Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan berkenaan halia atau zanjabil berdasarkan pandangan ulama dan perubatan Melayu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيُسْقَوْنَ فِيهَا كَأْسًۭا كَانَ مِزَاجُهَا زَنجَبِيلًا ١٧ عَيْنًۭا فِيهَا تُسَمَّىٰ سَلْسَبِيلًۭا

Maksudnya: “Juga mereka diberi minum di dalamnya segelas air yang dicampur dengan Zanjabil (17). Iaitu suatu mata air di dalam syurga yang diberi nama Salsabil.

(Surah al-Insan: 17-18)

Sebahagian ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan, para penghuni syurga akan diberi minuman arak yang dicampur dengan halia, supaya rasa dan aromanya lebih enak, dan akan dihidangkan kepada mereka dalam gelas-gelas yang diisi sampai penuh. Begitu juga mereka boleh minum dari mata air yang dipanggil “Salsabil.” Nama ini menunjukkan rasa air yang segar dan segar, serta mudah ditelan. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1795).

Dalam menjawab soalan di atas, halia dalam bahasa saintifik dikenali sebagai zingiber zerumbet, manakala dalam bahasa arab dinamakan zanjabil. Halia (zanjabil) merupakan tumbuhan herba yang kerap digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu sama ada dalam masakan, minuman mahupun perubatan. Ia juga diiktiraf sebagai salah satu rawatan komplementari bagi merawat pelbagai penyakit. Ia terkenal sebagai agen pemulihan sejak berkurun lamanya. Menurut Ibn Qayyim, halia merupakan agen pemanas dan membantu mencernakan makanan, melembutkan perut, menyihatkan hati, menghilangkan penyakit mata kabur sama ada dengan makan atau bercelak dengannya, membuang angin di badan yang terdapat dalam perut, menghilangkan cairan dan lendiran kahak dan menjaga badan daripada kesan makanan-makanan yang bersifat sejuk.

Berdasarkan kajian terhadap 13 jenis tafsir, didapati bahawa keistimewaan utama halia adalah kerana aromanya yang harum dan rasanya yang lazat. Terdapat satu jenis minuman arak ahli syurga yang meletakkan campuran khas halia yang dikhususkan kepada golongan al-Abrar sahaja. Sebutan campuran halia ini ada hubung kaitnya dengan amalan budaya masyarakat arab Jahiliyyah yang mana mereka sering mencampurkan halia dalam arak mereka semasa di dunia kerana arak mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Justeru dengan campuran halia, ia menjadi lebih harum dan selesa. Kebiasaannya, arak campuran halia ini hanya dihidangkan dalam pesta dan majlis keraian istimewa sahaja. Walaubagaimanapun, para ahli tafsir menegaskan bahawa persamaan ini hanya dari segi nama dan bukan pada rasanya. Sudah tentu rasa zanjabil di akhirat lebih lazat dan istimewa berbanding di dunia.

Sementara dalam hadith-hadith berkaitan halia (zanjabil) kebanyakan berstatus lemah (dha‘if), sangat lemah dan palsu (maudhu‘). Daripada empat matan hadith halia, tiga daripadanya berstatus lemah. Manakala satu berstatus sangat lemah atau palsu. Berdasarkan penghujahan dengan hadith yang berstatus lemah adalah dibolehkan kerana ia tidak melibatkan persoalan akidah atau penetapan hukum syarak. Maka, hadith tentang halia ini menceritakan tentang Raja Rom yang memberi hadiah kepada Rasulullah SAW sebekas halia dan Baginda memberi makan para sahabat yang ada pada ketika majlis itu berlangsung. Perkara ini termasuk dalam kategori fadha’il al-‘amal iaitu kelebihan beramal. Manakala berdasarkan kajian terhadap manuskrip MSS1754, terdapat 3 daripada 51 jenis penyakit yang dirawat menggunakan halia atau zanjabil, iaitu demam kura-kura, dingin syirnya dan penguat tenaga.

Kesimpulannya, khasiat halia tertumpu kepada tiga kelompok utama iaitu; (i) bertindak sebagai zat pelancar, (ii) bertindak sebagai penguat, dan (iii) bertindak sebagai antiseptik (membunuh kuman).[1]

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (6/282-283).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1]   Robiatul Adawiyah et al. 2019. Perbahasan Halia (Zanjabil) Berdasarkan Al-Quran, Hadis Dan Manuskrip Perubatan Melayu. Jurnal Filologi Melayu. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) jilid 26/109-122.

Leave a Reply