Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah meletakkan sedikit alkohol yang diperbuat dari arak ke atas kuih atau kek dengan cara merenjis atau menyemburnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan di sesetengah tempat, alkohol, wain atau arak digunakan dalam masakan atau sebagai salah satu bahan dalam masakan tertentu. Pada asasnya, arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15). Jelas sepertimana firman Allah SWT dalam ayat di atas sebagaimana yang kami telah nyatakan.

Selain itu mengikut mazhab Imam al-Syafi‘i, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini jelas dalam ayat yang di atas pada perkataan Rijzun (رِجْسٌ), di mana dari segi bahasa ia bermaksud kotor atau najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/78).

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

  • Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  • Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  • Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  • Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa penggunaan arak atau alkohol yang berasal dari arak ke atas kek atau kuih adalah tidak dibenarkan, sama ada sedikit ataupun banyak, meskipun alkohol tersebut menguap selepas itu dan tidak meninggalkan rasa.

Hal ini kerana penyemburan alkohol tersebut pada kek dan kuih itu menjadikannya sebagai najis. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, tidak boleh mencampur adunan tepung dengannya (alkohol) mengikut pendapat yang sahih, kerana sifat minuman keras (arak) itu dimakan oleh api, dan yang tinggal adalah adunan yang menjadi najis, dan juga tidak boleh dicampurkan ke dalam adunan bagi tujuan menggunakannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/188).

Begitu juga dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa orang yang memasak daging dengan arak dan memakan kuahnya akan dikenakan hukuman hudud, kerana intipati arak itu masih ada. Hal yang sama berlaku jika digunakan sebagai adunan dalam membuat sawiq[1] lalu dimakan. Ini telah dijelaskan oleh mazhab al-Syafi‘i dan Hanbali. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/95).

Begitu juga al-Sarakhsi dalam al-Mabsut (24/25) turut menyebutkan, jika seseorang membuat adunan dengan menggunakan arak, kemudian membakarnya (menjadikannya sebagai roti), maka makruh (yakni makruh tahrim) memakannya kerana tepung itu sudah menjadi najis disebabkan oleh arak tersebut, dan adunan yang najis tidak boleh disucikan dengan cara pembakaran. Jadi, ia tidak halal untuk dimakan.

Tambahan lagi, Ibn Qudamah menyebutkan, jika seseorang mencampurkan arak, atau menjadikannya sebagai kuah atau memasak daging dengannya, kemudian dia memakan kuah tersebut, maka dia dikenakan hukuman hudud kerana ‘ain atau unsur arak itu masih ada. Demikian juga, jika dia menjadikannya sebagai adunan untuk membuat sawiq dan kemudian memakannya, dia juga akan dikenakan hukuman hudud.

Namun, jika dia mengadunnya dengan tepung, lalu membakarnya (untuk dijadikan sebagai roti) dan memakannya, dia tidak dikenakan hukuman hudud, kerana api telah menghilangkan sifat-sifat arak dan tidak ada yang berbaki (iaitu yang tinggal) melainkan hanya bekasnya. (Lihat al-Mughni, 12/498).

‘Ala’uddin al-Haskafi menjelaskan, tidak dibolehkan untuk menjual arak berdasarkan kepada hadith Imam Muslim yang menyatakan, “Sesungguhnya apa-apa yang diharamkan untuk diminum, turut diharamkan untuk dijual.” Begitu juga dikenakan hukuman hudud bagi peminumnya sekalipun dia tidak mabuk dan orang lain yang meminumnya juga akan dikenakan hukuman hudud jika dia mabuk. Selain itu memasaknya juga tidak akan memberi sebarang kesan padanya (iaitu dari sudut hilangnya hukum haram daripadanya) kecuali dia tidak dikenakan hukuman hudud jika ia tidak memabukkan. Ini kerana hukuman hudud itu dikhususkan dengan arak yang mentah, seperti yang dinyatakan oleh al-Zaila‘i. (Lihat al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar wa Jami‘ al-Bihar, hlm. 676).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kek atau kuih yang direnjis atau disembur dengan arak atau alkohol yang berasal dari arak adalah tidak halal untuk dimakan. Hal ini kerana ia telah menjadi najis disebabkan oleh kenajisan arak itu sendiri dan turut menjadi haram disebabkan oleh arak tersebut. Dalam hal ini terdapat kaedah menyebutkan:

أَنَّ الْأَشْيَاءَ الْمُحَرَّمَةَ إِذَا خَالَطَتْ الْحَلَالَ حَرُمَ الْحَلَالُ

Maksudnya: “Sesuatu yang diharamkan apabila bercampur dengan sesuatu yang halal, maka sesuatu yang halal itu menjadi haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan kerana memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

Riwayat Muslim (1015)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Sawiq ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus.

Leave a Reply