Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika tikus jatuh pada minyak sapi, bagaimana nak buat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Maimunah isteri Nabi SAW, katanya:

أَنَّ فَأْرةً وَقَعَتْ فِي سَمْنٍ، فَمَاتَتْ فِيهِ، فَسُئِلَ النَّبيُّ -صلى الله عليه وسلم- عَنْهَا، فَقَال: أَلْقُوهَا وَمَا حَوْلَهَا، وَكُلُوه

Maksudnya: Bahawa ada seekor tikus terjatuh ke dalam minyak samin, lalu ia mati di dalamnya. Nabi SAW ditanya tentang hal itu, maka Baginda bersabda: “Buanglah ia (tikus itu) dan bahagian yang ada di sekitarnya, lalu makanlah (bakinya).”

Riwayat al-Bukhari (5540), Ahmad (7284) dan al-Nasa’ie (418)

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَتِ الفَأَرَةُ فِي السَّمْنِ، فَإنْ كانَ جَامِدًا فَأَلْقُوهَا وَمَا حَوْلَهَا، وَإِنْ كَانَ مَائِعًا فَلاَ تَقْرَبُوه

Maksudnya: “Apabila tikus jatuh ke dalam minyak samin; jika minyak itu padat, maka buanglah tikus tersebut serta bahagian yang ada di sekitarnya. Dan jika cair, maka janganlah kalian dekati.”

Riwayat Ahmad (6880) dan Abu Daud (3842)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

  • Dua hadith di atas menunjukkan bahawa najisnya tikus dan ia termasuk jenis haiwan yang kotor. Terdapat di dalam hadith Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim bahawa Nabi SAW memerintahkan untuk membunuhnya.
  • Sesungguhnya tikus, apabila ia terjatuh pada minyak atau benda cair yang lain, dan mati di dalamnya, maka ia menyebabkan najis. Demikian juga kawasan sekitarnya. Dengan demikian, ia hendaklah dibuang, dan demikian juga yang ada di sekitarnya.

Al-Hafiz berkata: Tidak ada had kawasan yang perlu dibuang. Akan tetapi Ibn Abi Syaibah meriwayatkan hadith mursal, daripada Ata’, iaitu seluas tapak tangan. Sanad hadithnya baik, jika ia bukan hadith mursal.”

  • Di dalam hadith, terdapat isyarat diharamkan benda-benda yang najis. Ia tidak boleh dimanfaatkan dan digunakan.
  • Mafhum mukhalafah (kefahaman berlawanan) darupada sabda Nabi SAW: “Lalu ia mati di dalamnya.” Sesungguhnya tikus apabila ia jatuh di dalamnya (samin) dan keluar dalam keadaan hidup, maka minyak samin tersebut tidak najis. Sesungguhnya para ahli fiqh menjadikan kucing dan haiwan kecil yang lain suci ketika ia masih hidup berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia tidak najis kerana ia adalah jenis haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Seterusnya diqiyaskan pada haiwan jenis yang lain.

  • Hukum ini selagi minyak samin tersebut tidak berubah pada bau, rasa atau warnanya. Apabila ia berubah, maka ia menjadi najis dan tidak boleh digunakan serta didekati. Sesungguhnya air yang suci mensucikan, apabila berubah rasa, bau dan warnanya dengan najis, maka ia menjadi najis. Maka bagaimana dengan benda cair yang tidak menolak dirinya daripada benda najis.
  • Hadith di atas bersifat umum dalam minyak samin, sedikit dan banyaknya. Di dalamnya tidak ada ikatan. Ia tetap pada keumumannya. Sesungguhnya tikus apabila jatuh di dalamnya dan mati, lalu ia tidak mengubah, maka sesungguhnya ia hendaklah dibuang dan minyak samin tersebut dalam dimakan banyak atau sedikit.

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/241-242).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply