Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah boleh bagi isteri yang telah diceraikan suami menghabiskan tempoh ‘iddah di rumah keluarga ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari segi istilah, `iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85)

Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau  kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kematian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .

Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.

‘Iddah bagi wanita yang bercerai hidup dan masih mempunyai haid adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”

(Surah al-Baqarah: 228)

Sementara, tempoh wanita ‘iddah bagi wanita yang menopause (putus haid) yang bercerai hidup dan ketiadaan haid  ialah 3 bulan berdasarkan  firman Allah SWT:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya) maka ‘iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak ada haid’

(Surah al-Thalaq: 4)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini isteri yang telah diceraikan oleh suami hendaklah menjalani tempoh ‘iddah di rumah suami melainkan terdapat ancaman atau kezaliman terhadap dirinya dan tidak boleh  bagi suami mengeluarkan isteri dari rumahnya. Yang demikian sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).

(Surah al-Talak:1)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Tidak dibolehkan bagi wanita yang sedang menjalani ‘iddah keluar tanpa izin suami, begitu juga suami tidak boleh mengeluarkannya dari rumah selagi mana dia berada dalam tempoh ‘iddah. Sekiranya dia keluar maka tidak berhak baginya tempat tinggal dan nafkah. (Lihat Jami; al-Bayan, 23/31  )

Dalam isu ini telah dinyatakan dalam Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan: Ulama dalam mazhab syafi’i berpandangan tidak dibolehkan bagi wanita yang diceraikan dengan talak raji’ baik pada waktu malam atau siang. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta al-Misriyyah, 10/65)

Disebutkan juga dalam Fatwa al-Lajnah al-Daimah bahawa: Berdosa seorang wanita yang sedang menjalani tempoh ‘iddah dari talak raj’i keluar dari rumah suaminya tanpa dihalau keluar melainkan sekiranya terdapat darurat atau keperluan yang mengharuskannya (Lihat  Fatwa al-Lajnah al-Daimah, 20/224 )

Begitu juga dinukilkan  dalam Fatawa Islamiyyah : Diwajibkan ke atas wanita yang telah ditalak dengan talak raji’ untuk tetap tinggal di rumah suaminya dan haram bagi suami mengeluarkannya. Betapa ramai wanita pada masa kini apabila diceraikan suami dengan talak raj’i, mereka keluar dari rumah suami dan kembali ke rumah ahli keluarganya. Hal yang demikian adalah salah dan perkara tersebut adalah haram. (Lihat Fatawa Islamiyyah, 3/310 )

Justeru kami katakan wanita yang diceraikan oleh suami dan sedang menjalani ‘iddah talak tidak dibolehkan baginya keluar dari rumah suami dan kembali ke rumah keluarganya untuk menjalani tempoh ‘iddah melainkan jika terdapat ancaman yang bahaya terhadap dirinya. Ini  kerana wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah masih dihukumkan sebagai isteri yang sah dan suami berhak untuk merujuknya kembali. Antara hikmah syara’ memerintahkan agar tinggal di rumah suami ketika tempoh ‘iddah adalah boleh jadi suami merujuk kembali isterinya yang telah ditalak dan menyesali apa yang telah dilakukannya. 

Firman Allah SWT:

لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا

Maksudnya: Engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).

(Surah al-Talaq:1)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahu A’lam

Leave a Reply