Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapa bidadari dinamakan hurr ‘ain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bidadari termasuk di antara kenikmatan yang akan dikurniakan kepada para hamba Allah yang beriman kepada-Nya di syurga kelak. Ini adalah sebagaimana riwayat hadith yang menyebutkan tentang ganjaran 72 bidadari di syurga. Ia diriwayatkan daripada al-Miqdam R.A berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ: يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ، وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ، وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَيَأْمَنُ مِنَ الفَزَعِ الأَكْبَرِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الوَقَارِ، اليَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنَ الحُورِ العِينِ، وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ

Maksudnya: “Orang yang mati syahid di sisi Allah SWT mempunyai enam keutamaan: diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran), diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga, diselamatkan daripada azab kubur, diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur, diletakkan di atas kepalanya mahkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya, dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya.”

Riwayat al-Tarmizi (1663), dan hadith ini dinilai sebagai sahih gharib.

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini berkata, dikurniakan bagi orang syahid dengan cara perkahwinan seramai 72 bidadari. Bilangan tersebut menunjukkan kepada bilangan yang ditentukan (تحديد) bukannya menunjukkan bilangan yang banyak (تكثير). Ia juga difahami bahawa 72 bidadari adalah pemberian yang paling sedikit dan tidak menjadi masalah jika mereka itu dikurniakan lebih daripada itu iaitu lebih daripada 72 bidadari. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/2483).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, al-Mulla Ali al-Qari juga ada menyatakan bahawa bidadari ialah wanita dari syurga, dan maksud (الحُورُ) daripada (حَوْرَاءُ) iaitu teramat putih kulitnya dan matanya kehitaman. Manakala al-‘Ain (العَيْنُ) jamaknya adalah (عَيْنَاءُ) yang bermaksud mata yang luas (besar). (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/2483).

Begitu juga Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya di bawah “Bab: Bidadari dan Sifat-sifat Mereka.” bahawa:

يُحَارُ فِيهَا الطَّرْفُ، شَدِيدَةُ سَوَادِ العَيْنِ، شَدِيدَةُ بَيَاضِ العَيْنِ، وَزَوَّجْنَـٰهُم بِحُورٍ: أَنْكَحْنَاهُمْ

Maksudnya: “(Sifat bidadari itu antaranya ialah): akan membuatkan pandangan mata tercengang kerananya; biji mata yang sangat hitam dan bahagian putih mata yang sangat jernih. Firman Allah SWT: “وَزَوَّجْنَـٰهُم بِحُورٍ” (Maksudnya: “Kami memasangkan mereka dengan bidadari.”)[Surah al-Dukhan : 54] yakni kami menikahkan mereka.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/17).

Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَرَوْحَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، أَوْ غَدْوَةٌ، خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَلَقَابُ قَوْسِ أَحَدِكُمْ مِنَ الجَنَّةِ، أَوْ مَوْضِعُ قِيدٍ – يَعْنِي سَوْطَهُ – خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَلَوْ أَنَّ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ اطَّلَعَتْ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ لَأَضَاءَتْ مَا بَيْنَهُمَا، وَلَمَلَأَتْهُ رِيحًا، وَلَنَصِيفُهَا عَلَى رَأْسِهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Sungguh, sepetang atau sepagi di jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya. Sungguh, tempat yang sebesar ukuran busur panahnya atau cemetinya di syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya. Seandainya seorang wanita penghuni syurga menampakkan diri kepada penduduk bumi, nescaya dia akan menerangi apa yang ada di antara kedua-duanya (langit dan bumi), dan dia akan memenuhinya dengan bau yang harum semerbak. Dan (nilai) tudungnya adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2796)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply