#4650: Ganjaran Orang yang al-Abrar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan ganjaran orang yang al-Abrar sebagaimana yang disebut dalam surah al-Insan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا (5) عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا (6) يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا (7) وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا (8) إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا (9) إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا (10) فَوَقَاهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذَٰلِكَ الْيَوْمِ وَلَقَّاهُمْ نَضْرَةً وَسُرُورًا (11) وَجَزَاهُم بِمَا صَبَرُوا جَنَّةً وَحَرِيرًا (12) مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ ۖ لَا يَرَوْنَ فِيهَا شَمْسًا وَلَا زَمْهَرِيرًا (13) وَدَانِيَةً عَلَيْهِمْ ظِلَالُهَا وَذُلِّلَتْ قُطُوفُهَا تَذْلِيلًا (14) وَيُطَافُ عَلَيْهِم بِآنِيَةٍ مِّن فِضَّةٍ وَأَكْوَابٍ كَانَتْ قَوَارِيرَا (15) قَوَارِيرَ مِن فِضَّةٍ قَدَّرُوهَا تَقْدِيرًا (16) وَيُسْقَوْنَ فِيهَا كَأْسًا كَانَ مِزَاجُهَا زَنجَبِيلًا (17) عَيْنًا فِيهَا تُسَمَّىٰ سَلْسَبِيلًا (18) ۞ وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مُّخَلَّدُونَ إِذَا رَأَيْتَهُمْ حَسِبْتَهُمْ لُؤْلُؤًا مَّنثُورًا (19) وَإِذَا رَأَيْتَ ثَمَّ رَأَيْتَ نَعِيمًا وَمُلْكًا كَبِيرًا (20) عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُندُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ ۖ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا (21) إِنَّ هَٰذَا كَانَ لَكُمْ جَزَاءً وَكَانَ سَعْيُكُم مَّشْكُورًا

Maksudnya: “Orang-orang yang taat pula akan minum daripada gelas yang berisi minuman yang bercampur dengan kafur. Minuman itu dari mata air yang diminum oleh hamba-hamba Allah. Mereka alirkannya mengikut cita rasa mereka. Mereka ialah golongan yang menunaikan nazar dan takut akan hari yang mana kejahatan akan merebak ke merata tempat. Mereka mendahulukan memberi makan kepada golongan miskin, anak yatim serta tawanan, walaupun mereka berhajat dan menyukainya. Sambil berkata dalam hati, “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu tidak lain  hanyalah semata-mata kerana Allah, tidak mengharapkan daripada kamu balasan mahupun ucapan terima kasih.” Sesungguhnya kami takut kepada Tuhan kami pada suatu hari yang wajah-wajah menjadi muram, lagi berkerut. Lalu Allah pelihara mereka daripada ditimpa keburukan hari tersebut dan dikurniakan kepada mereka wajah yang berseri-seri kegembiraan. Dan ganjaran kepada mereka dengan sebab kesabaran ialah  syurga dan pakaian daripada sutera. Mereka duduk berbaring di dalam syurga di atas pelamin-pelamin, tidak pula ternampak matahari mahupun kesejukan yang berlebihan. Hampir dengan mereka ialah naungan pohon-pohon, serta buah-buahannya pula dipermudahkan untuk dipetik. Dan mereka dikelilingi pelayan dengan bekas daripada perak, dan gelas-gelas yang jernih seperti kaca. Gelas yang jernih itu hakikatnya daripada perak, yang mereka tentukan isi padu airnya dengan tepat, tidak kurang mahupun lebih. Juga mereka diberi minum di dalamnya segelas air yang dicampur dengan Zanjabil. Iaitu suatu mata air di dalam syurga yang diberi nama Salsabil. Mereka dikelilingi oleh pelayan kanak-kanak lelaki yang tetap muda; jika kamu perhatikan mereka, kamu sangka mereka seolah-olah mutiara yang bertaburan. Dan jika kamu melihat dan memerhatikan, nescaya kamu dapati nikmat-nikmat yang tak terhingga, juga kerajaan yang besar lagi agung. Mereka diberi pakai baju yang diperbuat daripada sutera halus berwarna hijau dan baju daripada sutera tebal serta diberi pakai gelang-gelang daripada perak. Tuhan mereka pula memberi minum daripada air yang suci bersih. Sesungguhnya semua itu ialah ganjaran serta balasan kepada kamu, dan usaha-usaha kamu di dunia diterima dan dihargai oleh Allah.”

(Surah al-Insan: 5-22)

Allah SWT berfirman menjelaskan pula ganjaran besar buat golongan al-Abrar atas ketaatan, keikhlasan, kesyukuran dan kesabaran mereka di dunia dengan menggambarkan minuman istimewa untuk mereka di syurga. Minuman itu adalah sejenis arak yang dicampur dengan kafur yang bersifat harum, putih dan dingin. Ia merupakan sebuah mata air di syurga yang mengalir mengikut kehendak ahli syurga tanpa memerlukan saliran air. Ahli syurga yang berjalan ke istana-istana mereka, ke majlis-majlis atau ke tempat lain sambil mengisyaratkan kepada air itu, maka air itu pun akan mengalir ikut bersamanya ke mana sahaja dia pergi.

