Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sikap kita dengan pengaruh rakan-rakan, bagaimana pendiriannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kewujudan individu yang agnostik, skeptik dan ateis di sekeliling kita bukanlah suatu perkara yang asing sejak dahulu lagi, apatah lagi dalam era globalisasi maklumat. Dalam kalangan mereka ada yang berterus terang mengaku murtad, namun ada yang masih berselindung di sebalik nama Islam tetapi aqidah mereka sangat ragu terhadap rukun-rukun iman.

Allah SWT telah menceritakan tentang pengaruh rakan ini di dalam al-Quran, ketika mana dirakamkan perbualan seorang ahli syurga yang menceritakan tentang pengaruh rakannya yang hampir-hampir mengheretnya sama ke dalam azab neraka. Firman Allah SWT:

فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ يَتَسَآءَلُونَ (٥٠) قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ إِنِّى كَانَ لِى قَرِينٌۭ (٥١) يَقُولُ أَءِنَّكَ لَمِنَ ٱلْمُصَدِّقِينَ (٥٢) أَءِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًۭا وَعِظَـٰمًا أَءِنَّا لَمَدِينُونَ (٥٣) قَالَ هَلْ أَنتُم مُّطَّلِعُونَ (٥٤) فَٱطَّلَعَ فَرَءَاهُ فِى سَوَآءِ ٱلْجَحِيمِ (٥٥) قَالَ تَٱللَّهِ إِن كِدتَّ لَتُرْدِينِ (٥٦) وَلَوْلَا نِعْمَةُ رَبِّى لَكُنتُ مِنَ ٱلْمُحْضَرِينَ

Maksudnya: “(Tinggalah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya menghadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan. Seorang di antaranya berkata: ‘Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku). katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)? Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan?’ (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) dia berkata lagi: ‘Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?’ Maka dia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang. Dia pun (menempelaknya dengan) berkata: ‘Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab)’.”

(Surah al-Saffat: 50-57)

Umat Islam tidak mampu mengelak daripada berinteraksi dengan golongan seperti ini kerana boleh jadi mereka itu ialah jiran, rakan sepejabat, atau kaum kerabat kita.  Justeru, kita tiada pilihan melainkan mempersiapkan diri kita dengan ilmu aqidah yang kuat dalam menanggapi syubhat-syubhat yang dilontar. Contohnya memerhatikan fenomena-fenomena alam yang disebut dalam al-Quran seperti kejadian hujan yang menghidupkan kawasan yang tandus sebagai bukti hari kebangkitan itu bukan mustahil.

Imam al-Ghazali pernah berpesan, terdapat 5 syarat yang perlu ada pada rakan karib:

  1. Berakal, kerana orang bodoh hanya menyebabkan permusuhan dan menyakitkan hati.
  2. Berakhlak baik, kerana orang jahat tidak dapat mengawal dirinya apabila marah dan dirangsang nafsu syahwat.
  • Beramal soleh, kerana orang fasik yang berterusan melakukan dosa besar tidak takut kepada Allah, justeru tidak boleh dipercayai. Mereka juga boleh menyebabkan kita memandang ringan terhadap maksiat, contohnya mengumpat dan memfitnah orang lain.
  1. Tidak tamak dunia, kerana itu ialah racun yang boleh mengubah seseorang menjadi jahat.
  2. Bercakap benar, kerana seorang pendusta akan menipu kita. (Lihat Bidayah al-Hidayah, hlm. 65)

Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُُخَالِلُ

Maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama kawan karibnya. Maka setiap seorang daripada kamu hendaklah perhatikan dengan siapa dia berkawan.”

Riwayat al-Tirmizi (2378)

Dan Allah SWT juga telah menyampaikan pesan ini sebagaimana dalam al-Furqan:

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

(Surah al-Kahf: 28)

Imam Syams al-Din Ibn Muflih menukilkan kalam Yahya bin Mu‘az yang menyebutkan tentang sifat yang seharusnya ada pada seorang rakan, katanya: “Saudaramu yang mengingatkanmu tentang keaiban, dan sahabatmu yang memberikan peringatan tentang dosa-dosa.” (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 3/573)

Imam al-Nawawi pula berkata, sahabat kepada seseorang dan kekasihnya (kasih kerana Allah) adalah mereka yang bersungguh-sungguh mengimarahkan akhiratnya, meskipun ia boleh membawa kepada kekurangan dunianya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/24)

Semoga Allah SWT memberikan kita sahabat-sahabat yang membuat kita semakin bertakwa dan ingat kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنَّا بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ، وَقَرِّبْ إِلَيْنَا أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah daripada kami teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada kami orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply