Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana Islam melihat dan menilai seseorang sama ada secara lahiriah atau sebaliknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ‎

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Ayat ini ditujukan buat seluruh manusia secara mutlak. Melalui ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawasa-Nya telah menciptakan kita berbagai bangsa dan puak untuk kita saling mengenali bukan saling membanggakan nasab. Namun, yang membezakan antara kita semua adalah ketakwaan kepada Allah SWT (Lihat Tafsir al-Munir 26/259)

Menjawab persoalan di atas, sebuah hadith Nabi SAW, daripada Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi R.A, bahawa beliau berkata:

مَرَّ رَجُلٌ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لرَجُلٍ عِنْدَهُ جَالِسٍ: «مَا رَأْيُكَ فِي هَذَا» فَقَالَ: رَجُلٌ مِنْ أَشْرَافِ النَّاسِ، هَذَا وَاللهِ حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ يُنْكَحَ، وَإِنْ شَفَعَ أَنْ يُشَفَّعَ، قَالَ: فَسَكَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ مَرَّ رَجُلٌ آخَرُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا رَأْيُكَ فِي هَذَا» فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هَذَا رَجُلٌ مِنْ فُقَرَاءِ المُسْلِمِينَ، هَذَا حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ لاَ يُنْكَحَ، وَإِنْ شَفَعَ أَنْ لاَ يُشَفَّعَ، وَإِنْ قَالَ أَنْ لاَ يُسْمَعَ لِقَوْلِهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَذَا خَيْرٌ مِنْ مِلْءِ الأَرْضِ مِثْلَ هَذَا».

Maksudnya: Seorang lelaki lalu berhampiran Rasulullah SAW, lalu Baginda bertanya kepada lelaki yang sedang duduk di sisinya: “Apakah pendapatmu tentang (orang) itu?” Dia menjawab: “Dia adalah lelaki daripada kalangan orang yang mulia. Demi Allah, dia akan cepat dinikahkan sekiranya dia pergi melamar, dan jika dia meminta syafaat maka diterima syafaatnya.” Dia (perawi) berkata: Rasulullah SAW kemudian diam, kemudian datang lelaki lain berjalan di hadapan mereka, maka Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Apakah pendapatmu tentang (orang) itu?” Dia menjawab: “Wahai Rasulullah, lelaki ini adalah daripada kalangan orang miskin dalam kaum muslimin. Orang ini sekiranya dia pergi melamar nescaya tidak dinikahkan, dan jika dia meminta syafaat (pertolongan) nescaya tidak diberi syafaat, dan jika dia berbicara nescaya perkataannya tidak didengar.” Maka, Rasulullah SAW bersabda: “(Lelaki) ini lebih baik daripada seisi bumi seperti ini.”

Riwayat al-Bukhari (6447)

Telah terbukti bagaimana pengorbanan para Sahabat yang akhirnya amat dikasihi oleh Rasulullah SAW cukup luar biasa. Daripada Abu Wa‘il, katanya:

عُدْنَا خَبَّابًا، فَقَالَ: «هَاجَرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُرِيدُ وَجْهَ اللهِ، فَوَقَعَ أَجْرُنَا عَلَى اللهِ، فَمِنَّا مَنْ مَضَى لَمْ يَأْخُذْ مِنْ أَجْرِهِ، مِنْهُمْ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ، قُتِلَ يَوْمَ أُحُدٍ، وَتَرَكَ نَمِرَةً، فَإِذَا غَطَّيْنَا رَأْسَهُ بَدَتْ رِجْلاَهُ، وَإِذَا غَطَّيْنَا رِجْلَيْهِ بَدَا رَأْسُهُ، فَأَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نُغَطِّيَ رَأْسَهُ وَنَجْعَلَ عَلَى رِجْلَيْهِ شَيْئًا مِنَ الإِذْخِرِ، وَمِنَّا مَنْ أَيْنَعَتْ لَهُ ثَمَرَتُهُ، فَهُوَ يَهْدِبُهَا».

Maksudnya: Kami melawat Khabbab R.A lalu beliau berkata: “Kami berhijrah bersama Nabi SAW dengan tujuan mencari keredhaan Allah. Maka telah ditetapkan pahala kami di sisi Allah. Ada di antara kami yang telah meninggal dan tidak sempat mengambil ganjarannya. Di antara mereka adalah Mus‘ab bin ‘Umair R.A, beliau disyahidkan pada hari peperangan Uhud, dengan meninggalkan sehelai kain. Apabila kami menutup kepalanya maka kedua kakinya terdedah, dan apabila kami menutup kedua kakinya maka kepalanya terdedah. Maka Nabi SAW memerintahkan agar kami menutupi kepalanya dan untuk kedua kakinya kami tutupi dengan daun izkhir (herba seumpama serai). Dan ada di antara kami yang buahnya (pahalanya) sempat matang (di dunia), lalu dia sempat memetiknya.”

Riwayat al-Bukhari (6448)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply