Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan kepada kami bentuk makanan dan minuman ahli neraka? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ وَٱلْمُشْرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ شَرُّ ٱلْبَرِيَّةِ ٦ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ ٧ جَزَآؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِىَ رَبَّهُۥ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

(Surah al-Bayyinah: 6-8)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita orang yang beriman dan beramal soleh merekalah yang menuju ke syurga. Sebaliknya, orang yang kafir, merekalah yang menghuni neraka Jahannam. Ini juga menunjukkan bahawa syurga dan neraka itu adalah benar.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, diceritakan bahawa penghuni neraka merintih meminta makanan dan minuman. Tiada permintaan akan ditunaikan biarpun sedikit makanan atau seteguk air. Allah SWT merakam hal ini melalui firman-Nya:

وَنَادَىٰٓ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ أَصْحَـٰبَ ٱلْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا۟ عَلَيْنَا مِنَ ٱلْمَآءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ ۚ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ

Maksudnya: “Dan penghuni neraka menyeru penghuni syurga, ‘Tuangkanlah sedikit air kepada kami atau rezeki apa sahaja yang telah dikurniakan Allah kepadamu.’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya Allah telah mengharamkan kedua-duanya atas orang-orang kafir.’

(Surah al-A‘raf: 50)

Penghuni neraka cuma akan disediakan makanan dan minuman dalam bentuk hidangan azab. Tiada sebarang makanan dan minuman yang dapat mengenyangkan dan memutuskan dahaga.

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, nas al-Quran menunjukkan beberapa jenis makanan yang akan diberikan kepada mereka — penghuni neraka:

  • Zaqqum: Rupa makanan ini sangat buruk yang menyerupai kepala syaitan. Makanan ini terhasil daripada pokok yang keluar daripada dasar neraka.
  • Dhari’: Pokok berduri yang tidak menggemukkan dan tidak mengenyangkan.
  • Ghislin: Darah dan nanah.
  • Zi Ghussah: Makanan yang mencekik kerongkong manusia.

Begitu juga tiada lagi hidangan air melainkan air dalam bentuk air seksaan seperti:

  • Hamim: Minuman yang sangat panas hingga meluluhkan usus manusia.
  • Ghassaq: Nanah yang mengalir daripada kulit penghuni neraka.
  • Sadid: Air nanah daripada kesakitan penghuni neraka.
  • Muhl: Minyak yang menggelegak.

Golongan yang bertakwa melihat ancaman neraka sebagai suatu peringatan yang penting. Mereka akan taat segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Segala yang haram akan dijauhkan supaya mereka layak untuk memperoleh syurga dan terhindar daripada seksaan neraka yang menakutkan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 209-210).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Leave a Reply