Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa yang diucapkan oleh Khadijah selepas kali pertama Rasulullah SAW menerima wahyu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ucapan ini berlaku selepas Rasulullah SAW pulang dengan membawa wahyu kali pertama. Kami nyatakan seperti berikut:
Usia Baginda ketika itu genap 40 tahun qamariyyah, 6 bulan dan 12 hari (iaitu kira-kira 39 tahun syamsiyyah, 3 bulan dan 12 hari). Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawasanya beliau berkata: “Permulaan wahyu yang datang kepada Rasulullah SAW adalah melalui mimpi yang baik di dalam tidur. Baginda SAW tidak bermimpi melainkan mimpinya muncul seperti cahaya Subuh. Kemudian Baginda menjadi suka untuk menyendiri. Baginda SAW suka menyendiri di Gua Hira’. Rasulullah SAW bertahannuth di situ (iaitu beribadah) di malam hari beberapa waktu lamanya, sebelum kembali kepada keluarganya dan mempersiapkan bekalan untuk tujuan yang sama (bertahannuth kembali).
Kemudian, Baginda pulang menemui Khadijah R.Anha dan disediakan bekalan seperti sebelumnya (untuk beberapa malam) sehingga datang wahyu kepadanya ketika di Gua Hira’. Malaikat (Jibril A.S) datang kepada Baginda lalu berkata: “Iqra’ (Bacalah).” Nabi SAW menjawab: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Malaikat itu memegang aku lantas memelukku sehingga habis dayaku, kemudian dia melepaskanku dan berkata: “Bacalah!” Baginda menjawab: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril A.S kembali memegangku dan memelukku buat kali kedua sehingga habis dayaku, kemudian ia melepaskanku dan berkata: “Bacalah!” Maka aku berkata: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril kembali memegangku dan memelukku buat kali ketiga kemudian ia melepaskanku dan membaca (Firman Allah SWT):
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Maksudnya: “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Surah al-‘Alaq : 1-5)
Setelah itu, Rasulullah SAW kembali kepada keluarganya membawa wahyu itu dalam keadaan hatinya berdebar-debar. Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan berkata: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Maka, mereka menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda.
Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: “Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.” Khadijah R.Anha berkata:
كَلَّا وَاللهِ مَا يُخْزِيكَ اللهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ الـمَعْدُومَ، وَتَـقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَـوَائِبِ الحَقِّ
Maksudnya: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.”
Riwayat al-Bukhari (3) dan Muslim (160)
Khadijah R.Anha pun membawa Nabi SAW bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu sepupu Khadijah. Beliau menganut agama Nasrani di masa Jahiliyyah, dan telah menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan beliau menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Saat itu, Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah R.Anha berkata kepadanya: “Wahai sepupuku, dengarlah cerita daripada anak saudaramu ini.” Maka Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?” Maka Rasulullah SAW menceritakan apa yang dialaminya.
Lalu Waraqah berkata kepadanya: “Ini ialah Namus (Jibril A.S) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa. Aduhai diriku! Alangkah baik jika ketika dirimu diutuskan sebagai Rasul aku masih muda belia. Aduhai! Seandainya aku masih hidup saat kaummu mengusirmu.” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah mereka pasti akan mengusir aku?” Waraqah menjawab: “Ya, kerana tiada seorang pun yang datang membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Jika sekiranya aku masih hidup pada ketika itu, nescaya aku akan menolong engkau dengan sedaya upayaku.” Tidak lama kemudian, Waraqah pun meninggal dunia, lalu penurunan wahyu terhenti buat sementara waktu. [Riwayat al-Bukhari, no. 3] (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 46)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”