رَبَّهُ يَقُولُ يَا رَبِّ أَلَمْ تُجِرْنِي مِنَ الظُّلْمِ قَالَ يَقُولُ بَلَى ‏.‏ قَالَ فَيَقُولُ فَإِنِّي لاَ أُجِيزُ عَلَى نَفْسِي إِلاَّ شَاهِدًا مِنِّي قَالَ فَيَقُولُ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ شَهِيدًا وَبِالْكِرَامِ الْكَاتِبِينَ شُهُودًا – قَالَ – فَيُخْتَمُ عَلَى فِيهِ فَيُقَالُ لأَرْكَانِهِ انْطِقِي ‏.‏ قَالَ فَتَنْطِقُ بِأَعْمَالِهِ – قَالَ – ثُمَّ يُخَلَّى بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْكَلاَمِ – قَالَ – فَيَقُولُ بُعْدًا لَكُنَّ وَسُحْقًا ‏.‏ فَعَنْكُنَّ كُنْتُ أُنَاضِلُ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: Adakah kamu tahu sebab apa aku ketawa? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda berkata: Aku ketawa disebabkan perbualan di antara Allah SWT dengan hamba-Nya. Si hamba berkata: Wahai Tuhanku, bukankah Engkau telah menyelamatkanku daripada kezaliman? Allah SWT menjawab: Ya. Si hamba berkata lagi: Sesungguhnya aku tidak rela disaksikan melainkan oleh diriku sendiri. Ketika itu Allah SWT berfirman: Hanya dirimu dan malaikat pencatat amalan sebagai saksi di atas apa yang engkau telah lakukan. Lalu ditutup mulutnya dan Allah SWT memerintahkan anggota badannya supaya bercakap. Lalu ia melaporkan apa yang telah dilakukan oleh hamba itu. Kemudian, Allah SWT membiarkanya berbicara dengan anggota badannya. Ketika itu, si hamba berkata kepada anggota badannya: Semoga Allah menjauhkanmu kerana mendedahkan keburukanku. Walhal, aku berhujah semata-mata untuk mempertahankanmu daripada dibakar api neraka.

Riwayat Ibn Hibban (7358)

Justeru, Umat Islam seharusnya menginsafi diri daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ini kerana, ia akan dihisab pada hari kiamat nanti serta anggota-anggota badan akan membuat penyaksian terhadap maksiat yang telah dilakukan. Oleh itu, tiada lagi ruang untuk membela diri kerana anggota-anggota yang dikurniakan Allah SWT tersebut akan menjelaskan kejahatan yang mereka telah lakukan semasa hidup di dunia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Wallahua’lam

Leave a Reply