Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang mengambil upah dalam kerja dakwah yang disampaikannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali Imran: 110)

Menyampaikan risalah Islam merupakan tugas suci yang dilakukan oleh para nabi dan Rasul. Mereka menyeru umatnya untuk beribadah kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan tanpa meminta sebarang upah atau balasan, namun apa  yang  mereka terima adalah sebaliknya seperti cercaan, hinaan, cacian, ancaman dan lain-lain. Keikhlasan para nabi dalam berdakwah ditiru oleh para sahabat nabi, tabi’in dan para ulama yang menjadi ikutan umat dari masa ke masa, di mana mereka mengajar al-Quran, tafsir, hadith, aqidah, Fiqh, dan ilmu-ilmu Islam lainnya tanpa memohon sebarang ubah atau balasan daripada pelajar dan orang awam. Namun, para ulama yang meneruskan kerja-kerja dakwah ini adalah manusia biasa yang  juga mempunyai kehidupan seperti orang lain. Mereka perlu menyara keluarga dan keperluan lain dan semuanya memerlukan wang. Justeru itu bolehkah mereka menerima upah dari berdakwah, mengajar al-Quran dan ilmu-ilmu Islam yang lain?

Berhubung dengan persoalan, upah daripada kerja dakwah, para fuqaha mempunyai beberapa pandangan, iaitu:

  • Para ulama dalam mazhab Hanafi dan Hanbali mengharamkan upah sebagai balasan atas dakwah yang disampaikan berdasarkan kepada beberapa dalil:
  • Ayat al-Quran yang telah disebutkan di atas menunjukkan bahawa para nabi tidak meminta upah kepada umatnya atas dakwah yang mereka sampaikan.
  • Allah SWT melarang menjual ayat-ayat-Nya dengan harga dunia, firman Allah SWT: (وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِى ثَمَنًۭا قَلِيلًۭا) “Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat Ku dengan harga yang rendah” (Surah al- Baqarah: 41)
  • Hadis Nabi SAW yang melarang memakan upah mengajar al-Quran, daripada Abd al-Rahman bin Syibl R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ، وَلَا تَغْلُوا فِيهِ، وَلَا تَجْفُوا عَنْهُ، وَلَا تَأْكُلُوا بِهِ، وَلَا تَسْتَكْثِرُوا بِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, dan jangan terlalu berlebihan, jangan terlalu lalai, jangan makan upah mengajar al-Quran, dan jangan memperbanyak harta melalui mengajar al-Quran.”

Riwayat Ahmad (15529). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan hadith ini sahih dan sanadnya kuat

Manakala para ulama dalam mazhab Maliki dan Syafi’i mengharuskan penerimaan upah melalui kerja-kerja dakwah. Mereka berpegang kepada hadith yang diriwayatkan dari pada Ibn ‘Abbas R.A bahawa sekelompok sahabat Nabi melewati perkampungan, lalu orang kampung tersebut meminta mereka untuk mengubati ketua kaum mereka yang terkena sengatan haiwan berbisa, para sahabat setuju untuk mengubatinya dengan syarat orang kampung tersebut memberi imbuhan beberapa ekor kambing. Setelah terjadi kesepakatan salah seorang sahabat mengubatinya dengan membaca Surah al-Fatihah, pesakit terus sembuh dan mereka memenuhi akad serta memberikan beberapa ekor kambing yang disepakati, namun sebahagian sahabat yang lain menolaknya, kerana menganggap perbuatan itu termakuk dalam larangan mengambil upah daripada bacaan al-Quran. Sesampainya di Madinah mereka mengadukan hal tersebut kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَحَقَّ مَا أَخَذْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرَاً كِتَابُ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya upah yang paling berhak untuk kamu terima ialah balasan upah daripada al-Quran.”

Riwayat al-Bukhari (5737)

Para ulama sepakat bahawa upah yang diterima oleh pendakwah, guru agama dan para pengajar ilmu agama yang berasal daripada dana baitulmal dan perbendaharaan negara, hukumnya halal dan tidak mengurangkan atau menghapuskan keikhlasan mereka. Itu merupakan penghargaan dari pihak pemerintah kerana mereka disibukkan dengan pekerjaan membina ummah, sebagaimana dahulu para sahabat menerima ‘athaya (hibah) daripada baitulmal. Begitu juga upah yang diberikan oleh badan-badan kebajikan dan individu dermawan dalam jumlah yang  tidak ditetapkan dan tidak disyaratkan oleh para pendakwah, maka hukumnya sama dengan upah yang diterima daripada baitulmal. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/444-445)

Selain itu, Allah SWT berfirman:

 ‏ وَآمِنُوا بِمَا أَنزَلْتُ مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُمْ وَلَا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ ۖ وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ

Maksudnya: “Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 41)

Imam al-Qurtubi berkata: “Para ulama’ berbeza pandangan berkenaan mengambil upah dalam pengajaran al-Quran dan ilmu, berdasarkan ayat ini dan yang semaknanya. Antara yang melarang hal tersebut adalah al-Zuhri, ashab al-ra’yi (Hanafiyyah) di mana mereka menyebut: “Tidak dibolehkan untuk mengambil upah atas pengajaran al-Quran kerana mengajarkannya termasuk salah satu kewajiban yang memerlukan niat mendekatkan diri (kepada Allah) dan keikhlasan. Maka tidak diambil upah darinya seperti solat dan puasa. Allah SWT berfirman, ‘وَلا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً’ (“Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah.”)[Surah al-Baqarah: 41]

Manakala yang membolehkan mengambil upah atas pengajaran al-Quran adalah Imam Malik, al-Syafi’i, Ahmad, Abu Thaur dan kebanyakan ulama’ berdasarkan sabda Nabi SAW dalam hadith Ibn ‘Abbas tentang hadith ruqyah, ‘إِنَّ أحقَّ مَا أَخَذْتُم عَلَيْهِ أَجْراً كِتَابُ الله’ (“Sesungguhnya yang lebih berhak kamu semua mengambil upah adalah Kitabullah.) Dan nas ini dapat mengangkat khilaf (perbezaan pendapat) dan sewajarnya dipakai.

Manakala apa yang dijadikan dalil orang yang berbeza dengan mengqiyaskan dengan solat dan puasa itu adalah salah. Kerana kedua-duanya terdapat banyak perbezaan. Iaitu bahawa solat dan puasa itu ibadah khusus bagi pelaku, sedangkan al-Quran itu ibadah yang bermanfaat untuk selain pengajar. Maka dibolehkan upah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 1/335)

Firman Allah SWT:

 اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya:Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk.”

(Surah Yasin: 21)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti berkata: “Dapat diambil pelajaran daripada ayat yang mulia ini, bahawa seharusnya pengikut para rasul dari kalangan para ulama dan yang lain, menunaikan semaksimum mungkin ilmu yang dimilikinya secara percuma. Tanpa mengambil upah daripada hal itu. Dan selayaknya tidak mengambil upah atas pengajaran Kitabullah, pengajaran aqidah, serta halal dan haram.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/179)

Kata beliau lagi: “Yang jelas bagiku – wallahu a’lam – bahawa seseorang jika dia tidak memerlukan keperluan yang dharuri; maka yang lebih utama adalah agar tidak mengambil pengganti (upah) atas pengajaran al-Quran, aqidah, serta halal dan haram berdasarkan dalil yang telah disebutkan. Sekiranya terdapat keperluan, maka boleh mengambil upah sesuai dengan kadar keperluan asasnya, dari baitulmal umat Islam. Kerana yang zahir bahawa pengambilan dari baitulmal adalah dari sisi bantuan untuk menunaikan ta’lim (pengajaran), bukan dari sisi upah. Yang lebih utama, bagi mereka yang Allah telah cukupkan bagi adalah untuk menahan diri daripada mengambil pengganti (upah) daripada pengajaran al-Quran, aqidah serta halal dan haram.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/182)

Berkenaan persoalan di atas, sekiranya manfaat ibadah itu untuk orang lain, di mana orang selain pelakunya dapat mengambil manfaat seperti ruqyah dengan al-Quran atau mengajarkannya, atau mengajarkan hadith, maka dia dibolehkan untuk mengambil upah atasnya. Inilah pandangan menurut jumhur ulama. Berbeza dengan ulama terdahulu daripada Hanafiyyah.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada realiti dan waqi’i semasa keperluan kehidupan menyebabkan kerja yang hanya sebagai masa lapang dan waktu kosong sudah hampir tidak ada dalam kamus kehidupan manusia. Justeru, kita dapat lihat pihak pemerintah telah menggaji ramai para guru dan asatizah sama ada di peringkat paling rendah kepada menengah, diploma dan universiti di mana kerja mereka untuk mengajar termasuklah subjek-subjek agama dan pelbagai cabangnya.

Inilah realiti semasa dan ia memberi maslahah kepada ummah agar anak bangsa sentiasa terdidik, diasuh dan diajar dengan sempurna dan bukan lagi bersifat part time. Justeru, kami katakan tidak mengapa berlaku penggajian serta pembayaran  kepada guru-guru kerana mereka telah mewakafkan sebahagian besar masanya untuk mengasuh dan mendidik anak bangsa yang sewajarnya kita raikan dan kita tampung keperluan kehidupan mereka sama ada bersifat rasmi atau kerajaan mahu pun NGO atau individu.

Matlamat dakwah tidak boleh bertujuan untuk meraih harta semata-mata. Sedangkan  pahala yang Allah SWT janjikan jauh lebih besar dari dunia dan seisinya, yakni syurga. Kefahaman seperti ini perlu ada dalam diri seseorang pendakwah supaya perjalanan dakwah berjalan lancar dan direstui Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ تَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَيْكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَيْكَ ، اللَّهُمْ إِنَّا نشألُكَ الجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إلَيْهَا مِنْ قَولِ أَوْ عَمَل ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءِ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply