Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapakah dilarang untuk membunuh ular di dalam rumah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas pengenalan mengenai ular. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ular ialah sejenis binatang menjalar yang tidak berkaki dan kulitnya bersisik (ada yang berbisa dan ada yang tidak).[1]
Manakala Ensiklopedia Dunia mendefinisikan ular sebagai haiwan berbadan panjang, tanpa kaki, yang diliputi sisik kering untuk bergerak di atas tanah, ular menjalar menggunakan perutnya. Banyak ular mempunyai badan yang fleksibel yang membolehkannya berlingkar menjadi bentuk bebola. Mata ular diliputi sisik jernih, bukannya kelopak mata yang boleh bergerak. Oleh yang demikian, mata ular sentiasa terbuka. Ular kerap menjelirkan lidahnya yang halus, bercabang. la menggunakan lidah untuk membawa bau ke organ deria khas di dalam mulut. Ular tergolong dalam order (kumpulan) haiwan yang dikenali sebagal reptilia. Reptilia juga termasuk buaya, cicak, dan penyu. Seperti reptilia lain, ular boleh mengekalkan suhu badan yang agak tetap melalui kelakuannya. Contohnya, ular meningkatkan suhu badannya dengan berjemur dalam cahaya matahari dan menurunkannya dengan merayap ke tempat redup. Sebaliknya, mamalia dan burung mempunyai mekanisme dalaman yang mengawal suhu badannya.
Ahli sains mempunyai bukti bahawa ular berkembang daripada cicak kira-kira 100 juta tahun dahulu. Ular lebih banyak menyerupai cicak daripada menyerupai reptilia lain. Tetapi, tidak seperti kebanyakan cicak, ular tidak mempunyal kaki, kelopak mata boleh bergerak, dan bukaan telinga luar. Sisik dan tengkorak ular juga berbeza daripada cicak. Oleh kerana struktur khas matanya ular dianggap berkembang daripada cicak yang mengorek lubang dalam tanah. Ketiadaan kaki ular juga dikatakan berpunca daripada fasa pengorekan lubang ini.
Ular hidup hampir di serata tempat di dunia. la hidup di gurun, hutan, lautan, sungai, dan tasik. Banyak ular hidup di atas tanah, dan sesetengahnya hidup dalam tanah. Yang lain tinggal di atas pokok manakala yang lain menghabiskan kebanyakan masanya dalam air. Hanya beberapa kawasan yang tidak mempunyai ular di dunia. Ular tidak boleh hidup di tempat yang kekal sejuk beku sepanjang tahun. Tiada ular hidup di kawasan kutub atau di kawasan tinggi di pergunungan. Di samping itu, ular biasanya tidak wujud di pulau, termasuk Ireland dan New Zealand.
Terdapat lebih kurang 2700 jenis ular. Jenis yang paling banyak hidup di kawasan tropika. Ular terbesar ialah anakonda di Amerika Selatan dan ular sawa berselirat di Asia. Kedua-dua ular ini boleh membesar sehingga 9 meter panjangnya. Satu daripada ular terkecil ialah ular buta Braminy, yang tinggal di kawasan tropika dan panjangnya hanya 15 sentimeter. Seperti ular buta yang lain, ular buta Braminy mempunyai mata, tetapi matanya diliputi sisik kepala. Barangkali ular buta hanya dapat membezakan terang dan gelap. Sesetengah ular adalah berbisa. Ular mempunyai dua siung berongga atau beralur di rahang atas. Ular menyuntik bisa (racun) melalui siung ketika mematuk. Lebih kurang 270 jenis ular mempunyai bisa yang berbahaya atau membawa maut kepada manusia. Lebih kurang 25 jenis ular menyebabkan banyak kematian akibat patukan ular. Ular ini termasuk ular tedung selar di Asia, mamba hitam dan ular kapak bersisik gergaji di Afrika, dan taipan di Australia.
Bentuk badan. Ular berbeza-beza bentuk badannya. Contohnya, sesetengah ular seperti ular kapak Gaboon di Afrika, mempunyai badan yang gempal. Sebaliknya, ular pokok tertentu mempunyai badan yang sangat kurus, panjang yang menyerupai tumbuhan menjalar. Badan ular (laut) leper dari sisi ke sisi. Ular jantan dan betina kebanyakan spesies ular tidak banyak berbeza dari segi bentuk badan dan rupa. Bagaimanapun, di kalangan sesetengah spesies, ular betina lebih besar daripada ular jantan. Pada sesetengah spesies, ular jantannya lebih besar daripada ular betina. Satu spesies yang ular jantan dan betinanya sangat berbeza rupanya ialah langaha di Madagascar. Langaha jantan mempunyai unjuran bak kon pada muncungnya. Ular betinanya mempunyai muncung panjang berbentuk seakan-akan daun mapel.
Tabiat makan. Kebanyakan ular memakan burung, ikan, katak, cicak, dan mamalia kecil seperti arnab dan tikus. Sesetengah ular, termasuk ular tedung selar Asia dan ular raja Amerika Utara, memakan ular lain. Banyak ular mempunyai tabiat makan yang khusus. Contohnya, sesetengah spesies memakan terutamanya siput. Gigi dan rahang bawah sesetengah ular pemakan siput disesuaikan untuk menarik siput dari cangkerang. Ular benang, yang sangat mirip kepada ular buta, mempunyai mulut kecil dan memakan terutamanya anai-anai. Ular ini dapat menghisap bahagian dalam abdomen dari badan anal-anal, dan meninggalkan bahagian yang lebih sukar dihadamkan. Ular tertentu yang memakan telur mempunyai spina panjang di dalam kerongkong pada vertebra leher. Selepas ular menelan telur, cangkerang telur ditusuki spina ini dan kemudian dihancurkan dengan penguncupan otot ular. Kandungan telur masuk melalui kerongkong, tetapi spina vertebra mencegah cangkerang daripada masuk ke dalam, kemudiannya diluahkan oleh ular.
Ular mempunyai pelbagai cara menangkap mangsa. la mungkin bersembunyi untuk menyerang hendap, menghendap, atau mengejar mangsa. Apabila ular menyerang, ia menerpa ke arah mangsa dengan mulutnya terbuka luas. Serangan ular biasanya berkesan hanya dalam jarak bersamaan dengan setengah atau dua per tiga daripada panjang badannya. Kebanyakan ular menelan mangsanya hidup-hidup. Bagaimanapun, ular berbisa biasanya menunggu bisanya membunuh mangsa sebelum menelannya. Biasanya ular pencerut juga membunuh mangsa sebelum memakannya. Ular pencerut termasuk boa, ular bull, ular raja, ular sawa, dan ular tikus. Ular pencerut membelit dua gelung atau lebih badannya mengelilingi mangsa dan kemudiannya menguncupkan ototnya untuk menjerut mangsa. Sebilangan orang percaya bahawa ular pencerut membunuh dengan menghancurkan tulang dan organ dalaman mangsa. Sebenarnya, ular ini membunuh mangsa dengan melemaskannya.
Selepas makan, ular mungkin berjemur dalam cahaya matahari. Haba menaikkan suhu badannya, yang mencepatkan proses penghadaman. Sekali makan mungkin menjadikan ular dapat bertahan lama. Ular di zoo dan makmal kadangkala tidak makan beberapa bulan lamanya. Ular besar, seperti ular boa dan ular sawa, biasanya tidak makan selama lebih daripada setahun. Malah sesetengah ular kecil pun mungkin tidak makan selama 6 hingga 12 bulan. Ular dapat hidup lama tanpa makanan kerana beberapa sebab. Tidak seperti haiwan berdarah panas, ular tidak memerlukan banyak tenaga daripada makanan untuk mengekalkan suhu badan yang stabil. Ular juga mungkin tidak aktif untuk tempoh yang lama dan hanya menggunakan sedikit tenaga. Di samping itu, ular mempunyai banyak tisu yang menyimpan lemak. Semasa tempoh tidak makan yang lama, ular menggunakan lemak ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 22/37-47).
Selain daripada itu, Imam al-Bukhari ada menukilkan perkataan Ibn Abbas R.Anhuma yang menyebutkan:
الثُّعْبَانُ الحَيَّةُ الذَّكَرُ مِنْهَا، يُقَالُ: الحَيَّاتُ أَجْنَاسٌ: الجَانُّ وَالأَفَاعِي، وَالأَسَاوِدُ
Maksudnya: “Kalimah al-Tha‘ban ialah ular jantan. Dikatakan bahawa ular itu bermacam-macam jenis, ada yang dinamakan al-Jan (ular berwarna putih), al-Afa‘i (ular betina) dan al-Asawid (ular berwarna hitam). (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/127).
Keduanya, ular tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).
Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya. Apatah lagi terdapat firman Allah SWT:
لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ
Maksudnya: “Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.”
(Surah al-Ma’idah: 95)
Justeru, termasuklah dalam jenis haiwan tersebut seperti ular, tikus, helang dan semua haiwan buas yang memudaratkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22).
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa ular adalah haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini kerana terhimpun padanya beberapa faktor yang menjadikannya haram untuk dimakan seperti haiwan yang dianggap jijik, memburu dengan taringnya, dan haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh. Bahkan sebahagian besar ular juga sangat sinonim dengan racun atau bisa yang boleh meragut nyawa manusia. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).
Penjelasan lanjut berkenaan hal ini bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #1085: Makan Sate Ular.[2]
Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang diketahui bahawa ular termasuk dalam haiwan yang diharuskan untuk membunuhnya kerana tergolong dalam jenis haiwan perosak dan berbahaya. Ini adalah sebagaimana hadith bahawa Nabi SAW bersabda:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الحَرَمِ: الفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالحُدَيَّا، وَالغُرَابُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ
Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”
Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)
Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa dia mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan bersabda:
اقْتُلُوا الحَيَّاتِ، وَاقْتُلُوا ذَا الطُّفْيَتَيْنِ وَالأَبْتَرَ، فَإِنَّهُمَا يَطْمِسَانِ البَصَرَ، وَيَسْتَسْقِطَانِ الحَبَلَ
Maksudnya: “Bunuhlah ular-ular dan bunuhlah Zu al-Tufyatain (ular dengan dua garisan putih di belakangnya) dan abtar (ular yang ekornya pendek atau tidak berekor), kerana sesungguhnya kedua-dua itu dapat membutakan mata dan menggugurkan kandungan.”
Riwayat al-Bukhari (3297)
Begitu juga daripada Ibn Abi Mulaikah bahawasanya:
أَنَّ ابْنَ عُمَرَ، كَانَ يَقْتُلُ الحَيَّاتِ ثُمَّ نَهَى، قَالَ: إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَدَمَ حَائِطًا لَهُ، فَوَجَدَ فِيهِ سِلْخَ حَيَّةٍ، فَقَالَ: «انْظُرُوا أَيْنَ هُوَ» فَنَظَرُوا، فَقَالَ: «اقْتُلُوهُ» فَكُنْتُ أَقْتُلُهَا لِذَلِكَ.
Maksudnya: “Ibn Umar pernah membunuh ular, namun kemudian beliau melarang daripada membunuhnya. Beliau berkata: Nabi SAW menghancurkan dinding miliknya dan menjumpai kulit ular. Baginda bersabda: ‘Carilah di mana ia.’ Mereka pun mencarinya. Kemudian Baginda bersabda: ‘Bunuhlah ia.’ Maka aku (Ibn Umar) membunuhnya kerana hal itu.”
Riwayat al-Bukhari (3310)
Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa dilarang untuk membunuh ular di dalam rumah adalah kerana dikhuatiri ular itu tergolong dalam kalangan jin. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:
فَبَيْنَا أَنَا أُطَارِدُ حَيَّةً لِأَقْتُلَهَا، فَنَادَانِي أَبُو لُبَابَةَ: لاَ تَقْتُلْهَا، فَقُلْتُ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أَمَرَ بِقَتْلِ الحَيَّاتِ قَالَ: إِنَّهُ نَهَى بَعْدَ ذَلِكَ عَنْ ذَوَاتِ البُيُوتِ، وَهِيَ العَوَامِرُ
Maksudnya: “Ketika aku sedang mengejar ular untuk membunuhnya, tiba-tiba Abu Lubabah memanggilku: ‘Janganlah engkau membunuhnya.’ Aku berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk membunuh ular-ular.’ Abu Lubabah berkata: ‘Sesungguhnya selepas itu Baginda melarang membunuh ular-ular di rumah-rumah,’” (Al-Zuhri berkata) iaitu al-‘Awamir (penghuni rumah daripada bangsa jin).
Riwayat al-Bukhari (3298)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ular. Diakses pada 1 Disember 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1085-makan-sate-ular/. Diakses pada 1 Disember 2023.