#4564: Harta Dan Anak Sebagai Kemuliaan Individu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah harta dan anak sebagai kemuliaan individu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mengemukakan perbincangan menerusi tafsir firman Allah SWT:

وَقَالُوا۟ نَحْنُ أَكْثَرُ أَمْوَٰلًۭا وَأَوْلَـٰدًۭا وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ (٣٥) قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan mereka berkata lagi: ‘Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa’. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)’.”

(Surah Saba’: 35-36)

Allah SWT membawa perhatian kita kepada dialog yang akan berlaku di akhirat kelak, tatkala golongan pengikut akan menyalahkan pemimpin mereka ketika di dunia kerana telah menyesatkan mereka melalui pelbagai tipu daya yang dirancang siang dan malam. Jika bukan kerana mereka, nescaya para pengikut telah beriman dengan risalah kenabian yang dibawa. Golongan pemimpin enggan menerima beban kesalahan tersebut, lalu menyatakan bahawa kekufuran pengikut mereka itu adalah disebabkan oleh pilihan mereka sendiri. Namun semua ini tidak berguna walau sedikitpun, dan terzahirlah pada wajah mereka penyesalan tatkala melihat azab yang pedih yag bakal dihadapi. Amatlah layak azab tersebut dikenakan ke atas mereka, lantaran amalan jahat yang mereka kerjakan ketika di dunia. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/167; al-Tafsir al-Munir, 22/188-189)

Dialog ini turut disebutkan di dalam Surah al-Baqarah:

إِذْ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ ٱلْأَسْبَابُ (١٦٦) وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةًۭ فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا۟ مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعْمَـٰلَهُمْ حَسَرَٰتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُم بِخَـٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: “(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka. Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.”

(Surah al-Baqarah: 166-167)

Dalam menghadapi kekufuran golongan penentang ini, Allah SWT menenangkan Rasul-Nya bahawa sepanjang sejarah, tiada seorang nabi pun yang diutuskan melainkan golongan elit yang angkuh dan mereka yang berada di tampuk kuasa akan menjadi musuh kepada dakwah, sedangkan golongan marhaen berdiri teguh di belakang para nabi. Allah SWT merakamkan kata-kata kaum Nabi Nuh A.S dalam Surah al-Syu‘ara’:

قَوْمَ فِرْعَوْنَ ۚ أَلَا يَتَّقُونَ

Maksudnya: “Iaitu kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaan-Ku?”

(Surah al-Syu‘ara’: 11)

Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-An‘am:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِى كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَـٰبِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا۟ فِيهَا ۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.”

(Surah al-An‘am: 123)

Golongan elit penguasa ini berbangga-bangga dengan kemewahan harta benda dan anak-pinak yang mereka miliki, lalu mereka tertipu dan menganggap bahawa kemewahan tersebut merupakan bukti kecintaan dan pertolongan Allah SWT kepada mereka. Mereka menyangka bahawa oleh kerana mereka diberi nikmat di dunia, mana mungkin Allah SWT akan mengazab mereka di akhirat? Betapa jahilnya mereka kerana tidak menyedari bahawa nikmat dunia itu langsung tidak membawa kebaikan kepada mereka, bahkan ia menjadi asbab kepada kehancuran mereka di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam Surah al- Mu’minun:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِۦ مِن مَّالٍۢ وَبَنِينَ (٥٥) نُسَارِعُ لَهُمْ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ بَل لَّا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Adakah mereka menyangka bahawa harta benda dan anakpinak yang Kami berikan kepada mereka itu. Bermaksud Kami menyegerakan pemberian kebaikan untuk mereka? Bukan begitu! Tetapi mereka tidak menyedari.”

(Surah al-Mu’minun: 55-56)

Melalui ayat 35 dan 36 Surah al-Saba’ ini juga, kita dapat melihat satu perkara yang perlu dititikberatkan, ketika mana orang kafir yang kaya-raya menafikan dan mengingkari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai harta yang lebih banyak dan anak yang ramai, maka sekiranya Allah SWT tidak menyukai mereka, mengapa mereka dikurniakan kelebihan dan kebaikan berbanding orang Islam. Lantaran itu, mereka mengatakan kebiasaannya orang yang diberi kelebihan dan kebaikan tidak akan diazab.

Disebabkan itu jugalah, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, ‘Sesungguhnya Tuhanku yang melapangkan dan menyempitkan rezeki sesiapa yang Dia kehendaki; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat ini.’”

(Surah Saba’: 36)

Daripada ayat ini, dapat kita fahami, bahawa sesungguhnya Allah SWT berkuasa untuk melapangkan dan menyempitkan rezeki bagi sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya tidak kira rezeki harta mahupun rezeki anak. Namun, boleh jadi rezeki yang dikurniakan atau disempitkan itu merupakan suatu bentuk ujian dan cubaan terhadap hamba-Nya. Oleh kerana itu, rezeki tidak dapat mempengaruhi apa pun yang akan diterima oleh siapa pun di akhirat kelak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/305)

Pada ayat seterusnya pula, Allah SWT menegaskan bahawa harta dan keturunan itu tidak akan menambahkan ketinggian atau darjat di sisi-Nya. Kesemua itu tidak dapat meningkatkan kemuliaan seseorang individu, melainkan hanyalah dengan ketakwaan. Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Demikian juga sama halnya sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

إنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إلى صُوَرِكُمْ وأَمْوالِكُمْ، ولَكِنْ يَنْظُرُ إلى قُلُوبِكُمْ وأَعْمالِكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu.”

Riwayat Muslim (2564)

Kesimpulan

Ketahuilah juga bahawa harta benda dan anak pinak itu tidak akan mendekatkan pemiliknya kepada Allah SWT, melainkan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, serta membelanjakan harta yang diperolehi ke jalan yang diredhai-Nya. Mereka itulah yang akan digandakan ganjaran kebaikan bagi mereka, sehingga mencapai 10, bahkan 700 kali ganda, sedang mereka aman damai di syurga kelak tanpa ada sebarang kerisauan dan kegusaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/462; al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/167-168)

Allah SWT boleh mengurniakan rezeki-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki; Dia boleh meluaskan rezeki bagi golongan kafir dan pendosa, dan boleh menyempitkan bagi yang beriman dan taat, dan boleh juga berlaku sebaliknya. Keluasan atau kesempitan rezeki ketika di dunia bukanlah dalil bagi menentukan kebahagian hidup ketika di akhirat. Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *