Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana kedudukan pelaku dosa besar di hari akhirat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan pandangan al-Qurtubi berkaitan maksud dosa besar iaitu setiap dosa yang disandarkan dengan nas al-Quran, Sunnah, atau ijma‘ bahawa ia adalah dosa besar, dijanjikan hukuman yang berat, hukuman had, atau sangat  diingkari atasnya, maka ia adalah dosa besar. (Lihat Fath al-Bari, 15/709).

Dosa besar adalah dosa yang pelakunya diancam dengan azab neraka, kemurkaan Allah atau laknat, serta pelakunya disifatkan sebagai fasiq. Sebagaimana perkataan Ali bin Abu Talhah ketika menafsirkan surat al-Nisa’ ayat 31, beliau berkata: “Dosa besar adalah yang Allah tutup dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/202). Berhubung dengan perkara dosa besar ini terdapat sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah ia?’ Rasulullah menjawab: ‘Syirik terhadap Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika peperangan, menuduh wanita yang baik berzina.’

Riwayat al-Bukhari (2766)

Kedudukan orang yang melakukan dosa sama ada besar atau kecil kecuali syirik dijelaskan oleh al-Qur’an, dimana mereka boleh diampunkan dosanya oleh Allah.  Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ

Maksudnya:  “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa sesiapa yang mensyirikkan-Nya, dan Allah mengampunkan dosa selain dosa syirik kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Jarir al-Tabari dalam menjelaskan ayat ini menyebutkan, ayat ini menjelaskan bahawa semua pelaku dosa besar berada di bawah kehendak Allah. Jika berkehendak, Dia memaafkannya, dan jika berkehendak, Dia akan menyeksanya. Selama mana dosa besarnya bukanlah sebuah kesyirikan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 8/450).  Manakala Ibn Kathir pula menjelaskan dengan menyebutkan, Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik iaitu ketika seorang hamba bertemu-Nya dalam keadaan berbuat syirik. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/129). Sementara Ibn al-Jauzi berpendapat, Allah SWT tidak akan mengampuni orang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103).

Ibn Jarir al-Tabari dalam Jami‘ al-Bayan (20/465) meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata: “Umat ini terbahagi kepada tiga bahagian pada hari kiamat. 1/3 akan masuk syurga tanpa hisab, 1/3 yang lain akan dihisab dengan hisab yang mudah dan 1/3 yang lain datang dengan dosa yang banyak sehingga Allah SWT berfirman: ‘Siapa mereka?’ dan Dia Maha Mengetahui, maka malaikat menjawab: ‘Mereka datang dengan membawa dosa yang banyak. Hanya sahaja mereka tidak menyekutukan-Mu dengan sesuatu,’ maka Allah berfirman: ‘Masukkan mereka ke dalam rahmat-Ku yang luas.’” Lalu Abdullah bin Mas‘ud R.A membacakan ayat 32, Surah Fatir:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا ٱلْكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ

Maksudnya: “Kemudian Kami mewariskan Kitab al-Quran itu kepada orang yang Kami pilih dalam kalangan hamba-hamba Kami.”

(Surah Fatir: 32)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa orang yang melakukan dosa besar adalah disebabkan diri mereka dikuasai oleh runtunan hawa nafsu amarah dan terpedaya dengan hasutan syaitan. Jika mereka bertaubat dan menyesal di atas perbuatannya, kemungkinan Allah mengampunkan dosanya. Namun jika terus berdegil dan tidak mahu bertaubat  maka ia bergantung atas kehendak Allah SWT, sama ada mengampunkannya atau mengazabkannya, selagi mana dia tidak melakukan syirik kepada Allah SWT.

Alangkah ruginya jika semasa hidup di dunia yang sementara ini diisi dengan dosa-dosa besar yang membawa kemurkaan Allah SWT. Jika ditakdirkan seseorang pelaku dosa besar ini mati sebelum bertaubat maka amat malang sekali perjalanan hidupnya selepas kematian kerana akan mengalami kesengsaraan yang  berpanjangan di alam barzakh, Padang Mahsyar, timbangan amal dan Siratul Mustaqim akhir sekali dihumbankan ke dalam Neraka Jahannam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Leave a Reply