Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan hikmah mengapa Allah utuskan para nabi dan rasul?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan rasul melainkan rasul itu berbicara dengan bahasa pertuturan kaumnya agar dia dapat menerangkan apa yang dibawanya dengan jelas. Setelah itu, Allah dengan kebijaksanaan-Nya menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberi hidayah kepada siapa yang dia kehendaki. Dia Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.”

(Surah Ibrahim: 4)

Allah SWT menyatakan bahawa Dia mengutus para rasul untuk menyampaikan hidayah kepada manusia. Allah SWT menjelaskan bahawa Dia menyesatkan siapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dialah Tuhan Yang Maha Perkasa, segala sesuatu yang Dia kehendaki pasti terjadi dan segala sesuatu yang tidak Dia kehendaki pasti tidak terjadi, dan Dia Maha Bijaksana dalam semua perbuatan-Nya. Maka Dia menyesatkan orang yang berhak disesatkan dan memberi petunjuk kepada orang yang berhak mendapat petunjuk. Demikianlah sunnatullah pada makhluk-Nya iaitu Allah SWT tidak sekali-kali mengutus seorang nabi buat suatu umat melainkan nabi itu berbicara dengan bahasa mereka. Maka setiap nabi dikhususkan untuk menyampaikan risalah hanya kepada umatnya saja, bukan umat yang lainnya. Namun Nabi Muhammad SAW mempunyai keistimewaan dengan keumuman risalahnya yang mencakupi semua bangsa manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 628)

Hikmah Perutusan Nabi dan Rasul

Allah SWT mengutus para nabi dan rasul khusus hanya kepada kaum mereka, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan bagi setiap kaum itu ada nabi yang menunjukkan jalan kebenaran.” (Surah al-Ra’d: 7)

Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW kepada semua umat manusia. Baginda SAW adalah penutup para nabi dan rasul dan yang paling utama. Baginda SAW adalah pemimpin keturunan bani Adam dan pembawa bendera al-hamd (pujian) pada hari kiamat dan Allah SWT mengutusnya sebagai rahmat untuk seluruh alam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan untuk seluruh umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Saba’: 28)

Setiap zaman ada golongan yang cuba membangkitkan isu tidak percaya kepada perutusan rasul dan antaranya ialah golongan Barahimah. Walaupun sedikit sahaja golongan ini namun ia perlu ditangani dengan baik melalui hujah yang mantap dan tepat supaya tidak berlaku kekeliruan di kalangan umat Islam. Mereka menyatakan jika apa yang dibawa oleh rasul bersamaan dengan logik akal maka cukup menggunakan akal dan tidak perlu kepada perutusan rasul. Dan jika apa yang dibawa oleh rasul adalah sesuatu yang tidak logik maka tidak perlu diterima kerana menyalahi fitrah kemanusian. Hujah mereka yang paling besar ialah rasul itu sama dengan kamu dari sudut rupa bentuk, nafsu dan akal. Mereka juga makan dan minum seperti kamu.

Al-Syihrastani seorang ulama’ Islam (479-548H) telah menjawab isu ini dengan hujah yang logik dan jelas. Beliau menyatakan ayat al-Quran dalam Surah Ibrahim ayat 11 di mana rasul berkata kepada kaum mereka bahawa kami adalah manusia seperti kamu tetapi Allah SWT telah mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-Nya. Beliau menambah jika kamu percaya bahawa alam ini ada Pembuat dan Penciptanya yang bijaksana, maka selayaknya kamu juga percaya dan mengaku bahawa Dia memberi arahan dan memberi larangan. Dan rahmat-Nya yang terbesar ialah mengutus kenabian dan risalah. Itulah yang lebih baik kepada mereka dari harta yang mereka kumpulkan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 629-630)

Hikmah diutus para nabi dan rasul ialah:

  • Mengajak manusia kepada menyembah Allah SWT sahaja dan melarang manusia menyembah selain daripada Allah SWT.
  • Menjelaskan jalan yang dikehendaki Allah SWT.
  • Menjelaskan keberadaan manusia setelah sampai kepada Rabb mereka pada hari kiamat.
  • Mendirikan hujjah kepada manusia. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, hlm. 265-281)

Kesimpulan

Allah SWT mengutuskan para nabi dan rasul daripada kalangan bangsa umat masing-masing dan bahasa mereka sendiri supaya mereka memahami hidayah yang disampaikan kepada mereka.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply