Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum bagi seorang muslim membawa al-Quran ke negeri Musuh  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَيْلٌۭ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍۢ ٧ يَسْمَعُ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ تُتْلَىٰ عَلَيْهِ ثُمَّ يُصِرُّ مُسْتَكْبِرًۭا كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا ۖ فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ ٨ وَإِذَا عَلِمَ مِنْ ءَايَـٰتِنَا شَيْـًٔا ٱتَّخَذَهَا هُزُوًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌۭ مُّهِينٌۭ

Maksudnya: Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa, –  Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.  Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina.

(Surah al-Jathiyah: 7-9)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini  Allah SWT mengancam azab yang pedih terhadap mereka yang mempermain-mainkan al-Quran. Ini adalah kerana kemuliaan al-Quran sebagai Kalamullah yang wajib dihormati dan dimuliakan. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW diberitakan telah melarang seseorang bermusafir membawa al-Quran ke negara musuh sebagaimana dalam riwayat Abdulllah bin Umar R.Anhuma, katanya:

أنَّ رَسولَ اللَّهَِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ نَهَى أنْ يُسَافَرَ بالقُرْآنِ إلى أرْضِ العَدُوِّ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang seseorang bermusafir dengan membawa al-Quran ke negara musuh.”

Riwayat al-Bukhari (2990)

Al-Nawawi menjelaskan bahawa larangan permusafiran dengan membawa al-Quran ke negara orang kafir adalah disebabkan oleh bimbang pihak musuh akan menghina al-Quran, maka dengan itu akan mencemarkan kesucian al-Quran itu sendiri. Namun, sekiranya aman daripada perkara tersebut seperti masuknya tentera Islam ke dalam negara bukan Islam yang mana tentera Islam sedang menguasai ke atas orang bukan Islam, maka dalam hal ini hukumnya tidak makruh dan tidak dilarang lantaran hilangnya sebab larangan tersebut. Ini adalah pendapat yang sahih (tepat) serta disokong oleh Abu Hanifah, al-Bukhari dan selain daripada mereka. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 13/13)

Oleh itu, jelaslah bahawa larangan tersebut adalah kerana dikhuatiri al-Quran akan jatuhke tangan orang-orang kafir, lalu mereka merendah-rendahkan atau menghinanya, maka ia akan menyebabkan kesucian al-Quran itu tercemar. Sekalipun tidak begitu, mereka pasti tidak akan memuliakan al-Quran sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Islam. Justeru, menjadi kewajipan ke atas orang-orang Islam untuk menjunjung tinggi al-Quran dan memuliakannya kerana ia adalah Kalamullah serta sumber petunjuk utama dalam agama Islam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 245-246)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply