#4355: Pembahagian Kufur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah kufur mempunyai beberapa pembahagian? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَسْتَحْىِۦٓ أَن يَضْرِبَ مَثَلًۭا مَّا بَعُوضَةًۭ فَمَا فَوْقَهَا ۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۖ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَيَقُولُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا مَثَلًۭا ۘ يُضِلُّ بِهِۦ كَثِيرًۭا وَيَهْدِى بِهِۦ كَثِيرًۭا ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِۦٓ إِلَّا ٱلْفَـٰسِقِينَ ٢٦ ٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ مِيثَـٰقِهِۦ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦٓ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: ‘Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?’ (Jawabnya): ‘Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik (26). (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.

(Surah al-Baqarah: 26-27)

Pada asasnya, kufur adalah lawan kepada iman. Hal ini kerana iman dan kufur adalah dua perkara yang berlawanan. Iman adalah pegangan iktikad yang mutlak (bersungguh-sungguh dan yakin) bahawa Allah SWT adalah Pemilik, Pencipta dan Tuhan sekalian alam, manakala kufur pula adalah menolak kebenaran Islam selepas menganutnya. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh Abdurrahman Hasan Habannakah, hlm. 615).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kufur terbahagi kepada beberapa jenis mengikut pembahagian para ulama. Di antaranya, ada yang membahagikannya kepada dua jenis. Kufur yang pertama, kufur asghar yang bermaksud perbuatan yang tidak menyebabkan seseorang yang melakukannya terkeluar daripada Islam, tetapi hanya dikira melanggar hukum syarak. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى حَائِضًا أَوْ امْرَأَةً فِي دُبُرِهَا أَوْ كَاهِنًا فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad SAW.”

Riwayat Ahmad (9290)

Kufur yang kedua, kufur akbar iaitu perbuatan yang menyebabkan seseorang yang melakukannya murtad dan dimasukkan ke dalam neraka. (Lihat Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, 15/164; lihat juga Tafsir al-Bayan, 1/166-167).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *