Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Di manakah terletaknya gua Ashab al-Kahfi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًۭا

Maksudnya: ““Oleh kerana kamu meninggalkan kaummu dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka berlindunglah kamu di dalam gua, pasti Tuhan kamu akan memancarkan rahmat-Nya pada kamu dan menyediakan bantuan dalam urusan kamu.””

(Surah al-Kahfi: 16)

Al-Baghawi berkata: Allah SWT menyatakan: Dan apabila kamu menjauhi mereka dan segala sesuatu yang mereka sembah selain Allah, sesungguhnya kamu tidak meninggalkan ibadah kepada-Nya (maka berlindunglah) dan perlindunganlah diri kamu kepada (gua) itu, maka berlindunglah kepada-Nya (Tuhanmu dengan kasih sayang-Nya dan menyediakan untukmu) dan mempersiapkan untukmu (dari urusanmu) yang memudahkan urusanmu. Ertinya, Dia menyebarkan rahmat-Nya untukmu dan memudahkan untukmu (yang kembali kepada-Nya yang memberikan kemudahan dan kelembutan) yaitu apa yang membuatmu senang dan nyaman. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/157)

Lokasi Peristiwa Ashabul Kahfi

Berdasarkan kisah yang dirakamkan di dalam al-Quran dan juga sejarah empayar Rom, lokasi peristiwa Ashabul Kahfi berlaku di sekitar selatan Turki di Ephesus, sehingga di Syam merangkumi negara Syria dan Jordan. Peristiwa tersebut berlaku sekitar kurun ke-3 hingga kurun ke-6 Masihi menurut pendapat yang masyhur. Namun, dalam menentukan gua Ashabul Kahfi, terdapat tiga pandangan mengenainya iaitu:

  • Gua di Ephesus, Anatolia, Turki.
  • Gua di Jabal Qassiyum, Damsyik, Syria.
  • Gua di ‘Amman, Jordan.

Antara ketiga-tiga pandangan tersebut, para sejarawan Islam melihat bahawa gua di ‘Amman, Jordan lebih menepati ciri-ciri gua Ashabul Kahfi sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Ia berdasarkan kepada ayat 17 yang menceritakan tentang kedudukan matahari dari gua tersebut, dan hal ini dilihat bertepatan dengan gua di Jordan. Terdapat sebuah lubang dari atas gua yang dimasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam, matahari berada dari arah pintu gua. Keadaan gua di Jordan tersebut juga luas sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 17. Berdasarkan ayat 21 pula, ternyata di atas gua di Abu Alanda, ‘Amman, Jordan terdapatnya kesan binaan rumah ibadat kaum Nasrani yang dibina pada zaman tersebut. Ketika zaman pemerintahan kerajaan Umawiyyah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid. Walau bagaimanapun, perbahasan yang diperselisihkan dalam peristiwa Ashabul Kahfi seperti lokasi gua, masa peristiwa, bilangan pemuda al-Kahfi, dan gambaran anjing tidaklah menjadi keutamaan dalam penyampaian kisah-kisah dalam al-Quran, sebaliknya al-Quran menegaskan mesej yang perlu dipetik daripada kisah-kisah tersebut untuk dijadikan pengajaran. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/199)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan kepada pendapat bahawa perbahasan mengenai lokasi Ashab al-Kahfi ini tidak perlu dipanjangkan mahupun diperincikan. Cukuplah kita berpada dengan apa yang telah disebutkan di dalam wahyu. Hal ini kerana perbahasan itu sangat sedikit faedahnya buat kita dan tidak memberi apa-apa kesan kepada hukum-hakam agama.  Lebih-lebih lagi, perkara utama yang sepatutnya difokuskan ialah apa yang disimpulkan oleh Allah SWT berkenaan kisah Ashab al-Kahfi ini iaitu pengajaran dan faedah daripada kisahnya sendiri. Pesan-pesan tauhid dan konsisten atas jalan Islam dalam kisah inilah yang wajar diberi perhatian yang serius, sesuai dengan tuntutan zaman kini.

Walau bagaimanapun, kami meraikan dan amat menghormati pendapat ini kerana ia sendiri menzahirkan kekayaan perbendaharaan ilmu Islam dalam membahaskan satu-satu isu.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan sediakan bagi kami petunjuk dalam urusan kami ini.”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply