Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah orang kafir harus dan boleh dengar al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِىءَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT menyebutkan bahawa al-Quran merupakan basirah, petunjuk dan rahmat kepada manusia. Maka Allah SWT menyuruh manusia supaya senyap ketika mendengar bacaan al-Quran sebagai mengagungkannya dan menghormatinya tidak sepertimana yang telah dilakukan oleh orang kafir musyrikin Quraish iaitu dengan kata mereka: “Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya).” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/484)

Firman Allah SWT:

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”

(Surah al-Taubah: 6)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Allah berfirman kepada nabi-Nya: “Dan sesungguhnya jika Engkau memberi keamanan (kepada mereka), wahai Muhammad, daripada orang-orang musyrik yang Aku perintahkan engkau untuk berperang dan membunuh mereka setelah berakhirnya bulan-bulan haram, maka seseorang akan mendengar firman Allah darimu iaitu al-Qur’an yang diturunkan Allah kepadamu (maka berikanlah upah kepadanya), iaitu, maksudnya, berikanlah keamanan kepadanya sehingga dia mendengar firman Allah dan kamu membacakan Al-Qur’an kepadanya (kemudian hantarkanlah dia ke tempat amannya), maksudnya, setelah dia mendengar firman Allah, maka hantarkanlah dia kembali ke tempat amannya jika dia tidak mahu menerima Islam dan tidak mengambil pelajaran dari apa yang telah kamu bacakan kepadanya daripada firman Allah, “hingga dia datang ke tempat amannya,” maksudnya, hingga dia aman darimu dan aman daripada orang-orang yang tunduk kepada perintahmu, sehingga dia kembali ke kampungnya dan kaumnya yang musyrik, (itu disebabkan bahawa mereka adalah kaum yang tidak mengetahui),” maksudnya, Engkau lakukan demikian terhadap mereka dengan memberi mereka aman agar mereka mendengar Al-Qur’an, dan Engkau cabut keamanan daripada mereka jika mereka menolak Islam, dengan maksud bahawa mereka adalah kaum yang jahil dan tidak memahami hujjah-hujjah Allah, serta tidak mengetahui apa yang akan mereka peroleh dengan beriman kepada Allah jika mereka beriman. Dan tidak ada dosa dan kesalahan bagi mereka yang meninggalkan iman kepada Allah. (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/138)

Hukum Orang Kafir Mendengar al-Quran

Al-Quran merupakan kitab yang mengandungi banyak manfaat, tinggi kedudukan, terpelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan, memandu manusia ke jalan kebaikan dan syurga serta menjauhkan mereka daripada jalan kesesatan dan neraka. Dalam al-Quran, dinyatakan jalan mencapai kebahagiaan, kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Mendengar bacaan al-Quran memberi kesan yang mendalam bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan mendengar sahaja al-Quran, boleh menggembirakan jiwa dan meneguhkan lagi keimanan di dalam hati.

Apakah hukum orang bukan Islam mendengar bacaan al-Quran? Hukumnya harus bagi orang kafir mendengar bacaan dan mempelajari al-Quran untuk mendapat hidayah dan pengajaran daripadanya. Tidak harus menegah mereka daripada melakukan perkara tersebut. Bahkan Nabi SAW telah membaca al-Quran di hadapan musyrikin Makkah sedangkan mereka tidak suka perkara tersebut dan Nabi SAW memberi amaran kepada orang musyrikin yang saling berpesan supaya menjauhkan diri daripada mendengar al-Quran, atau meninggikan suara semasa al-Quran dibaca. Firman Allah SWT menceritakan kata-kata orang kafir semasa mendengar al-Quran:

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَسْمَعُوا۟ لِهَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَٱلْغَوْا۟ فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Maksudnya: “Orang kafir berkata, “Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan buatlah keriuhan terhadapnya supaya kamu dapat mengalahkanya.”

(Surah Fussilat : 26)

Dan firman Allah SWT:

فَمَا لَهُمْ عَنِ ٱلتَّذْكِرَةِ مُعْرِضِينَ (٤٩) كَأَنَّهُمْ حُمُرٌۭ مُّسْتَنفِرَةٌۭ

Maksudnya: “Mengapakah dahulu mereka berpaling dari peringatan? Seolah-olah sekawan keldai yang lari berkeliaran.”

(Surah al-Muddatthir: 49-50).

Ada ketikanya orang kafir mendengar al-Quran. Abdullah Ibn Mas‘ud R.A berkata bahawa Nabi SAW membaca Surah al-Najm dan Baginda SAW sujud di akhirnya. Melihat keadaan tersebut, semua musyrikin yang berada di situ turut sujud. (Al-Bukhari dan Muslim). Namun sekiranya mereka mendengar al-Quran dengan tujuan untuk melakukan ejekan dan penghinaan maka ia adalah haram sama sekali. Dalam keadaan begitu, tidak harus mengajar mereka bacaan al-Quran sebagaimana diterangkan ahli ilmu.

Al-Nawawi menyatakan di dalam kitabnya al-Majmu’ mengenai isu ini dengan berkata, “Perkara yang kedua belas: Sahabat kami berkata: Tidak dilarang bagi orang kafir untuk mendengar al-Quran tetapi mereka dilarang menyentuh al-Quran. Adakah harus mengajarkan mereka al-Quran? Dilihat kepada perkara berikut: Jika tidak mengharapkan keislamannya maka tidak harus dan jika mengharapkan keislamannya maka hukumnya harus mengikut pendapat yang sahih yang dipegang oleh al-Qadhi Hussain dan disokong oleh al-Baghawi. Pendapat kedua tidak harus sebagaimana tidak harus menjual kepada mereka al-Quran walaupun diharapkan dia memeluk Islam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/184-185)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami katakan bahawa tidak mengapa dan diharuskan bagi orang kafir mendengar, membaca dan mempelajari ayat-ayat al-Quran dalam mencari kebenaran dan disyaratkan niat/tujuan perkara tersebut bukan untuk menghina atau merendah-rendahkannya. Pada masa yang sama, dia hendaklah meraikan adab dan memeliharanya.

Sesungguhnya al-Quran bukan sahaja sebagai pemberi peringatan, bahkan pembawa berita gembira bagi orang yang taat kepada perintah Allah SWT dan beramal soleh di dunia.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply