Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah perkaitan dengan silap mata yang membawa kepada kegelinciran akidah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

إِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ٱذْكُرْ نِعْمَتِى عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَٰلِدَتِكَ إِذْ أَيَّدتُّكَ بِرُوحِ ٱلْقُدُسِ تُكَلِّمُ ٱلنَّاسَ فِى ٱلْمَهْدِ وَكَهْلًۭا ۖ وَإِذْ عَلَّمْتُكَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ ۖ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ ٱلطِّينِ كَهَيْـَٔةِ ٱلطَّيْرِ بِإِذْنِى فَتَنفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًۢا بِإِذْنِى ۖ وَتُبْرِئُ ٱلْأَكْمَهَ وَٱلْأَبْرَصَ بِإِذْنِى ۖ وَإِذْ تُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ بِإِذْنِى ۖ وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَنكَ إِذْ جِئْتَهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْهُمْ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌۭ مُّبِينٌۭ

Maksudnya: “(Ingatlah) ketika Allah berfirman: ‘Wahai Isa ibn Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izin-Ku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin-Ku; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israel daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: ‘Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.’

(Surah al-Ma’idah: 110)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, dalam ayat 110 daripada Surah al-Ma’idah (sebagaimana di atas), Allah SWT mengemukakan sejumlah mukjizat yang telah dikurniakan kepada Nabi Isa A.S, antaranya menghidupkan orang yang telah mati, menyembuhkan pesakit yang mengalami sopak, dan bertutur dengan bahasa yang difahami ketika masih bayi. Kemukjizatan yang dikurniakan kepada para nabi ini sudah tentu memiliki perbezaan dengan sihir sebagaimana yang dituduh oleh bangsa Yahudi kepada Nabi Isa A.S. Mukjizat bermaksud suatu perkara yang menyalahi adat yang dikurniakan kepada para nabi. Tujuan mukjizat tersebut diturunkan ialah bagi meneguhkan kebenaran risalah yang dibawa oleh nabi, sekali gus membenarkan pelantikan nabi yang sememangnya datang daripada Allah SWT. Adapun sihir, ia merupakan satu perkara menyalahi adat yang melewati kemampuan manusia biasa dengan cara memohon bantuan daripada jin dan syaitan.

Berikut dalam jadual di bawah menunjukkan perbezaan di antara mukjizat dan sihir:[1]

Jadual di atas: Perbezaan antara mukjizat dan sihir

Adapun silap mata, secara umumnya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ia bermaksud sejenis permainan yang mengelirukan pandangan or­ang lain (membuat sesuatu yang aneh-aneh dan lain-lain).[2]

Silap mata, sunglap atau sulap adalah seni pertunjukan di mana penonton dihiburkan dengan muslihat yang dipentaskan atau ilusi yang dilihat tidak mungkin dilakukan dengan cara biasa. Ia merupakan salah satu seni persembahan tertua di dunia.

Seni ini semakin disempurnakan pada abad ke-19 terutamanya oleh Jean Eugène Robert-Houdin lalu menjadi suatu bentuk seni teater yang popular melanjut sepanjang abad tersebut ke awal abad ke-20, di mana tokoh seperti John Maskelyne dan David Devant, Howard Thurston, Harry Kellar, dan Harry Houdini mencapai kejayaan komersial yang meluas dalam penceburan seni ini mewujudkan suatu “Zaman Keemasan”.

Antara jenis silap mata yang dipersembahkan ialah:

  • Ilusi pentas – untuk lingkungan penonton yang besar menduduki sebuah panggung atau auditorium. Ia sering menggunapakai prop skala besar serta hawain eksotik seperti gajah dan harimau (dipelopori Harry Blackstone, Sr., Howard Thurston, Chung Ling Soo, David Copperfield, Lance Burton, Siegfried & Roy, dan Harry Blackstone, Jr.)
  • Mentalisme – memberi tanggapan kehebatan penghibur kononnya membaca dan mengawal minda, meramal kejadian masa akan datang dan perkara seumpamanya dalam kalangan penonton.
  • Eskapologi – mengkhusus kepada pelepasan daripada perangkap dan penggarian. (Harry Houdini antara pemasyhurnya)
  • Silap mata jalanan – hiburan jalanan menggabungkan beberapa jenis silap mata untuk dipersembahkan di kawasan terbuka menghadap orang ramai (dimasyhurkan David Blaine dan Cyril Takayama)[3]

Berasaskan kepada pengertian silap mata, penampilan silap mata bertujuan mengelirukan pandangan orang lain sama ada menggunakan teknik yang kreatif atau mengguna pakai cara yang mencarik adat. Seandainya, silap mata menggunakan perantaraan jin untuk menipu daya manusia, sepakat ulama bahawa hukumnya adalah haram kerana ia pada hakikatnya adalah amalan sihir. Adapun silap mata tanpa menggunakan perantaraan jin tetapi menggunakan kepantasan tangan dan teknologi, hukumnya adalah diharuskan. Ini kerana ia kembali semula sebagaimana kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota kaki:

[1] Lihat  https://www.islamweb.net/ar/article/13703/الفرقبينالمعجزةوالكرامةوالسحر. Diakses pada 22 November 2023.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=silap+mata. Diakses pada 22 November 2023.

[3] https://ms.wikipedia.org/wiki/Silap_mata

Leave a Reply