Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah kita perlu elakkan diri dan berwaspada daripada tipu daya dan bahaya pluralisme?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami nyatakan takrif pluralisme.  Dr Aizam Mas’od menyebut dalam bukunya:

Sebahagian umat Islam masih terkeliru dengan perbezaan antara pluraliti agama dan pluralisme agama. Pluraliti agama adalah fakta kewujudan kepelbagaian dan perbezaan agama-agama di dunia ini. Sebagai fakta, pluraliti merupakan ketentuan Tuhan atau Sunnatullah, oleh kerana itu ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dinafikan. Manakala pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, sikap dan pendirian seseorang terhadap realiti kepelbagaian dan fakta perbezaan tersebut.

Secara khususnya pluralisme agama adalah pandangan, fikiran. keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byme, professor di King’s College London UK. Pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis.

Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang transcendent dan suci.

Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan.

Ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti sentiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali. (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 233-234)

Sejak dahulu hingga sekarang, sesungguhnya musuh-musuh Islam selalu berniat melenyapkan Islam dan kaum Muslimin. Mereka menggunakan pelbagai cara bagi mencapai matlamat tersebut. Lantaran itu, Allah SWT meminta kita agar berwaspada terhadap tipu daya mereka. Firman Allah SWT:

وَدُّوا۟ لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا۟ فَتَكُونُونَ سَوَآءًۭ ۖ

Maksudnya: “Mereka suka dan menginginkan agar kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama seperti mereka.”

(Surah al-Nisa’: 89)

Bagi menjayakan impian besar ini, mereka terus menerus tanpa rasa jemu dan berputus asa bekerja keras untuk memadamkan cahaya Allah SWT dan memesongkan umat Islam daripada agama Islam. Perkara ini digambarkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَيَأْبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Maksudnya: “Mereka hendak memadamkan cahaya agama Allah dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan untuk menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang kafir itu membencinya.”

(Surah al-Taubah: 32)

Ketika mereka merasa lemah menghadapi kaum Muslimin dengan peperangan, maka musuh-musuh itu cuba mencari cara lain, iaitu dengan menyebarkan propaganda  pemikiran yang merosak dan menyesatkan dalam beberapa aspek. Di antaranya, menyebarkan pemikiran palsu seperti pemikiran yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Dalam erti kata lain, menurut mereka agama-agama ini hanya berbeza pada struktur luarannya dan zahirnya sahaja, sedangkan struktur dalamannya adalah sama. Sekiranya tidak diteliti dan diperhalusi dengan baik, kemungkinan ada pihak yang terpengaruh dengan pemikiran seperti ini. Ia sangat menyesatkan kerana melenyapkan hakikat dan kebenaran bahwa hanya agama Islam yang diterima oleh Allah, manakala agama lain adalah tertolak di sisi-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam.”

(Surah Ali ‘Imran: 19)

Implikasinya, mereka yang menganut agama lain tidak diterima oleh Allah SWT dan di akhirat kelak, mereka termasuk dalam golongan yang rugi. Firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari agama selain daripada Islam maka Allah tidak akan menerimanya dan di akhirat kelak dia tergolong dalam kalangan orang yang rugi.”

(Surah Ali ‘Imran: 85)

Selain itu, ini sekaligus menafikan dakwaan doktrin pluralisme agama yang mengatakan bahawa tiada agama yang memiliki kebenaran mutlak kerana nas syarak jelas menunjukkan hanya agama Islam yang diterima Allah SWT. Tambahan lagi, umat Islam perlu berkeyakinan teguh bahawa agama selain Islam adalah kufur. Kufur di sini bermaksud naqidh al-Iman iaitu lawan kepada iman.  Oleh sebab itu, orang yang kufur digelar sebagai kafir. Itu adalah istilah yang diberikan al-Quran bagi membezakan seorang Muslim dengan bukan Muslim dan seharusnya bukan Muslim menghormati doktrin yang terkandung di dalam kitab suci umat Islam.

Di samping itu, tiada titik pertemuan akan berlaku antara orang Islam dan orang kafir di akhirat kelak. Ini seperti yang sering dicanangkan oleh golongan pluralis bahawa kononnya manusia pelbagai agama sebenarnya bersatu pada titik metafiziknya. Hal ini adalah tidak benar sama sekali dan amat bertentangan dengan logik akal kerana hakikatnya, Islam dan kufur adalah amat bertentangan dan tiada titik pertemuan di akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/439-440)

Kesimpulan

Allah memaklumkan bahawa musuh-Nya sentiasa melakukan perancangan jahat dan tipu daya terhadap orang-orang Islam. Maka, perkara ini perlu disedari dan diberi perhatian oleh umat Islam supaya mereka tidak ternoda dengan tipu daya musuh dan terjerat dengan tipu daya mereka yang berusaha sepanjang masa untuk  meruntuhkan Islam dan melemahkan umatnya.

Allah menuntut umat Islam supaya berlembut  dan bersabar dengan musuh Islam serta redha dengan ketentuan-Nya. Petunjuk Allah ini perlu diikuti oleh umat Islam yang berjuang dan berdakwah sepanjang zaman dalam menyebarkan dan menegakkan agama-Nya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Surah Ali Imran (8)

Leave a Reply