Golongan al-Abrar mendapat kemuliaan tersebut kerana amalan-amalan yang telah diusahakan di dunia dahulu. Antara amalan golongan al-Abrar ialah mereka melaksanakan ketaatan yang diwajibkan atas dasar syariat, di samping mereka juga menyempurnakan nazar yang mereka wajibkan ke atas diri mereka sendiri sama ada dengan cara berpuasa, solat, infak, haji atau segala bentuk kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Daripada Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلَا يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, hendaklah dia mentaati-Nya, dan siapa yang bernazar untuk menderhakai-Nya, maka janganlah dia menderhakai-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (6696)

Mereka takut hari akhirat yang mana azab seksanya tersebar merata-rata dan keburukan yang diketahui umum. Mereka juga memberi makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. Padahal makanan itu sedikit dan mereka menyukai serta menginginkannya. “Al-asir” juga membawa maksud tawanan Muslim atau kafir, hamba, perempuan, orang yang kurang akal dan upaya.

Kemudian, Allah SWT menegaskan bahawa golongan al-Abrar melakukan kebaikan tersebut kerana Allah SWT semata-mata sambil berkata dengan lidah atau dengan hati, “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab pada hari yang muka orang yang bersalah berubah masam berkerut-kerut lantaran kesulitan dan keburukan yang tersebar merata-rata pada hari itu.”  Allah SWT merakamkan semula ungkapan mereka yang tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali Allah SWT. Oleh kerana itu, Allah SWT pun menyebutkannya semula dalam al-Quran sebagai pujian atas mereka dan dorongan kepada orang lain untuk mengikutinya.

Dalam menjawab persoalan di atas, Allah SWT berfirman dengan menggambarkan suasana di dalam syurga dan kenikmatannya sebagai ganjaran orang yang taat (al-Abrar). Terdapat 14 gambaran kenikmatan syurga yang dijelaskan dalam surah al-Insan daripada ayat 11 hingga 22 seperti berikut:

  • Selamat daripada kesengsaraan dan azab pada hari akhirat.
  • Wajah berseri-seri dan kegembiraan di hati.
  • Ganjaran atas kesabaran di dunia dikurniakan pakaian sutera yang indah yang jauh berbeza dengan sutera dunia.
  • Tempat tinggal yang menyeronokkan. Terdapat tempat duduk yang tenang, nyaman, dan mewah. Kebiasaannya duduk sebegini adalah duduk bersandar pada bantal. Manakala tempat tidur dihiasi dengan tirai dan cadar yang indah.
  • Cuaca syurga tidak panas menyengat dan tidak sejuk yang mencengkam, hanya kenyamanan yang kekal abadi.
  • Rimbunan pohon-pohan syurga yang bertautan antara satu sama lain dan menaungi ahli syurga ke mana-mana mereka pergi.
  • Buah-buahan yang dipermudahkan untuk memetiknya mengikut keadaan ahli syurga sama ada sedang berdiri, duduk mahupun baring. Pokok yang dipenuhi buah-buahan itu seakan-akan pendengar yang patuh menurut perintah ahli syurga tatkala berhajatkan buahnya.
  • Perkakas hidangan untuk ahli syurga terdiri daripada perak seperti gelas arak yang tidak bertangkai, tempat hidangan makanan dan sebagainya.
  • Minuman ahli syurga yang terdiri daripada arak dengan pelbagai campuran seperti campuran halia yang hangat, campuran kafuur yang dingin. Mereka juga diberi minum dari mata air surga yang dinamakan Salsabil, kerana kelembutan airnya, mudah mengalir, turun ke bawah dan ditelan di kerongkong ahli syurga.
  • Pelayan muda yang jelita dan tampan bagaikan mutiara yang bertaburan kerana keindahan wajah mereka, kulit putih, pakaian dan perhiasan yang indah. Mereka melayani ahli syurga dengan penuh keriangan.
  • Jika kamu melihat jauh di syurga berikut kenikmatan, keluasan, tingginya, kegembiraan dan kegirangan yang ada di dalamnya, kamu akan melihat kenikmatan yang tidak terperi, begitu juga dengan kekuasaan dan kerajaan besar yang tidak terukur besar dan megahnya.
  • Pakaian dan perhiasan ahli syurga terdiri daripada sutera bernilai tinggi, halus, dan berwarna hijau, ada tebal berkilauan yang dipakai di dalam dan di luar.
  • Perhiasan ahli syurga terdiri daripada gelang-gelang perak. Adakalanya mereka menghiasinya dengan emas, atau batu permata yang indah.
  • Minuman air yang bersih dan suci. Selepas ahli syurga diberi makanan, pada akhirnya mereka diberi minuman suci. Mereka meminumnya lalu keringat keluar dari tubuh mereka seperti aroma kasturi.

(Lihat Wahat al-Tafsir, 14/494-503; Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/901; Tafsir al-Bayan, 6/281-282)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, marilah kita bersegera mengerjakan amal soleh dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT untuk meraih kenikmatan abadi di syurga dan menghindari daripada seksaan neraka. Ahli syurga sentiasa berada di puncak kenikmatan, keseronokan dan kesenangan yang kekal abadi. Kenikmatan di syurga adalah hasil ganjaran pahala amal perbuatan kamu dahulu di dunia. Amal kalian disyukuri oleh Allah SWT. Maka, syukur Allah kepada hamba-Nya adalah dengan menerima ketaatan hambanya, memujinya, dan memberinya pahala.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *