#4365: Cara Berinteraksi dengan Pemimpin yang Sombong

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sebagai seorang pendakwah bebas sekarang merasakan tekanan dalam menghadapi orang atasan yang memegang tampuk kepimpinan, ini kebanyakan mereka ini sombong dan sukar menerima teguran. Bagaimana cara yang diajarkan oleh Islam untuk beinteraksi dengan mereka ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, kami katakan bahawa seseorang pendakwah itu mesti menjadikan dirinya sebagai contoh dalam menunaikan peranannya dengan cara yang lebih sempurna. Mereka juga hendaklah berhikmah serta bijaksana dalam menjawab, berdebat dan berdiskusi dengan para pemimpin yang menindas. Dengan harapan, ia dapat menghindari gangguan mereka serta mudah-mudahan dapat melembutkan hati mereka bagi menerima kebenaran.

Ini bertepatan sebagaimana firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui tentang mereka yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat hidayah.”

(Surah al-Nahl: 125)

Perkara yang menjadi kewajipan dan tuntutan kepada kita adalah berdakwah atau menasihati masyarakat dengan cara yang terbaik. Sedangkan yang menentukan sama ada seruan kita diterima mahupun ditolak atau mereka mendapat petunjuk mahupun disesatkan adalah merupakan urusan Allah SWT. Dia lebih mengetahui keadaan mereka berdasarkan pilihan mereka sendiri. Apa yang telah digariskan oleh Allah SWT ketika berdakwah, itulah hikmah yang dituntut dan perkara tersebut telah cukup untuk memberikan petunjuk buat orang yang mahu mengikut petunjuk serta menghilangkan alasan daripada orang yang sesat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/161)

Kita dapat melihat bagaimana kebijaksanaan Nabi Musa A.S ketika menjawab pertanyaan Firaun yang angkuh itu dengan menyatakan bahawa Tuhannya iaitu Allah SWT lebih mengetahui mengenai orang yang membawa kebenaran dari sisi-Nya dan orang yang berhak mendapatkan kesudahan atau pembalasan yang baik di dunia ini, serta ketahuilah orang yang zalim tidak akan sesekali berjaya. Jawapan yang diberikan oleh Nabi Musa A.S itu, akhirnya menyebabkan timbulnya tanda tanya dalam diri Firaun dan sedikit sebanyak telah menggetarkan hati kecilnya kerana dia sebenarnya mengetahui di sana ada Tuhan yang merupakan Penciptanya dan Pencipta kaum-kaumnya sebagaimana riwayat Ibn Abbas R.Anhuma. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 20/110)

Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبِّىٓ أَعْلَمُ بِمَن جَآءَ بِٱلْهُدَىٰ مِنْ عِندِهِۦ وَمَن تَكُونُ لَهُۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِ ۖ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٣٧) وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرِى فَأَوْقِدْ لِى يَـٰهَـٰمَـٰنُ عَلَى ٱلطِّينِ فَٱجْعَل لِّى صَرْحًۭا لَّعَلِّىٓ أَطَّلِعُ إِلَىٰٓ إِلَـٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّى لَأَظُنُّهُۥ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ (٣٨) وَٱسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُمْ إِلَيْنَا لَا يُرْجَعُونَ (٣٩) فَأَخَذْنَـٰهُ وَجُنُودَهُۥ فَنَبَذْنَـٰهُمْ فِى ٱلْيَمِّ ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Dan (bagi menjawabnya) Nabi Musa berkata: ‘Tuhanku lebih mengetahui siapakah yang membawa hidayah petunjuk dari sisiNya dan siapa yang akan beroleh kesudahan yang baik di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya’. Dan Firaun pula berkata: ‘Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta’. Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami. Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Qasas: 37-40)

Perkara ini juga, dapat dilihat ketika Mutawalli Sya‘rawi menasihati Presiden Husni Mubarak dalam satu pesanannya yang dimulakan dengan kata-katanya yang cukup berhikmah dan beradab: “Sesungguhnya aku, wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala daripada Allah. Aku tidak mahu menghabiskan sisa-sisa hidupku dengan sifat-sifat munafik. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu.”

Beliau menyambung lagi kata-katanya: “Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan).” Kemudian, sambil memegang bahu presiden Mesir, pesanannya diakhiri: “Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir aku dengan engkau! Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami).” (Lihat Syeikh Muhammad Mutawalli Sya‘rawi, 87-90)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan ini, kami katakan bahawa berdakwahlah dengan hikmah iaitu dengan ilmu dan kefahaman yang jelas dalam setiap sesuatu kerana dakwah tanpa ilmu ini akan menyukarkan mereka yang lebih tinggi dari kita untuk menerima apa jua teguran dengan baik.

Selain itu dalam menjalankan tugas yang murni sebagai pendakwah ini hendaklah sentiasa mengikhlaskan niat dan sabar atas setiap ujian yang dihadapi ketika berdakwah. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 153)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *