Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah lelaki memakai kain batik? Adakah ia dikira sebagai menyerupai perempuan? Ini kerana ada sebahagian tempat, kain batik sememangnya dipakai oleh lelaki terutamanya mereka yang tinggal berdekatan atau di kawasan pantai. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit takrifan dan pengenalan ringkas mengenai kain batik. Batik ialah seni tampak yang dikembangkan oleh orang Jawa dari Pulau Jawa, Indonesia. Seni ini menerakan atau menandakan (“mencanting”) corak pelbagai gaya menggunakan lilin pada kain yang kemudiannya diwarnakan meninggalkan kesan cantingan.

Batik merujuk kepada kain yang mempunyai corak yang terang dan menarik. Batik terdapat dalam pelbagai bentuk, antaranya ialah batik tulis, batik skrin, batik celup, dan batik terap. Batik pesisir pantai Indonesia buatan pulau Jawa mempunyai sejarah akulturasi, campuran budaya asli dan asing. Ia adalah model yang lebih baru berbanding dengan batik pedalaman, dan ia menggunakan lebih banyak warna, walaupun coraknya tidak begitu rumit. Ini kerana batik pedalaman pernah dibuat oleh pakar terpilih yang tinggal di kawasan istana, manakala batik pantai boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.

Batik ialah tradisi pencelupan tahan lilin kain purba di Jawa, Indonesia. Seni batik paling maju di dunia masih dibuat di sana. Di Jawa, semua bahan untuk proses itu sedia ada – kapas dan lilin lebah serta tumbuhan yang menghasilkan pewarna sayuran yang berbeza. Batik Indonesia mendahului rekod bertulis: G. P. Rouffaer berpendapat bahawa teknik itu mungkin telah diperkenalkan pada abad ke-6 atau ke-7 dari India atau Sri Lanka. Sebaliknya, ahli arkeologi Belanda J.L.A. Brandes dan ahli arkeologi Indonesia F.A Sutjipto percaya batik Indonesia adalah tradisi asli, kerana beberapa wilayah di Indonesia seperti Toraja, Flores, dan Halmahera yang tidak langsung dipengaruhi oleh agama Hindu, telah membuktikan tradisi pembuatan batik juga. Batik sangat penting bagi orang Indonesia dan ramai orang memakainya untuk acara rasmi atau santai. Batik biasa digunakan oleh masyarakat Indonesia dalam pelbagai ritual, upacara, tradisi, perayaan, malah dalam kegunaan harian.

Hari ini, Batik telah menjadi sebahagian daripada budaya dunia terutama di Nusantara, dan sejak lama, merangkumi negara-negara Asia Tenggara. Batik Indonesia, yang dianggap sebagai keseluruhan teknik, teknologi, serta pengembangan motif dan budaya batik, telah ditetapkan oleh UNESCO sebagai Warisan Kemanusiaan untuk Budaya Lisan dan Nonbendawi (Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity) sejak 2 Oktober 2009.

Pada masa ini, terdapat corak-corak baru yang dikenali sebagai batik moden bagi memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah-ubah, tetapi batik tradisi turut dihasilkan di samping itu.[1]

Keduanya, pada asasnya, Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya:Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A‘raf: 26)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).

Di antara prinsip-prinsip tersebut ialah menutup aurat, lelaki tidak menyerupai perempuan atau sebaliknya, tidak membawa kepada libas syuhrah (pakaian yang dilihat pelik) dan lain-lain.

Secara umumnya agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kain batik dilihat lebih sinonim dengan kaum wanita, namun ia tidak menafikan terdapat kaum lelaki turut memakai dan menggunakannya dalam aktiviti seharian serta hal itu diterima dalam masyarakat.

Menurut Syeikh Mahmud al-Syalabi, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan, perhiasan hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat. Syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.

Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

(Surah al-A‘raf: 199)[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa lelaki memakai kain batik kerana ia adalah pakaian yang sememangnya dipakai oleh kaum lelaki dan wanita serta diterima mengikut ‘uruf dan adat setempat kita. Ia bukannya pakaian yang hanya dipakai oleh kaum wanita semata-mata. Ini dibuktikan dengan pemakaiannya di sesetengah tempat oleh kaum lelaki terutamanya di kawasan berdekatan pantai oleh para nelayan dan lain-lain.  Justeru, ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة

Maksudnya:Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”

Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).

Sekalipun begitu, kami turut ingin mengingatkan bahawa sekalipun diharuskan bagi lelaki untuk memakai kain batik dalam aktiviti seharian, namun seboleh-bolehnya jauhi dan elakkan penyerupaan dari segi tingkah laku dengan tidak bersikap lemah lembut yang keterlaluan seperti perempuan dan seumpamanya. Hal ini kerana seboleh-bolehnya kita tidak mahu adanya unsur tasyabbuh (penyerupaan) dengan wanita, lalu menyebabkan pemakainya (kaum lelaki) terjerumus ke dalam perkara yang dilarang oleh agama. Selain itu, ia juga sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf mereka yang menghukumnya sebagai penyerupaan dengan kaum wanita.

Begitu juga, semasa kami belajar di Universiti Islam Madinah dahulu, pernah menziarahi rakan dari Filipina yang sama-sama belajar. Budaya mereka memakai kain batik, bahkan diikat seperti perempuan di Malaysia pada zaman dahulu, yang mengikatnya di dada.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Batik. Diakses pada 21 November 2023.

[2] Lihat https://www.elbalad.news/4522909. Diakses pada 11 Julai 2023.

Leave a Reply