Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kaum musyrikin pada zaman awal keislaman dahulu mengakui rububiyyah Allah SWT?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rububiyyah ini merupakan salah satu perbahasan dalam bab Akidah, yang bermaksud pengakuan yang tegas bahawa Allah SWT adalah Tuhan segala sesuatu dan Penguasa, Pencipta, Pentadbir, dan Pengelolanya, Dia tidak mempunyai sekutu dalam kekuasaan-Nya. (Lihat Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 3/289)

Imam Ibn Abi al-‘Izz mengatakan, Rububiyyah ini adalah pengakuan bahawa Allah SWT adalah pencipta segala sesuatu, dan tidak ada bagi alam ini 2 pencipta yang setara pada sifat dan perbuatan, inilah tauhid yang benar tanpa ada keraguan lagi padanya. (Lihat Syarh al-Tahawiyyah, 1/25)

Sejarah Islam telah merakamkan pelbagai ragam manusia dengan kepercayaan mereka yang tersendiri, dan direkodkan juga tentang pengakuan musyrikin terdahulu terhadap Rububiyyah Allah SWT, dan tuhan-tuhan lain yang mereka jadikan sembahan itu tidak mampu melakukan demikian.

Ini dapat dibuktikan dengan beberapa nas syara‘, antaranya adalah firman Allah SWT yang mengatakan bahawa musyrikin secara jelas mengaku hanya Allah SWT yang berkuasa atas segala sesuatu:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ ٱلْعَزِيزُ ٱلْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui’.”

(Surah al-Zukhruf: 9)

Dalam masa yang sama, mereka juga merintih kepada Allah SWT ketika dalam keadaan susah. Allah SWT menyebutkan perkara ini dalam banyak tempat, seperti dalam firman-Nya:

فَإِذَا رَكِبُوا۟ فِى ٱلْفُلْكِ دَعَوُا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّىٰهُمْ إِلَى ٱلْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.”

(Surah al-‘Ankabut: 65)

Dan juga firman Allah SWT:

وَإِذَا غَشِيَهُم مَّوْجٌۭ كَٱلظُّلَلِ دَعَوُا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ فَلَمَّا نَجَّىٰهُمْ إِلَى ٱلْبَرِّ فَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌۭ ۚ وَمَا يَجْحَدُ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَّا كُلُّ خَتَّارٍۢ كَفُورٍۢ

Maksudnya: “Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.”

(Surah Luqman: 32)

Kaum musyrikin ketika itu turut mengakui bahawa tuhan yang mereka sembah itu tidak memiliki sebarang apa, bahkan kesemuanya dimiliki oleh Allah SWT. Ini sebagaimana yang warid dalam hadith Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

كَانَ الْمُشْرِكُونَ يَقُولُونَ: لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ – قَالَ – فَيَقُولُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم:‏‏ وَيْلَكُمْ قَدْ قَدْ‏.‏ فَيَقُولُونَ: إِلاَّ شَرِيكًا هُوَ لَكَ تَمْلِكُهُ وَمَا مَلَكَ ‏.‏ يَقُولُونَ هَذَا وَهُمْ يَطُوفُونَ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kaum musyrikin pernah berkata (ketika talbiyyah): ‘Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Binasalah kalian, cukup (sekadar ucapan itu), cukup.’ Kemudian mereka (musyrikin) menambah: ‘Kecuali sekutu yang engkau miliki dan ia tidak memiliki.’ Mereka mengatakan perkara ini ketika tawaf mengelilingi Ka‘bah.”

Riwayat Muslim (1185)

Terdapat juga nas yang jelas menyebutkan bahawa musyrikin dahulu ini beriman dan juga mensyirikkan Allah SWT dalam satu masa. Firman Allah SWT:

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ

Maksudnya: “Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.”

(Surah Yusuf: 106)

Imam Ibn kathir menukilkan pandangan Ibn ‘Abbas R.A, katanya: “Antara keimanan mereka adalah, apabila ditanya: ‘Siapakah yang menciptakan langit? Siapakah yang menciptakan bumi? Siapakah yang menciptakan gunung-ganang?’ Mereka akan menjawab: ‘Allah,’ dalam keadaan mereka mensyirikkan-Nya.” Beginilah yang disebutkan oleh Mujahid, ‘Ata’, ‘Ikrimah, Sya‘bi, Qatadah, al-Dahhak, ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/358)

Mereka kaum musyrikin terdahulu ini tidaklah menafikan kekuasaan Allah SWT atas segala sesuatu, akan tetapi mereka mensyirikkan Allah SWT pada keesaan-Nya, menyembah selain-Nya dengan alasan untuk menjadi perantara yang boleh mendekatkan mereka dengan Allah SWT.

Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ

Maksudnya: “Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): ‘Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya’.”

(Surah al-Zumar: 3)

Syubhah ini pada hakikatnya telah mula kembali ke zaman moden, seperti yang dapat diperhatikan melanda negara-negara Islam, dengan menjadikan kubur-kubur para wali yang telah meninggal dunia sebagai tempat melakukan ibadah dan merintih, dengan alasan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.

Ini bukanlah bermakna kita menafikan kedudukan para wali yang haq di sisi Allah SWT, dan kedudukan para syuhada’ yang hidup di sisi Allah SWT. Akan tetapi, menjadikan mereka sebagai perantara untuk mendekatkan diri, sehinggakan pada akhirnya menjadi tempat seseorang merintih dan berdoa, maka itulah syubhah yang merosakkan umat terdahulu. Sedangkan Allah SWT telah menyebutkan sepertimana dalam hadith qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:

إِنَّ اللهَ قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah berfirman: ‘Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada amalan yang dilakukan oleh hamba-Ku dengan tujuan mendekatkan diri kepada-Ku yang paling Aku sukai selain yang difardukan ke atasnya. Dan hamba-Ku berterusan mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya’.”

Riwayat al Bukhari (6502)

Semoga kita semua terhindar dari sebarang amalan yang boleh menyebabkan kita tergelincir di dalam kancah menyekutukan Allah SWT, dan dapat membimbing ahli keluarga kita untuk beramal berlandaskan neraca yang telah ditetapkan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply