Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah pernah Rasulullah SAW mendoakan anak yang sedang sakit, yang dibawa kepadanya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sirah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW amat cakna dan prihatin kepada orang yang sakit. Bahkan disebut bahawa antara hak orang Islam ada lima.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
حَقُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ خَمْسٌ: رَدُّ السَّلاَمِ، وَعِيَادَةُ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الجَنَائِزِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَتَشْمِيتُ العَاطِسِ»
Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).”
Riwayat Al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami menjawab ya, dan disebut dalam sebuah hadith daripada al-Ju‘aid, katanya:
سَمِعْتُ السَّائِبَ، يَقُولُ: ذَهَبَتْ بِي خَالَتِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ ابْنَ أُخْتِي وَجِعٌ، فَمَسَحَ رَأْسِي وَدَعَا لِي بِالْبَرَكَةِ، ثُمَّ تَوَضَّأَ فَشَرِبْتُ مِنْ وَضُوئِهِ، وَقُمْتُ خَلْفَ ظَهْرِهِ، فَنَظَرْتُ إِلَى خَاتَمِ النُّبُوَّةِ بَيْنَ كَتِفَيْهِ، مِثْلَ زِرِّ الحَجَلَةِ.
Maksudnya: Aku mendengar al-Sa’ib berkata: “Ibu saudara sebelah ibuku membawaku kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak lelaki kepada saudara perempuanku menderita sakit.” Maka Baginda SAW mengusap kepalaku lalu mendoakan keberkatan buatku. Kemudian Baginda SAW berwudhu’. Setelah itu, aku minum daripada (lebihan) air wudhu’nya. Aku pun berdiri di belakangnya dan melihat tanda kenabian antara kedua bahunya seperti telur burung yang seumpama (merpati).”
Riwayat al-Bukhari (5670)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”