Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah wanita tua yang Nabi SAW katakan bahawa orang tua tak layak masuk syurga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah ini berdasarkan sebuah hadith, daripada al-Hasan R.A, beliau berkata:

أَتَتْ عَجُوزٌ إِلَى النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ ادْعُ اللهَ أَن يُدْخِلَنيِ الجنَّةَ فَقَالَ: يَا أمَّ فُلَانٍ إنَّ الجنَّةَ لَا تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ قَالَ: فولَّتْ تَبْكِي فَقَالَ: أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لَا تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُولُ: إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَاراً عُرُباً أَتْرَاباً

Maksudnya:Seorang wanita tua datang bertemu dengan Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.’ Maka Baginda menjawab: ‘Wahai Ummu Fulan, sesungguhnya syurga itu, tidak dimasuki oleh orang tua.’” Beliau berkata: “Wanita itu lantas berpaling dan menangis, lalu Baginda SAW bersabda: ‘Kamu sampaikanlah kepada wanita itu bahawa dia tidak akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan dia tua kerana sesungguhnya Allah SWT berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.’ (Surah al-Waqi‘ah: 35-37).”

Riwayat al-Tirmizi (230) dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW bergurau ketikamana orang-orang tua yang biasanya diabaikan dan tidak diberi perhatian oleh masyarakat. Tidak dinafikan dengan cara bergurau memberi peringatan dan perhatian kepada orang-orang yang sekeliling. Perempuan yang terdapat dalam hadith ini ada menyatakan ibu saudara Baginda sendiri iaitu Sofiyyah binti Abd al-Muttalib. (Lihat Jawab al-Sail an Syarh al-Syamail, hlm. 267)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply