Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana Rasulullah SAW berinteraksi dengan sikap kaum badwi? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah:

قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا ۖ قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَٰكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

( Surah al-Hujurat: 14)

Menjawab bagi persoalan di atas Sebagaimana yang telah diperhatikan dalam Surah al-Hujurat bahawa sikap golongan Badwi ini telah ditegur oleh Allah SWT dalam rangka memperbetulkan akhlak dan budi mereka yang sangat rendah. Justeru, ketika Nabi SAW berdepan dengan golongan ini terdapat strategi komunikasi yang khusus dan berbeza daripada komunikasi Baginda SAW dengan masyarakat bandar. Di samping itu hubungan dan sokongan daripada kaum Badwi juga adalah penting bagi menghadapi kaum Quraisy di Makkah. Pakatan politik dengan kaum Badwi adalah kunci kepada kejayaan awal penglibatan tentera Nabi SAW ke atas tentera Makkah. Bahkan Baginda SAW memiliki pengetahuan yang amat terperinci tentang tahap kesetiaan dan politik berpuak serta operasi gerila dalam kalangan kaum Badwi dan pengetahuan ini digunakan oleh Baginda SAW untuk berunding dengan kaum Badwi.

Antara strategi komunikasi Nabi SAW dengan kaum Badwi ialah penggunaan ucapan yang ringkas kepada mereka tentang apa yang dituntut oleh Allah SWT. Pendekatan ini dilihat sebagai satu cara untuk menjadikan Islam lebih mudah diterima oleh orang Badwi yang baru saja mula ingin mengetahui tentang Islam. Adalah penting untuk difahami bahawa kaum Badwi tidak mementingkan kepelbagaian, kemajuan, dan evolusi dalam kehidupan mereka. Bagi mereka ia bukanlah sesuatu yang utama atau menjadi tujuan hidup, malah mereka kebiasaannya enggan dipengaruhi oleh cara hidup kaum lain dan hanya melakukan apa yang mencukupi untuk kehidupan mereka.

Sikap Badwi yang suka mencelah atau memotong percakapan orang pun difahami dengan baik oleh Nabi SAW. Pernah seorang lelaki Badwi mencelah bertanyakan soalan kepada Nabi SAW dalam satu majlis, dan Baginda SAW tetap menjawab pertanyaan dari lelaki Badwi itu. Perbuatan Nabi SAW dilihat sebagai contoh orang yang berpengetahuan yang tidak mengabaikan soalan yang ditanya oleh seseorang yang ingin belajar walaupun dalam keadaan yang tidak sesuai. Hal ini berlaku kerana mereka sememangnya tidak dikenali dengan budi pekerti yang tinggi. Bahkan dalam satu hadis, Rasulullah sendiri menekankan akan kesan kehidupan nomad dengan mengatakan, “Mereka yang tinggal di padang pasir menjadi kasar dalam sifat dan karakternya.”

Antara strategi komunikasi Baginda SAW juga ialah penggunaan ucapan berbentuk arahan dan penyataan yang dijelaskan secara tidak langsung. Penggunaan ucapan tidak langsung oleh Nabi SAW boleh ditafsirkan sebagai cara berkomunikasi yang lebih sopan dan berkesan bagi membantu pemahamanan kaum Badwi seperti penggunaan metafora, analogi dan soalan. Selain itu, pertuturan Nabi SAW dalam bentuk pernyataan terhadap Badwi dalam menerangkan kepercayaan asas Islam dilakukan secara ringkas, jelas dan tidak memaksa. Strategi komunikasi ini menunjukkan pengetahuan dan pemahaman Nabi SAW tentang cara hidup masyarakat Badwi yang sangat asing dengan konsep tauhid dalam ketuhanan yang dibawa oleh baginda SAW. Gaya komunikasi Nabi SAW yang tidak berkeras dengan kaum Badwi juga boleh dikaitkan dengan usaha baginda untuk memenangi hati dan minda penduduk nomad ini.

Kesimpulannya, memahami latar belakang dan sosiobudaya masyarakat tertentu memudahkan kita untuk memilih strategi komunikasi yang sesuai dan berkesan agar dakwah yang ingin disampaikan itu tercapai dengan jayanya. Inilah bentuk bimbingan Allah SWT kepada rasul-Nya dan seluruh umat Islam sepanjang zaman. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/405-406)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahu A’lam

Leave a Reply