Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana bahayanya gejala stress yang sering berlaku pada masa kini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ ١ وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ ٢ ٱلَّذِىٓ أَنقَضَ ظَهْرَكَ

Maksudnya: “Bukankah Kami telah melapangkan dadamu? Kami juga telah ringankan bebanmu. Dosa yang membebankanmu hingga sakit belakangmu.”

(Surah al-Syarh: 1-3)

Allah SWT menjelaskan nikmat yang dianugerahkan ke atas Rasulullah SAW dengan melapangkan dada Baginda SAW dengan iman dan menyucikan hati Baginda daripada segala dosa. Bahkan ia merupakan salah satu cara untuk mengembirakan hati Baginda SAW daripada kesakitan dan penderitaan yang menimpanya akibat perbuatan golongan pendosa, serta meredakan kebimbangan Baginda dengan paparan segala kurniaan Allah SWT. Allah SWT juga menerangkan kedudukan Baginda SAW yang mulia serta tinggi di sisi-Nya, serta diiringi nama Baginda SAW dengan nama Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT telah melapangkan Nabi Muhammad SAW untuk menerima tugas kenabian, menanggung bebanan dan menghafal wahyu. Allah SWT juga menghilangkan bebanan berat yang ditanggung Rasulullah SAW, sehingga dilapangkan dada Baginda SAW menjadi ringan dengan memberi taufik dan kemudahan untuk berdakwah. Bebanan itu berupa dosa-dosa yang dilakukan oleh kaum Baginda pada zaman Jahiliyyah, kerana Baginda SAW berada dalam kelompok mereka, walaupun Baginda SAW sendiri tidak pernah menyembah patung berhala, meminum arak, berzina dan lain-lain dosa. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/544)

Bahaya Gejala Stres

Kami mulakan dengan sebuah hadith Nabi SAW: Daripada Abu Said al-Khudri R.A, katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Didapati pada waktu tersebut ada seorang sahabat daripada kalangan Ansar – dikatakan beliau adalah Abu Umamah R.A – sedang duduk di sana. Baginda lalu bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan pada waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Terdapat perbezaan antara lemah dan malas. Malas adalah meninggalkan sesuatu yang mampu untuk dilakukan, manakala lemah adalah meninggalkan sesuatu kerana tidak mampu melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 16/95)

Dalam hadith di atas, Rasulullah SAW mengajar kita agar berlindung kepada Allah SWT daripada lapan perkara. Setiap dua perkara memiliki makna yang saling berkaitan sepertimana disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim di dalam Badai’ al-Fawa’id (2/207). Kami nukilkan seperti berikut:

Pertama dan Kedua : al-Hamm (الْهَمِّ) (kegelisahan) dan al-Hazan (الْحَزَن) (kesedihan).

Kedua-dua perkara ini akan menjadikan jiwa tidak tenang. Al-Hamm adalah kegelisahan terhadap perkara yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Manakala al-hazan adalah kesedihan terhadap sesuatu yang telah terjadi atau kehilangan orang dicintai.

Ketiga dan keempat: Al-‘Ajz (الْعَجْز) (lemah) dan al-Kasal (الْكَسَل) (malas).

Kedua-dua perkara ini juga akan menghalang seseorang untuk mencapai sesuatu yang diingininya. Al-‘Ajz (lemah) adalah apabila seseorang tiada kemampuan untuk melakukan sesuatu walaupun dia ada kemahuan. Manakala al-kasal (malas) adalah tidak adanya kemahuan untuk melakukan pekerjaan walaupun dia berkemampuan.

Kelima dan keenam: Al-Jubn (الْجُبْن) (penakut) dan al-Bukhl (الْبُخْل) (kedekut).

Kedua-dua perkara ini menunjukkan kerisauan yang ada dalam diri seseorang tentang nasib diri dan hartanya pada masa akan datang, lalu dia menjadi penakut dan kedekut. Penakut adalah bagi orang yang takut jiwanya terancam, manakala bakhil khusus bagi orang yang takut hartanya habis. (Lihat Badai’ al-Fawa’id, 2/207)

Ketujuh dan Kelapan: Ghalabat al-Dain (غَلَبَة الدَّيْنِ) (Hutang yang membelit) dan Qahr al-Rijal (قَهْرالرِّجَالِ) (penguasaan orang).

Kedua-dua perkara ini adalah perkara yang sering berkait. Ini kerana apabila seseorang mempunyai hutang yang banyak, maka dia secara tidak langsung berada di bawah kekuasaan orang yang memberi hutang kepadanya.

Imam al-Qurtubi berkata: “Para ulama’ berkata, maksud daripada tekanan hutang adalah, seseorang itu tidak memiliki apa-apa lagi untuk melunaskan hutangnya ketika orang yang memberi hutang menagihnya.”

Kurniaan nikmat Allah SWT terhadap Nabi Muhammad SAW dengan meringankan bebanan dan himpitan perasaan dalam melaksanakan amanah yang amat berat sebagai pembawa risalah Allah SWT membuktikan kepada kita tentang kehebatan dikurniakan perasaan yang tenang dan berlapang dada dengan setiap mehnah dan ujian dalam kehidupan.

Jika dilihat golongan pekerja di negara ini, baik daripada sektor kerajaan mahupun swasta, sedang mengalami tekanan hidup yang agak tinggi, ekoran pelbagai faktor sekeliling seperti kos sara hidup meningkat, masalah sosial dan sebagainya, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.[1] Namun simptom-simptom stres suatu fitrah semula jadi kemanusiaan yang perlu ditangani dengan bijak dan bertimbang rasa.[2]

Stres atau tekanan adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan. Simptom-simptom stres merangkumi empat bahagian iaitu fizikal, psikologikal, ganguan fikiran dan tingkah laku.[3]

Menurut Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di sini, Dr Ruzita Jamaluddin menyatakan bahawa penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi yang dihidapi oleh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada tahun 2020. Ini dilihat berdasarkan laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan yang pada tahun 2008, kira-kira 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan. Bahkan  jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan apabila jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.[4]

Hasil kajian tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental. Ini bermaksud, tiga daripada 10 individu berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah kesihatan mental di mana wanita menunjukkan kadar yang sedikit tinggi berbanding lelaki.Jika dilihat mengikut negeri, Sabah mencatatkan kadar tertinggi dengan 42.9 peratus penduduknya didapati mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental berbanding 39.8 peratus di Kuala Lumpur dan 39.1 peratus di Kelantan. Dalam kalangan kanak-kanak juga menunjukkan kadar yang membimbangkan iaitu sebanyak 12.1 peratus. Ia menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tinjaun sebelumnya.[5]

Stres di tempat kerja yang berlebihan boleh menjejaskan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ia berpunca daripada terganggunya psikologi dan fisiologi seseorang individu itu. Apabila gangguan ini berpanjangan, ia akan menyebabkan kemurungan. Kemurungan boleh menjejaskan tumpuan pekerja terhadap kerja dan menyebabkan peningkatan kadar kemalangan. Masalah yang paling dibimbangi adalah stres di tempat kerja boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan melemahkan sistem pertahanan badan terhadap penyakit. Jika masalah ini terus mengancam sumber manusia sesebuah organisasi, sudah tentunya kadar kemalangan di tempat kerja akan terus meningkat dan boleh menjejaskan produktiviti sesebuah negara.[6] (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/545-546)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

 

Nota kaki:

[1] Tahap ‘stress’ pekerja Malaysia sangat tinggi – Cuepacs dalam https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tahap-stress-pekerja-malaysia-sangat-tinggi-cuepacs-164045

[2] Isu-isu dalam Pengajaran dan Pengalaman Guru : Stres Dalam Kalangan Guru dicapai dalam talian https://www.academia.edu/Isu_isu_dalam_Pengajaran_dan_Pengalaman_Guru_Stres_Dalam_Kalangan_Guru

[3] Pengurusan Stres dicapai dalam talian http://www.myhealth.gov.my/pengurusan-stres-

[4] Sakit mental penyakit kedua tertinggi di Malaysia dicapai dalam talian https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/07/01/sakit-mental-penyakit-kedua-tertinggi-di-malaysia/

[5] Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019: Promosi kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri dicapai dalam talian https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hari-kesihatan-mental-sedunia-2019-promosi-kesihatan-mental-dan-pencegahan-bunuh-diri.

[6] Stres Di Tempat Kerja Dan Kesannya Terhadap Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan dalam Malaysian Journal Of Community Health 2006: Vol. 12 dicapai dalam talian http://journalarticle.ukm.my/4481/1/Vol12(1)

Leave a Reply