Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah sikap kita terhadap golongan yang memperlekeh dan menghina Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ أَجْرَمُوا۟ كَانُوا۟ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يَضْحَكُونَ ٢٩ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ ٣٠ وَإِذَا ٱنقَلَبُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَهْلِهِمُ ٱنقَلَبُوا۟ فَكِهِينَ ٣١ وَإِذَا رَأَوْهُمْ قَالُوٓا۟ إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ لَضَآلُّونَ ٣٢ وَمَآ أُرْسِلُوا۟ عَلَيْهِمْ حَـٰفِظِينَ ٣٣ فَٱلْيَوْمَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنَ ٱلْكُفَّارِ يَضْحَكُونَ ٣٤ عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ يَنظُرُونَ ٣٥ هَلْ ثُوِّبَ ٱلْكُفَّارُ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menderhaka dahulunya mereka mentertawakan orang-orang yang beriman. Apabila mereka lalu di hadapan orang-orang beriman, mereka me-ngeluarkan isyarat-isyarat mengejek. Apabila mereka pulang kepada keluarga mereka pula, mereka pulang dengan kegembiraan kerana berjaya mengejek orang beriman. Apabila mereka melihat orang beriman, mereka berkata, “Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang sesat.” Sedangkan mereka tidak pernah diutus untuk mengawal selia orang-orang beriman. Maka pada hari ini, giliran orang-orang beriman pula mentertawakan orang-orang kafir. Mereka melihat ganjaran yang diberi kepada mereka sambil berehat di atas takhta-takhta yang berhias. Adakah orang-orang kafir juga mendapat ganjaran atas apa yang mereka lakukan?”

(Surah al-Mutaffifin: 29-36)

Allah SWT menceritakan tentang pemuka syirik yang mempunyai empat perkara yang jelek:

  • Allah SWT menceritakan tentang golongan kafir yang mentertawakan secara menghina terhadap golongan mukmin di dunia.
  • Apabila mereka melalui golongan mukmin, mereka akan memperlekeh mereka.
  • Apabila golongan kafir ini kembali ke rumah mereka daripada majlis mereka di pasar, mereka kembali dalam keadaan mengagumi dan menikmati dengan gembira perbuatan mereka terhadap orang mukmin.
  • Apabila golongan kafir ini melihat golongan mukmin, mereka akan menyifatkannya sebagai sesat kerana golongan mukmin tidak berada di atas agama dan akidah yang mereka warisi. Ini kerana menurut mereka, golongan mukmin mengikuti Muhammad Rasulullah SAW dalam pegangan dan ajarannya dan mereka meninggalkan nikmat yang segera kerana menuntut pahala yang tidak diketahui adakah ianya wujud atau tidak.

Lalu Allah SWT menjawab golongan kafir ini bahawa mereka tidak diutuskan sebagai penjaga golongan mukmin yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga amalan dan menyaksikan keimanan atau kesesatan mereka. Bahkan pada hari kiamat kelak golongan yang beriman akan mentertawakan golongan kafir atas azab dan kehinaan yang menimpa mereka sebagai ganti perlecehan dan penghinaan mereka terhadap golongan mukmin di dunia. Orang yang beriman juga akan memandang kepada Allah SWT yang telah meredhai dan memuliakan mereka di syurga. Allah SWT bertanya adakah golongan kafir telah dibalas terhadap perbuatan mereka mempersenda dan memperlekehkan golongan mukmin atau tidak? Jawapannya adalah sesungguhnya mereka telah dibalas dengan pembalasan yang cukup, lengkap dan sempurna. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/396)

Penghinaan dan Perlekehan terhadap Orang Islam  

Agama Islam sering menerima kritikan daripada mereka yang mengingkarinya. Pengkritik-pengkritik Islam sentiasa berusaha untuk mengaburi mata orang ramai dengan meletakkan pelbagai tuduhan dan tohmahan terhadap orang Islam. Kini terrorism  atau keganasan menjadi sinonim dengan agama Islam yang suci. Masyarakat dunia kini diselubungi dengan islamofobia yang berasaskan kepada maklumat palsu. Selain itu, Nabi SAW juga menjadi permainan orang kafir. Umum mengetahui bagaimana pelukis karikatur di Denmark dan Perancis mempermainkan Nabi Muhammad SAW di dalam lukisannya yang telah mengakibatkan reaksi yang besar daripada umat Islam pada ketika itu.

Terdapat juga sebahagian golongan yang melihat umat Islam satu umat yang mundur dan bersifat gasar. Syariat Islam yang dikurniakan Allah SWT dilihat sebagai satu peraturan yang tidak bersesuaian dengan masyarakat pada masa kini. Mereka lebih meredai peraturan manusia yang berubah dari masa ke semasa. Segala pemikiran yang sesat dan tuduhan serta perlekehan mereka ini direkodkan di dalam Sijjin. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/396-397)

Kesimpulan

Di antara sifat mukmin yang baik ialah sentiasa menjaga diri daripada mentertawakan kekurangan orang lain apabila mereka melihatnya. Segala penghinaan dan perlekehan yang diterima oleh orang mukmin di dunia akan dibalas dengan kenikmatan syurga yang tiada bandingannya di akhirat kelak.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Leave a Reply