Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Dulu masa masih lagi budak-budak, saya ini minat membela ikan laga. Tetapi ayah saya tidak benarkan untuk saya membelanya. Oleh sebab minat dan keinginan yang kuat, saya bela juga ikan laga itu tetapi secara senyap-senyap dan sembunyi-sembunyi. Tetapi akhirnya kantoi, jadi ayah saya ambil ikan itu, menggorengnya dan paksa saya makan. Soalan saya, adakah ikan laga yang kecil itu hukumnya halal sebagaimana ikan yang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan ringkas berkenaan ikan laga. Ikan laga merupakan sejenis ikan air tawar yang dipelihara di dalam akuarium. Ia berasal dari lembangan Sungai Mekong di Asia Tenggara.

Antara jenis ikan laga ialah Betta splendens (ikan pelaga siam), Betta imbellis (ikan mengkaring) dan Trichopsis vittata (ikan sempilai). Selain itu ikan laga juga dikenali dengan nama ikan Pelaga.[1]

 


Ikan Laga: Kredit: https://onviral.com.my/wp-content/uploads/2021/10/Assorted-Butterfly-Halfmoon-Betta-Males.jpg.webp

Walaupun ikan laga adalah ikan hiasan yang cantik dan warna-warni, namun harus diingat bahawa ikan laga ini adalah haiwan karnivor yang memakan haiwan lain di habitat asalnya. Oleh sebab itu dalam pemakanan harian ikan laga harus mempunyai kadar protein yang cukup setiap hari. Bermula dari benih yang baru menetas hinggalah menjadi dewasa, pemberian protein adalah sangat penting bagi mengimbangi keperluan diet harian.

Salah satu keistimewaan ikan laga adalah mampu menyimpan oksigen yang banyak di dalam insang. Ikan laga mempunyai organ yang dinamakan sebagai labirin, fungsi labirin ini adalah untuk menyimpan udara dalam kadar yang banyak untuk terus berada di dalam dasar air dalam tempoh masa yang lama.

Begitu juga bukanlah sesuatu yang pelik, ikan laga jantan akan menjaga benih yang baru menetas hingga besar. Apabila proses persenyawaan induk jantan dan betina selesai, telur-telur yang terhasil akan disimpan di dalam buih yang dihasilkan oleh induk jantan. Salah satu fungsi buih ini adalah memberi bekalan oksigen yang cukup kepada benih ikan yang baru dan akan menetas. Setelah semua telur dimasukkan ke dalam buih, induk betina secara semulajadinya akan menjauhi sarang buih, manakala induk jantan akan berada di bawah sarang buih dan mengawasi telur hingga menetas. Induk betina hendaklah dikeluarkan dari tangki kerana kebiasaannya induk betina akan memakan telur dan anak benih yang baru menetas nanti. jangka hayat ikan laga adalah sekitar 3 ke 5 tahun, namun ada sesetengah jenis ikan laga yang mempunyai jangka hayat ikan laga hingga ke 8 ke 10 tahun.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut para ashab (ulama mazhab Syafi‘i), haiwan yang hidup di dalam air dan apabila ia keluar dari air hidupnya sama seperti haiwan yang disembelih seperti ikan  dan jenis-jenisnya, maka ia adalah halal untuk dimakan, dan tidak perlu kepada sembelihan (bagi menghalalkannya) tanpa sebarang khilaf. Bahkan, ia secara mutlak halal untuk dimakan, tidak kira ia mati dengan sebab yang nyata seperti tertimpa benda, hentakan batu, kurangnya air, dipukul pemburu atau sebab-sebab yang lain, atau mati dengan sendirinya sama ada ia timbul (terapung) di atas permukaan air ataupun tidak, semuanya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/31).

Hal ini kerana ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa ikan Laga  atau dikenali juga sebagai ikan Pelaga adalah halal dan boleh dimakan selagi mana tidak memudaratkan pemakannya sebagaimana ikan-ikan yang lain, bahkan tiada khilaf mengenainya. Tidak kira ia ikan liar atau ikan yang dipelihara, ikan bersaiz kecil mahupun bersaiz besar. Bagaimana cara pun ia mati, ia tetap halal dimakan kerana ia termasuk dalam jenis hidupan air dan tidak memerlukan kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Semua hidupan air adalah halal dimakan bangkainya sebagaimana nas yang sahih yang kami telah sebutkan di atas.

Seterusnya, kebiasaannya ikan laga ini dipelihara di dalam akuarium. Justeru, jika dikhuatiri dengan sebab pemakanannya di dalam akuarium ada memberi kesan atau perubahan kepada dagingnya, maka ia termasuk di bawah perbincangan haiwan jallalah.[3] Ringkasnya, kami berpendapat bahawa hukum memakan daging haiwan jallalah adalah makruh dan bukannya haram kerana ia adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Penjelasan lanjut mengenainya bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ikan_Pelaga. Diakses pada 27 November 2023.

[2] Lihat https://ikanlaga.info/7-fakta-menarik-ikan-laga-yang-ramai-tidak-perlu-tahu/. Diakses pada 27 November 2023.

[3] Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. Manakala di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, haiwan jallalah didefinisikan sebagai haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. Sebahagian ulama yang lain pula menyebut bahawa haiwan jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/260; Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558).

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/506-memakan-ikan-keli-yang-dipancing-dari-kolam-najis/. Diakses pada 29 Ogos 2023.

Leave a Reply