Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah cinta kepada harta dan dunia membawa pemahaman materialism?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَابٍ وَحَفَفْنَاهُمَا بِنَخْلٍ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا ‎﴿٣٢﴾‏ كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ آتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْئًا ۚ وَفَجَّرْنَا خِلَالَهُمَا نَهَرًا ‎

Maksudnya: “Berikan perumpamaan kepada mereka dua orang lelaki yang Kami berikan kepada salah seorang daripada mereka dua kebun anggur. Kami kelilingi dua kebun itu dengan pokok-pokok kurma dan Kami jadikan antara dua kebun itu tanaman-tanaman lain. Kedua-dua kebun itu memberikan hasilnya tanpa sebarang kekurangan. Kami alirkan sungai di antara dua kebun itu.”

(Surah al-Kahfi: 32-33)

Ayat ini menceritakan dua orang lelaki yang mana salah seorang daripada mereka dikurniakan harta yang banyak berupa dua ladang anggur yang mengeluarkan hasil yang mencurah-curah. Menurut Fakhr al-Din al-Razi, kisah dua orang lelaki tersebut (seorang mukmin dan seorang kafir) adalah sebagai satu bentuk contoh perbandingan antara golongan kafir yang bermegah dengan harta dan para pengikutnya terhadap golongan mukmin yang miskin, namun tinggi keimanannya kepada Allah SWT. Sehubungan itu, Allah SWT menjelaskan bahawa harta dan kekayaan material tidak perlu dibanggakan kerana barangkali golongan yang miskin boleh menjadi kaya, manakala golongan yang kaya boleh jatuh miskin. Adapun perkara yang perlu dibanggakan adalah sejauh mana ketaatan dan pengabdian seseorang hamba kepada Allah SWT walaupun dia tidak memiliki harta yang banyak. Gambaran kemewahan harta yang dimiliki lelaki kafir tersebut ditonjolkan menerusi keindahan dua ladang anggur tersebut yang dikelilingi pohon-pohon kurma, manakala di tengah-tengah dua ladang anggur tersebut terdapat pula pelbagai tanaman lain yang mengeluarkan hasil yang bermanfaat kepada manusia. Malah, digambarkan bahawa ladang anggur tersebut mengeluarkan hasil yang sempurna serta tidak berkurang, ditambah pula dengan kewujudan sungai yang mengalir di celah-celah kebun tersebut bagi mengairi tanaman sekaligus mengindahkan pemandangan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/209)

Cinta kepada Harta dan Dunia Membawa kepada Fahaman Materialisme

Sesungguhnya Islam menegah umatnya daripada cinta kepada harta dan dunia. Berdasarkan kisah pemilik dua ladang di atas, sifat cinta dan tamakkan harta mengakibatkan seseorang itu bermegah dengan kehidupan dunia lantaran tertipu dengan harta. Malah, fitnah kemewahan dunia mendorong jiwanya untuk merasakan kehidupan di dunia adalah segala-galanya baginya. Dia berasa mampu untuk hidup kekal di dunia bersama hartanya, lalu meragui kehidupan selepas mati. Menjelang kurun-21, ciri-ciri seumpama ini dilihat mempengaruhi sebahagian manusia sehingga membibitkan fahaman materialisme yang dianuti mereka tanpa disedari. Lebih membimbangkan apabila fahaman ini berjaya membentuk kerangka berfikir manusia dengan berpandangan bahawa hanya objek atau benda berjirim sahaja yang benar-benar wujud di dunia, manakala elemen ghaibiyyat (perkara ghaib) termasuk aspek ketuhanan dan kewujudan Allah SWT dipertikaikan oleh fahaman ini.

Fahaman ini mendukung kepentingan kebendaan seperti wang dan harta-harta yang mewah untuk dimegahi. Di samping itu, dalam membuat pertimbangan demi mencapai apa yang dihajati oleh mereka, faktor wang dan harta dijadikan ukuran dan tujuan prioriti. Kesannya, mereka sanggup memperjudikan agama serta menggadaikan maruah dan harga diri mereka demi memiliki harta dan kekayaan. Kebejatan sistem sosial serta perlakuan jenayah yang muncul seperti rompakan, amalan rasuah, kegiatan pelacuran, dan lain-lain didasari dengan ketamakan harta dan wang sehingga golongan ini sanggup mempertaruhkan akidah dan maruah demi mengaut kemewahan dunia dan keseronokan yang fana. Apabila terdapatnya Muslim mengenepikan kekuasaan Allah SWT sebagai pengurnia rezeki, manakala harta yang diperolehi dianggap hanya daripada titik peluhnya sendiri, ketika itulah kegelinciran akidah boleh berlaku.Kemuncak fahaman materialisme ini juga turut membawa diri manusia ke satu lembah ketagihan harta, menikmati keseronokan hidup tanpa batasan sehingga mereka lupa diri lalu menafikan kehidupan selepas mati. Mereka melihat bahawa kehidupan dunia menjadi matlamat akhir mereka, malah menolak elemen kerohanian yang bersifat abstrak termasuklah hal-hal yang bersabit dengan ketuhanan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/211-212)

Benarlah sabda Baginda Nabi SAW menerusi riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawasanya Baginda SAW bersabda:

لَوْ كانَ لِابْنِ آدَمَ وادِيانِ مِن مالٍ لابْتَغى ثالِثًا، ولا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إلّا التُّرابُ، ويَتُوبُ اللَّهُ على مَن تابَ

Maksudnya: “Sekiranya anak Adam memiliki dua lembah harta, pasti dia ingin memiliki yang ketiga, dan tiadalah yang dapat memenuhi rongga (diri) anak Adam (sehingga puas) melainkan tanah jua (yang menimbusnya), namun Allah SWT menerima taubat sesiapa yang bertaubat.”

Riwayat al-Bukhari (6436)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply