Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan pada kami khurafat dan tahyul dalam masyarakat, seperti kaum Thamud dan masyarakat arab terdahulu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Khurafat (الخُرَافَةُ) berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Keempat merupakan suatu kepercayaan yang karut, dongeng, dan tahyul. Ia pada asalnya adalah kata pinjaman bahasa Arab, yang bererti cerita-cerita yang mempesonakan yang bercampur dengan perkara dusta. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, 1/237)

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 Ogos 1996 menyimpulkan di dalam Garis Panduan Khurafat Dan Azimat bahawa khurafat bermaksud semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran islam. (Lihat Garis Panduan Khurafat Dan Azimat, hlm. 2)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, kami bawakan terlebih dahulu firman Allah SWT yang menyentuh tentang kisah khurafat oleh kaum Thamud. Disebutkan di dalam al-Furqan:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada kaum Thamud saudara mereka Nabi Soleh, lalu Baginda berkata kepada mereka: ‘Sembahlah Tuhan yang layak disembah iaitu Allah.’ Maka tidak semena-mena mereka berpecah menjadi dua golongan yang berbalah, Mukmin dan kafir.”

قَالَ يَا قَوْمِ لِمَ تَسْتَعْجِلُونَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ ۖ لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Nabi Soleh berkata: ‘Wahai kaumku! Mengapa kamu minta disegerakan azab berbanding minta kebaikan? Alangkah baiknya jika kamu memohon ampun kepada Allah nescaya kamu mendapat rahmat-Nya?’.”

قَالُوا اطَّيَّرْنَا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ ۚ قَالَ طَائِرُكُمْ عِندَ اللَّهِ ۖ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تُفْتَنُونَ

Maksudnya: “Mereka menjawab: ‘Kami ditimpa nasib malang gara-gara kamu dan orang yang bersama kamu!’ Nabi Soleh menjawab: ‘Sesungguhnya nasib malang kamu adalah ketetapan daripada Allah, malah sebenarnya kamu suatu kaum yang sedang diuji’.”

(Surah al-Naml: 46-47)

Antara khurafat yang menjadi budaya kaum Thamud dan masyarakat Arab yang lain ialah menilik nasib berdasarkan pergerakan burung. Islam melarang amalan seumpama itu dan ia daripada syirik. Dalam sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW menjelaskan ciri-ciri orang yang bersih hatinya daripada kepercayaan khurafat melalui sabda Baginda SAW:

هُمُ الَّذِينَ لاَ يَسْتَرْقُونَ، وَلاَ يَتَطَيَّرُونَ، وَلاَ يَكْتَوُونَ، وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: “Mereka ialah orang-orang yang tidak mengamalkan ruqyah yang kufur, tidak merasa malang berdasarkan pergerakan burung, tidak melakukan rawatan dengan menggunakan besi panas dan bertawakal kepada Tuhan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (5705) dan Muslim (220)

Justeru, sebagai orang Muslim, tidak seharusnya menjadikan pergerakan binatang tertentu atau kejadian tertentu sebagai sebab mendapat malapetaka atau selamat daripadanya. Ini kerana agama Islam berteraskan akidah tauhid. Justeru, segala amalan atau kepercayaan yang berunsur kesyirikan adalah ditegah sama sekali. Sebagai contoh, dilarang membuat dan menyimpan patung walaupun untuk tujuan perhiasan atau atas nama kesenian. Begitu juga mempercayai sesuatu objek, benda hidup atau seseorang pembawa malang atau tuah. Hal demikian bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam kerana Pemberi manfaat dan mudarat hanyalah daripada Allah SWT.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ طِيَرَةَ، وَخَيْرُهَا الفَأْلُ. قَالُوا: وَمَا الفَأْلُ؟ قَالَ: الكَلِمَةُ الصَّالِحَةُ يَسْمَعُهَا أَحَدُكُمْ

Maksudnya: “Tidak ada tiyarah (sebarang petanda daripada burung), dan yang paling baik adalah al-fa’l. Mereka berkata: ‘Apakah al-fa’l itu?’ Baginda SAW bersabda: Perkataan yang baik yang didengari oleh salah seorang daripada kalian.”

Riwayat al-Bukhari (5754) dan Muslim (2223)

Malangnya, sebahagian masyarakat melayu masih percaya kepada pengaruh “kenan” atau “badi” dalam banyak perkara antaranya ketika wanita mengandung. Kononnya, jika seseorang yang sedang mengandung pernah mengalami insiden berkaitan dengan binatang tertentu, kelak akan mendapat anak yang cacat dan menyerupai binatang tersebut. Pada 6 Mac 2020 telah dilaporkan satu kejadian dera anak kerana dianggap anak tersebut sebagai pembawa malang. Peristiwa tersebut adalah sebahagian daripada contoh kepercayaan khurafat yang masih wujud dalam masyarakat. Sikap ini bukan sahaja membawa kesan buruk pada diri, malah ia boleh memesongkan akidah seseorang. Kefahaman yang jelas tentang akidah Islam boleh menyelamatkan seseorang daripada tergelincir ke lembah-lembah syirik dan ideologi-ideologi yang menyesatkan.[1]

Kesimpulan

Kami katakan bahawa kepercayaan khurafat adalah perkara yang tidak mempunyai sebarang dalil atau sandarannya. Dan kepercayaan terhadapnya secara melampau boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kancah syirik. Maka hendaklah kita berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat, amalan dan apa jua kepercayaan. Pastikanlah kita mempunyai dalil yang sahih serta sandaran yang kukuh sebelum mula beramal atau mepercayai sesuatu.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahu a‘lam

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.hmetro.com.my/utama/2020/03/551857/dera-anak-dianggap-pembawa-malang. Diakses pada 20 November 2023.

Leave a Reply