Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah hidup adalah ujian, serta ujian moral dalam kehidupan moden ini yang terpaksa dihadapi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan yang diajukan saudara ini, kami membawakan firman Allah SWT:

الٓمٓ (١) أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (٢) وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَـٰذِبِينَ

Maksudnya: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”

(Surah al-‘Ankabut: 1-3)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa ayat di atas berbentuk pertanyaan, tetapi bertujuan untuk menunjukkan pengingkaran. Maknanya adalah Allah SWT pasti akan menguji para hamba-Nya yang beriman mengikut tahap keimanan mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith yang sahih daripada Sa‘d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ، يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي الْبَلَاءِ

Maksudnya: “Manusia yang paling dahsyat diuji adalah para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian orang-orang yang hebat selepas mereka. Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah.”

Riwayat al-Tirmizi (2398), al-Nasa’ie (7481) dan Ahmad (1481)

Dan Allah SWT juga telah berfirman dengan ayat yang serupa seperti surah al-‘Ankabut di atas, seperti firman-Nya:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Maksudnya: “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?”

(Surah Ali ‘Imran: 142)

Dan juga seperti dalam firman-Nya:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ

Maksudnya: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

(Surah al-Baqarah: 214)

Oleh kerana itu, di dalam surah al-‘Ankabut ini Allah SWT katakan kepada mereka yang mendakwa dirinya beriman kepada-Nya, yang mana boleh jadi mereka ini berdusta dalam dakwaannya itu. Sungguh Allah SWT itu Maha Mengetahui apa yang telah berlaku, apa yang akan berlaku dan apa yang tidak akan berlaku. Dan inilah apa yang disepakati oleh para imam Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/237)

Dalam satu kajian, sekumpulan penyelidik telah mengumpul 238 petikan kata-kata daripada 195 orang tokoh yang berpengaruh di dunia berkenaan apakah makna kehidupan buat mereka.

Majoriti, atau 33 orang daripada kalangan mereka memahami tujuan hidup adalah untuk dinikmati, dan mengumpulkan pengalaman (To enjoy or experience life). Ini merupakan pendapat Ralph Waldo Emerson, Malcolm Forbes, Helen Keller dan Eleanor Roosevelt. Manakala jumlah yang paling sedikit, iaitu 7 orang daripada kalangan mereka berpendapat bahawa hidup ini adalah tidak masuk akal dan lawak semata-mata (Life is absurd or a joke). Inilah pegangan tokoh-tokoh seperti Albert Camus, Charlie Chaplin, Bob Dylan dan Oscar Wilde. Hanya 11% daripada keseluruhan mereka yang berpendapat bahawa tujuan hidup adalah untuk berkhidmat dan menyembah Tuhan atau bersedia untuk kehidupan selepas mati. Pendapat ini dipegang oleh Mohammad Ali, Nelson Mandela, Martin Luther King Jr, dan Mohandas Gandhi. (Lihat What eminent people have said about the meaning of life, Journal of Humanistic Psychology, 43(1), hlm. 105-118)

Sebagai orang Islam, kita sepatutnya tidak mengalami dilema dalam memahami makna kehidupan. Dalam ayat-ayat al-Quran, kehidupan dinyatakan sebagai medan ujian kepada manusia untuk berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran.

Ujian Moral Dalam Kehidupan Moden

Berkenaan persoalan saudara tentang ujian moral yang harus diharungi oleh setiap orang dalam mendepani cabaran kehidupan moden, kami membawakan sudut pandang seorang ulama’ Nusantara. Buya HAMKA berkata, hidup di tengah-tengah pergaulan moden menyebabkan iman orang Islam teruji. Contohnya perbuatan zina adalah dilarang keras oleh agama, kerana zina merupakan perbuatan yang sangat keji dan jalan menuju kebinasaan. Namun kehidupan moden memberikan peluang dan kebebasan terhadap manusia untuk menikmati pergaulan bebas serta menganggap zina sebagai norma hidup, sehingga mereka yang menentang zina dianggap kolot dan mundur. Tidak kurang mereka yang menolak zina atas alasan agama diejek sebagai ekstrimis dan musuh negara maju yang berorientasikan fahaman sekular. (Lihat Tafsir al-Azhar, 7/5402)

Sekalipun cabaran yang diterima oleh pejuang agama berbeza pada bentuk-bentuknya, namun akarnya adalah sama iaitu budaya Jahiliyyah yang diperangi oleh Rasulullah SAW dan sekalian para nabi dan rasul pada setiap zaman. Kesombongan terhadap ajaran wahyu serta sikap mendahulukan hawa nafsu melebihi akal yang sejahtera dan fitrah yang murni adalah simbol Jahiliyyah yang ada pada mana-mana zaman. Kesombongan ini menatijahkan sikap tidak bertanggungjawab dan hidup nafsi-nafsi yang sangat mementingkan diri dan merosakkan tatanan hidup bermasyarakat.

Contohnya, kesan daripada fenomena zina, statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan dari tahun 2012 hingga 2016, jumlah remaja yang telah melahirkan anak luar nikah adalah seramai 20,236 kes yang melibatkan remaja di bawah umur 18 tahun. Manakala, dilaporkan sejak tahun 2010 hingga Ogos 2018, berlaku sebanyak 911 kes pembuangan bayi. Daripada 911 kes, 585 kes ditemui tidak bernyawa dan berbaki 326 kes yang ditemui hidup.[1]

Oleh itu, Allah SWT memerintahkan manusia untuk memerhatikan kesan perbuatan mereka yang membelakangi wahyu sehingga mengakibatkan pembunuhan dan penganiayaan terhadap kelompok paling lemah dalam kalangan masyarakat iaitu bayi dan wanita. Bagi kaum yang mahu berfikir, ujian ini sebenarnya belum berakhir selagi hayat dikandung badan. Justeru, langkah-langkah pencegahan dan pendidikan masih boleh dikuatkuasakan sebelum keadaan menjadi lagi parah dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap semua itu di mahkamah Allah kelak.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ini, dapat difahami bahawa manusia diperintahkan untuk taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT, sebagai ujian untuk mendapatkan rahmat-Nya berupa kebahagiaan di akhirat. Ini tidaklah menafikan peluang bagi mereka, sama ada Islam atau bukan, untuk mendapatkan kekayaan dunia dengan usaha.

Semoga kita dapat terus berusaha dan beramal dengan bersungguh-sungguh di dunia ini kerana dunia ini bersifat sementara. Jadikanlah dunia ini sebagai ladang untuk kita beramal. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Wallahu a‘lam

Nogta kaki:

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3033-bayan-linnas-siri-. Diakses pada 22 November 2023.

Leave a Reply