Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah keimanan yang teguh menjamin kebahagiaan dunia akhirat serta kewaspadaaan terhadap serangan musuh ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami nyatakan terlebih dahulu definisi iman:

Iman pada bahasa ialah al-tasdiq (membenarkan). Menurut Ibn Manzur, pengertian ini (al-tasdiq) telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam, seperti al-Asfahani, al-Qadhi Iyadh dan al-Tabari juga bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah membenarkan atau semata-mata membenarkan. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/141; Mufradat Alfaz al-Quran, hlm. 91)

Imam Ahmad berkata: “Iman adalah perkataan dan amalan, boleh bertambah dan berkurang. (Lihat al-Sunnah, 1/207) Imam al-Bukhari dalam awal kitab sahihnya menyebut bahawa: “Iman itu perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.” Kemudian beliau berkata lagi: “Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam kitab al-Iman).

Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya al-Tamhid berkata: “Iman menurut ulama’ Ahlus Sunnah di mana mereka adalah Ahlul Athar daripada ulama fiqh dan hadith, – mereka telah bersepakat, iman itu perkataan dan perbuatan dan tidak ada amalan kecuali dengan niat. Iman menurut Ahlus Sunnah bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana maksiat. Segala ketaatan termasuk bahagian daripada iman.” (Lihat al-Tamhid, 9/238)

Beriman kepada Allah SWT merupakan antara perkara asas dan utama dalam kehidupan kita. Sementelah, akidah dan tauhid memandu manusia untuk mengenal Allah SWT, dan seterusnya mengabdikan diri kepada-Nya. Kita dapat melihat bagaimana dakwah Islam telah berjaya memberikan satu kesan besar dalam masyarakat sehingga berjaya menolak corak hidup masyarakat Jahiliah, lalu mengeluarkan masyarakat Arab dari zaman kegelapan dan kesyirikan kepada cahaya keimanan dan petunjuk, daripada kezaliman kepada keadilan dan daripada penindasan kepada pembelaan. Firman Allah SWT:

‏ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

 (Surah al-Anbiya’: 107)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada umat manusia untuk membawa kebahagiaan yang besar dan menyelamatkan mereka daripada kejahilan dan kesesatan yang nyata. Tugas dan peranan besar Baginda SAW itu – yakni sebagai pendakwah – telah diteruskan pula oleh para sahabat dan generasi berikutnya sehinggalah umat Islam suatu masa dahulu pernah berada di kemuncak yang tertinggi, bilamana terbentuknya suatu ketamadunan Islam yang menghimpunkan antara ilmu dan iman, menghubungkan antara dunia dan akhirat, mempertemukan akal dan hati serta menyeimbangkan antara hak individu dengan kepentingan masyarakat.

Namun, realiti semasa pada hari ini menunjukkan betapa manusia jauh daripada Allah SWT. Malah terdapat dalam kalangan orang Islam sendiri seolah-olah semakin tidak mengenal Allah, dan tidak mempedulikan segala urusan dakwah yang datang kepada mereka. Rata-rata mereka hanya mengenali Allah SWT pada nama sahaja, tetapi tidak berusaha untuk mengenali Allah SWT dengan sebenar-benarnya melalui jalan ilmu, yang merupakan teras kepada usaha menuju kebenaran. Umat Islam pada hari ini menjadi mundur, sedangkan suatu ketika dahulu merekalah yang menjadi peneraju kepada ilmu pengetahuan dan kemajuan.

Di antara sebabnya ialah serangan musuh-musuh Islam terhadap keimanan penganut agama Islam. Musuh Islam sememangnya mengetahui bahawa mereka sekali-kali tidak akan menang menentang umat Islam selagi mana penganutnya masih teguh berpegang dengan sumber agama ini. Oleh kerana itu, mereka berusaha menghancurkan keimanan dan akidah umat Islam dengan memesongkan pegangan mereka daripada petunjuk al- Quran dan hadis Nabi SAW. Apabila iman dan akidah sudah semakin melemah, maka umat Islam akan semakin jauh daripada petunjuk jalan hidup yang sebenar. Ditambah lagi, segala agenda dan dakyah kesesatan mereka akan mudah meresapi ke dalam jiwa umat Islam. Akhirnya, umat Islam akan tergelincir dari jalan orang Mukmin sejati menuju jalan yang dimurkai oleh Allah SWT.

Keduanya, serangan mereka terhadap pemikiran penganut agama Islam. Musuh-musuh Islam telah berjaya mewujudkan aliran-aliran pemikiran yang jelas bercanggah dengan dasar agama Islam seperti pemikiran liberal yang menyamaratakan dan mencampuradukkan semua agama di dunia ini dan sekular yang memisahkan agama daripada urusan kehidupan seharian. Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan pemikiran-pemikiran tersebut telah berjaya mempengaruhi umat Islam. Kesannya, umat Islam semakin jauh daripada ajaran dan pemikiran Islam yang sebenar, yang didasari dengan petunjuk wahyu Ilahi.(Lihat Tafsir al-Bayan, 5/528-529)

Justeru sejarah mengenai kehancuran kaum ‘Ad telah membuktikan betapa dahsyatnya hukuman dan azab Allah SWT buat mereka yang ingkar dan tidak mahu beriman. Oleh itu, janganlah bermaharajalela di muka bumi ini untuk melakukan kerosakan dengan dosa, maksiat, kesyirikan dan seumpamanya kerana azab Allah SWT itu sangat pedih tanpa mengira siapapun.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

(Surah Ali Imran :8)

Wallahua’lam

Leave a Reply