Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah kesan umat islam yang tidak menghayati alquran? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya:  Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

(surah al-Hasyr: 21)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas era globalisasi yang mewarnai pentas dunia kini kelihatan sedang menyaksikan betapa ramainya umat manusia semakin tersasar dari landasan yang lurus. Natijahnya, ramai manusia yang tertipu dengan godaan dunia yang mempesona. Indeks keruntuhan akhlak semakin merudum dan kesejahteraan hidup yang diimpikan mulai pupus dek peperangan dan penindasan. Runtuhnya mahligai rumahtangga yang memutuskan jalinan mesra seisi keluarga, tiada harmoninya hubungan sesama insan, saling tindas menindas, yang kaya menjadi semakin sombong dan yang miskin pula semakin terhimpit penderitaan demi penderitaan. Dalam erti kata lain, hidup ini seolah-olah ketiadaan bimbingan dan panduan, dada umat manusia pula dipenuhi penyakit jiwa dan hilangnya petunjuk serta rahmat dalam kehidupan.

Akhirnya, kedengaran suara-suara dan jeritan dari kejauhan sudut hati manusia yang menyeru apakah di sana masih ada jalan keluar dan penyelesaian dari kemelut ini? Apakah ada konsep yang sesuai untuk manusia hidup sejahtera dan bahagia di dunia dan akhirat? Apakah kezaliman dan penderitaan yang dialami umat manusia sekian lamanya ini akan berakhir dan menemui titik noktah penghujungnya? Apakah ada penawar yang ampuh untuk menyelamatkan umat manusia daripada krisis akhlak yang semakin meruncing? Apakah keadilan akan menjelma kembali menaungi alam semesta ini? Dan sekian banyak lagi persoalan demi persoalan yang melingkari kehidupan manusia yang mengharapkan satu jalan penyelesaian terbaik supaya manusia dapat keluar dari kegersangan hidupnya dan seterusnya menikmati kebahagiaan hidup yang abadi.

Sebenarnya konsep untuk manusia hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan-jalan menuju kesejahteraan hidup sudah jelas termaktub dalam kitab suci al-Quran, namun diingkari. Ini bermakna bahawa Islam yang diutuskan Allah SWT melalui pesuruh-Nya Rasulullah SAW sudah ada menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang mampu menjamin hidup manusia dalam menyelesaikan segala masalah dan kemelut yang melanda serta penawar bagi semua penyakit kehidupan. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga yang menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus: 57)

Ini adalah satu seruan suci dari Allah SWT untuk semua umat manusia supaya mereka dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat dengan syarat mereka berpegang teguh dengan ajaran dan hukum hakam yang telah ditetapkan-Nya. Ini juga adalah satu janji atau jaminan yang sangat manis yang tidak akan dimungkiri oleh Allah SWT. Oleh sebab itulah, Allah SWT menurunkan risalah Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh buat mengatur kehidupan manusia sejagat ke arah kebahagiaan abadi di bawah keredhaan Ilahi jua. Ini bermakna jalan keluar sudah sedia ada, penawar sudah ada di depan mata, maka terserahlah kepada umat manusia memilih sama ada hendak hidup berbahagia atau hidup menderita yang tiada titik penghujungnya.

Sebagai kesimpulannya, umat Islam sewajibnya bermuhasabah dan merenungi diri tentang nasib dan maruah mereka dewasa ini yang sudah sekian lama tercalar. Maka, inilah masanya untuk mereka kembali kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW mudah-mudahan mereka dapat memartabatkan kembali imej mereka sebagai umat terbaik dan umat contoh sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT melalui firman suci-Nya. Setiap muslim seharusnya sama-sama mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupannya sehingga keadilan Islam dapat menghiasi kembali kemakmuran bumi Allah SWT ini dan Islam kelak akan menerajui kepimpinan umat manusia ke arah keharmonian, kesaksamaan dan kesejahteraan abadi di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Bayan,5/689-690)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam

Leave a Reply