Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz jelaskan berkenaan tingkatan neraka dan ciri-ciri malaikat yang menjaganya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ وَٱلْمُشْرِكِينَ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ شَرُّ ٱلْبَرِيَّةِ ٦ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ ٧ جَزَآؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِىَ رَبَّهُۥ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

(Surah al-Bayyinah: 6-8)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita orang yang beriman dan beramal soleh merekalah yang menuju ke syurga. Sebaliknya, orang yang kafir, merekalah yang menghuni neraka Jahannam. Ini juga menunjukkan bahawa syurga dan neraka itu adalah benar.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Allah SWT telah menyatakan bahawa neraka Jahannam terdiri daripada tujuh pintu atau tingkat. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَٰبٍۢ لِّكُلِّ بَابٍۢ مِّنْهُمْ جُزْءٌۭ مَّقْسُومٌ

Maksudnya: “Neraka Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu telah ditetapkan untuk golongan yang tertentu dari mereka.”

(Surah al-Hijr: 44)

Pintu (tingkat) neraka yang disebutkan di dalam al-Quran ialah:

Pertama: Hawiyah (هاوية)

Neraka ini dirakamkan dalam Surah al-Qari‘ah, ayat 9:

Kedua: Jahim (جحيم)

Neraka ini dirakamkan dalam banyak surah, antaranya Surah al-Syu‘ara’ ayat 91 dan Surah al-Saffat ayat 97.

Ketiga: Saqar (سقر)

Neraka ini dinyatakan dalam Surah al-Muddatthir ayat 26, 27 dan 42 Surah al-Qamar ayat 48.

Keempat: Laza (لظى)

Surah al-Ma‘arij ayat 15 mengemukakan azab neraka ini.

Kelima: Hutamah (حطمة)

Perihal neraka ini dirakamkan dalam Surah al-Humazah, ayat 4 dan 5.

Keenam: Sa‘ir (سعير)

Neraka ini disebutkan di dalam banyak surah, antaranya Surah al-Ahzab ayat 64, Surah al-Syura ayat 7 dan Surah al-Fath ayat 13.

Ketujuh: Wail (ويل)

Kalimah Wail yang merujuk kepada nama tingkat atau pintu neraka juga telah disebutkan beberapa kali dalam al-Quran, antaranya dalam Surah al-Tur ayat 11 dan Surah al-Mutaffifin ayat 1.

Kemudian, nama malaikat yang disebutkan secara khusus dalam al-Quran ada dua, iaitu:

  • Malik yang merupakan ketua kepada sekalian malaikat yang menjaga neraka. Malaikat Malik dinyatakan dalam Surah al-Zukhruf, ayat 77:

وَنَادَوْا۟ يَـٰمَـٰلِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ ۖ قَالَ إِنَّكُم مَّـٰكِثُونَ

Maksudnya: “Mereka berseru: ‘Wahai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh kami sahaja.’ Dia menjawab: ‘Kamu akan tetap tinggal di neraka ini.’

(Surah al-Zukhruf: 77)

  • Zabaniyah yang termasuk dalam bilangan 19 malaikat sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Muddatthir, ayat 30 menurut jumhur ahli tafsir. Malaikat Zabaniyah disebutkan dalam Surah al-‘Alaq, ayat 18, firman Allah SWT:

سَنَدْعُ ٱلزَّبَانِيَةَ

 Maksudnya: “Kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah.”

(Surah al-‘Alaq: 18)

Ciri-ciri malaikat penjaga neraka secara umumnya memiliki dua ciri asas iaitu kasar (غِلَاظ) dari segi perkataannya yang menggerunkan, tidak toleransi dan tiada kompromi. Ditambah pula dengan ciri keras (شِدَاد) dari segi fizikalnya yang sangat besar dan perkasa serta muka yang sangat bengis. Kedua-dua ciri ini dinyatakan dalam ayat 6 Surah al-Tahrim. Selain itu, Nabi SAW juga memperihalkan malaikat penjaga neraka yang bilangannya begitu banyak sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Baginda SAW bersabda:

يُؤْتى بجَهَنَّمَ يَومَئذٍ لها سَبْعُونَ ألْفَ زِمامٍ، مع كُلِّ زِمامٍ سَبْعُونَ ألْفَ مَلَكٍ يَجُرُّونَها

Maksudnya: “Pada hari kiamat, Neraka Jahannam akan didatangkan dengan 70 ribu tali penarik. Setiap tali akan ada 70 ribu malaikat yang menariknya.

Riwayat Muslim (2842)

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (6/236-237)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply