Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud kalimah Asyrat al-Sa’ah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wajib beriman kepada hari kiamat kerana ia merupakan salah satu rukun iman, dan kita wajib percaya dengan kewujudan hari kiamat yang pasti berlaku dan tiada keraguan tentangnya berdasarkan nas-nas al-Quran dan hadis yang banyak mengupas tentang perkhabaran perkara-perkara ghaib. Firman Allah SWT:

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَىٰهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّى ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَآ إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةًۭ ۗ يَسْـَٔلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِىٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Mereka yang mendustakanmu bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang hari kiamat, “Bilakah ia akan berlaku?” Katakanlah, “Sesungguhnya pengetahuan tentang waktu kiamat itu hanyalah ada dengan Tuhanku. Tiada sesiapa pun yang dapat menerangkan waktu berlakunya hari kiamat melainkan Dia. Kedatangan kiamat itu menyebabkan huru-hara yang amat dahsyat di langit dan di bumi. Ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mendadak. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau benar-benar mengetahuinya. Katakanlah, “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanya ada pada Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui perkara ini.”

(Surah al-A‘raf: 187)

Ayat ini membuktikan bahawa peristiwa hari kiamat hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui waktu berlakunya di mana ketika itu akan terhenti fenomena gerakan alam dan berakhirnya usia bumi. Tiada suatu jua pun makhluk Allah yang mampu mengetahuinya walaupun malaikat yang terdekat atau nabi yang diutus oleh Allah SWT. Bahkan hari kiamat akan terjadi secara tiba-tiba ketika manusia sedang leka dibuai dengan kesibukan dunia.

Apakah Maksud “أَشرَاط” dan “السَاعَة

Kalimah (أشراط) merupakan perkataan jamak bagi perkataan (الشَرَط). Ia seperti kalimah (الأسبَاب) bagi perkataan (سَبَب). Ia bermaksud tanda-tanda yang menunjukkan kejadian yang hampir berlaku. Manakala kalimah (السَاعَة) bermaksud hari kiamat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/52)

Al-Quran juga banyak memaparkan kalimah ini dalam ayat-ayatnya seperti firman Allah SWT:

فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا ٱلسَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةًۭ ۖ فَقَدْ جَآءَ أَشْرَاطُهَا ۚ فَأَنَّىٰ لَهُمْ إِذَا جَآءَتْهُمْ ذِكْرَىٰهُمْ

Maksudnya: “Maka tiada lagi yang mereka tunggu melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut; kerana sesungguhnya telah ada tanda-tanda kedatangannya. Jikalau demikian, bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila hari kiamat itu telah datang kepada mereka?”

(Surah Muhammad: 18)

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ayat ini menceritakan tentang berlakunya hari kiamat secara mengejut, ini merupakan ancaman kepada golongan kafir. Bahkan hari kiamat juga mempunyai tanda-tanda dan ciri-cirinya. Salah satunya pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir. Menurut pendapat lain pula terdapat tanda-tanda kiamat seperti terbelahnya bulan dan keluar “al-dukhan” iaitu asap. Al-Kalbi menyatakan antara tanda-tanda kiamat seperti banyaknya harta, perniagaan, kesaksian palsu, banyaknya orang memutuskan silahturrahim, sedikitnya orang-orang mulia dan ramainya orang tercela. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 19/264-265)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.”

Leave a Reply