Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah pengajaran yang dapat diambil daripada Muhajirin dan Ansar? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لِلْفُقَرَآءِ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ ٱلَّذِينَ أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَأَمْوَٰلِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًۭا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنًۭا وَيَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ ٨ وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلْإِيمَـٰنَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمْ حَاجَةًۭ مِّمَّآ أُوتُوا۟ وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۭ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: (Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya). (8) Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

(Surah al-Hasr 8-9)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini Sejarah Islam telah mengabadikan wujudnya model unggul ukhuwwah Islamiah yang telah ditampilkan oleh kaum Ansar yang amat mencintai kaum Muhajirin. Lantas mereka sanggup membahagikan sama rata harta, tanah, barang dagangan, bahkan isteri-isteri mereka pun kepada kaum Muhajirin yang sangat miskin. Akhirnya kisah pengorbanan yang penuh gilang gemilang ini diabadikan Allah SWT dalam al-Quran dalam Surah al-Hasyr, ayat 9 sebagai generasi rabbani yang cemerlang di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: Orang-orang tinggal di kota Madinah dan telah beriman (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang terpelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orangorang yang beruntung.

Inilah contoh teladan persaudaraan tulen tiada tolok bandingnya terukir dalam sejarah Islam sehingga setakat ini yang telah diasaskan atas dasar akidah yang satu ditujukan khusus kepada Allah SWT yang Maha Esa semata-mata, bukannya mengharapkan kepentingan duniawi atau manfaat yang bersifat sementara cuma. Dari sini, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Islam telah berjaya memupuk persaudaraan ini di kalangan kaum Ansar dan Muhajirin sehingga mereka saling bekerjasama dan duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi tanpa memandang kepada kelebihan pangkat dan keturunan.

Malahan, mereka saling hormat menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain sehingga mereka mampu membentuk sebuah masyarakat yang bersatu dan kuat serta unggul dalam segala lapangan hidup. Mereka telah berjaya menonjolkan diri mereka sebagai kuasa besar baru mengatasi kehebatan kuasa Rom dan Parsi ketika itu dan juga berjaya menyebarkan risalah keadilan Islam kepada seluruh warga manusia yang menghuni dunia ini.

Dengan demikian, Islam mengajar umatnya bahawa satu-satunya ikatan penghubung antara umat Islam adalah ukhuwwah Islamiah, bukan yang lainnya seperti ikatan kesukuan, kebangsaan, kepartian dan seumpamanya. Islam adalah satu-satunya ikatan yang diwajibkan oleh Allah kepada setiap muslim. Oleh kerana itu, adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk meyakini bahawa setiap muslim adalah bersaudara sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Sesungguhnya kisah persaudaraan mereka sepatutnya ditulis dengan tinta emas dan sejarah yang tidak mungkin diulang. Hal ini terbukti oleh ramai sahabat yang mempamerkan ikatan ukhuwah yang unggul selepas dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW seperti Sa’d bin al-Rabi’ dan Abd al-Rahman bin Auf dan lain-lain lagi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Leave a Reply