#4626: Biografi ‘Ubaidah Bin al-Harith

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya siapakah sahabat nabi Ubaidah Bin Harith dan apakah kisahnya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Biografi Ringkas Sahabat Ubaidah Bin al-Harith

Dalam menjawab persoalan di atas nama sebenar beliau adalah Ubaidah Bin al-Harith Bin Mutallib Bin Abd Manaf Bin Qusai al-Qarshi al-Matlabi. Ibunya daripada Bani Thaqif. Beliau merupakan antara individu  yang terawal memeluk Islam. Umurnya lebih tua  daripada Rasulullah SAW 10 tahun. Beliau melakukan penghijrahan ke Yathrib bersama saudaranya al-Thufail dan Husain.

Di sisi Rasulullah SAW beliau merupakan antara 4 lelaki yang mulia dan mempunyai kedudukan . Oleh yang demikian, Rasulullah SAW memerintahkan beliau mengetuai 60 penunggang dari golongan Muhajirin dan  memberikannya panji. Ini adalah panji pertama yang dikibarkan dalam Islam. Mereka bertempur dengan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan, di tempat bernama Thaniyah al-Marrah yang merupakan pertempuran pertama yang berlaku dalam Islam. (Lihat Siyar a’lam al-Nubala, 1/256)

Pada hari peperangan Badar, ‘Utbah bin Rabi’ah dan saudaranya Syaibah bin Rabi’ah, bersama dengan Waliid bin ‘Utbah, keluar untuk beradu kekuatan dalam pertarungan tersebut. Maka keluarlah untuk menghadapi mereka: Ubaidah bin al-Harith, Hamzah bin Abdul Muthalib, dan Ali bin Abi Thalib atas perintah Rasulullah SAW.

Dikisahkan dalam Sunan Abu Dawud bahawa ‘Utbah bin Rabi’ah telah datang dan diikuti anak dan saudaranya, kemudian dia berteriak; siapakah yang akan berperang tanding ? Kemudian beberapa pemuda Ansar menyambutnya. Kemudian dia berkata, siapakah kalian ? kemudian mereka memberitahukan kepadanya, lalu dia berkata, kami tidak perlukan kepada kalian, kami hanya menghendaki anak-anak bapa saudara kami, kemudian Rasulullah SAW bersabda:

قُم يا حَمزةُ قُم يا عليُّ قم يا عُبَيْدةُ فأقبلَ حمزةُ إلى عُتبةَ وأقبلتُ إلى شَيبةَ واختلفَ بينَ عُبَيْدةَ والوليدِ ضربتانِ فأثخنَ كلُّ واحدٍ منهما صاحبَهُ ثمَّ ملنا على الوليدِ فقَتلناهُ واحتمَلنا عُبَيْدةَ

Maksudnya: Berdirilah wahai Hamzah, berdirilah wahai Ali, berdirilah wahai ‘Ubaidah bin al-Harith! Kemudian Hamzah menghadapi ‘Utbah dan aku menghadapi Syaibah dan ‘Ubaidah dan  al-Walid saling bergantian dalam pertarungan . Masing-masing melukai serta melemahkan lawannya. Kemudian kami mendatangi Walid lalu kami membunuhnya dan kami membawa ‘Ubaidah.

Riwayat Abu Dawud(2665)

Pertarungan ini menjadi awal keburukan bagi orang-orang musyrik, di mana tiga pemimpin kaum Quraisy serta pilihan terbaik dari pasukan dan pemimpin mereka tewas pada awal pertempuran. Hal ini sangat mempengaruhi psikologi mereka, membuat mereka murung terhadap umat Muslim yang pada saat itu berada dalam keadaan terburuk. Namun, tidak lama setelah itu, Allah memberikan kemenangan kepada Rasul-Nya dan umat Muslim pada hari pertempuran Badar.[1]

Ubaidah Bin al-Harith telah menemui ajalnya pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan pada tahun ke 2 hijrah di al-Safra’  disebabkan kecederaannya dalam pertempuran tersebut. Syahidnya beliau telah dikisahkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada al-Zuhri beliau berkata:

فلمّا أتَوْا بعُبَيدةَ إلى رَسولِ اللهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ قالَ: ألستُ شَهيدًا يا رَسولَ اللهِ، قالَ: «بَلَى»

Maksudnya: Apabila mereka membawa Ubaidah kepada Rasulullah SAW lalu dia bertanya: Adakah aku syahid wahai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menjawab: Ya

Riwayat Hakim dalam al-Mustadrak (4932)

Justeru kami katakan sahabat Rasulullah SAW yang bernama ‘Ubaidah Bin Harith merupakan sahabat yang besar pengorbanannya dalam menentang musuh demi membela islam dan beliau  tergolong di antara 14 sahabat yang  syahid dalam peperangan Badar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://www.alukah.net/culture/0/57040/%– Diakses pada 27 Nivember 2023

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *