Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang isteri menyedekahkan makanan dari rumahnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Di antaranya, orang yang bersedekah akan diganjari dengan pahala yang banyak.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَآ أَنفَقُوا۟ مَنًّۭا وَلَآ أَذًۭى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa isteri boleh atau diharuskan untuk menginfakkan atau bersedekah makanan dari rumahnya dengan syarat-syarat tertentu yang disebutkan oleh para ulama. Di sana terdapat hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha, katanya: Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَنْفَقَتِ المَرْأَةُ مِنْ طَعَامِ بَيْتِهَا غَيْرَ مُفْسِدَةٍ، كَانَ لَهَا أَجْرُهَا بِمَا أَنْفَقَتْ، وَلِزَوْجِهَا أَجْرُهُ بِمَا كَسَبَ، وَلِلْخَازِنِ مِثْلُ ذَلِكَ، لاَ يَنْقُصُ بَعْضُهُمْ أَجْرَ بَعْضٍ شَيْئًا

Maksudnya: “Apabila seorang isteri menginfakkan (bersedekah) daripada makanan yang diperuntukkan kepada ahli keluarganya, dengan tidak merosakkan peruntukkan tersebut, maka bagi isteri itu pahala daripada apa yang dia sedekahkan. Begitu juga, suaminya mendapat pahala dengan sebab apa yang dia usahakan. Seperti itu juga bagi hamba yang menguruskan harta tuannya, sebahagian mereka tidak mengurangi pahala sebahagian yang lain sedikit pun.”

Riwayat al-Bukhari (1425) dan Muslim (1024)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan, padanya mengandungi dalil yang menunjukkan keharusan seorang isteri untuk menginfakkan (bersedekah) makanan daripada rumahnya, sekalipun tanpa meminta izin daripada suaminya terlebih dahulu dalam hal tersebut. Akan tetapi para ulama mengikat keharusan ini dengan dua syarat:

  • Suaminya tidak menghalangnya daripada berbuat demikian atau dia bukanlah seorang yang bakhil sehingga membuatnya ragu-ragu tentang keizinan suaminya. Jika dalam keadaan ini, hal itu diharamkan.
  • Dia hendaklah menginfakkan sesuatu atau pada kadar yang mana berdasarkan kepada adat kebiasaannya ia dibenarkan/dimaafkan seperti memberikan sedikit roti atau makanan yang dimasak. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/402).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Leave a Reply