Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa pandangan Datuk berkenaan dengan tanda kiamat kecil dan apa yang sudah berlaku dan akan berlaku di antara tanda kiamat kecil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kiamat merupakan hari di mana seluruh hidupan akan mati dan waktunya hanya diketahui oleh Allah SWT. Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa ‘tanda kiamat’ bermaksud tanda-tanda yang berakhir dengan berlakunya hari kiamat (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 13/79).

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW yang secara pasti menyatakan bahawa hari kiamat tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan hanya Allah SWT. Firman Allah SWT:

يَسْأَلُكَ النَّاسُ عَنِ السَّاعَةِ ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّهِ ۚ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ تَكُونُ قَرِيبًا

Maksudnya: “Manusia bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang kedatangan hari kiamat, katakanlah, ‘Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya ada di sisi Allah. Bagaimana kamu dapat mengetahui? Barangkali kiamat itu sudah dekat.’”

(Surah al-Ahzab: 63)

Menurut Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, Allah SWT mengkhabarkan kepada rasul-Nya bahawa dia tidak mempunyai pengetahui mengenai hari kiamat. Lalu jika seseorang bertanya kepadanya tentang perkara tersebut, dia hendaklah menyuruhnya untuk menyerahkan ilmunya kepada Allah ‘Azza wa Jalla (iaitu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/527).

Begitu juga Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti ketika menafsirkan ayat ini turut menyatakan bahawa sebagaimana diketahui lafaz “إِنَّمَا” merupakan sighah hasr (صِيغَةُ حَصْرٍ) yang memberi maksud eksklusif (mengehadkan). Lalu menjadikan makna ayat ini bahawa hari kiamat itu hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 6/257).

Tanda-tanda Kiamat dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua, iaitu tanda-tanda Kiamat yang kecil dan tanda-tanda Kiamat yang besar. Tanda-tanda Kiamat yang kecil ini sangat banyak di mana sebahagiannya telah pun berlaku dalam kehidupan kita pada masa kini. Bahkan, sebahagiannya pula telah pun berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat lagi. Sebagai contoh, pengutusan Baginda Nabi SAW serta kewafatan Baginda juga merupakan salah satu daripada tanda-tanda kecil Kiamat sepertimana yang dijelaskan dalam nas-nas yang sahih.

Antara tanda kiamat kecil, dalam sebuah hadith daripada Anas R.A, katanya:

لَأُحَدِّثَنَّكُمْ حَدِيثًا لاَ يُحَدِّثُكُمُوهُ أَحَدٌ بَعْدِي، سَمِعْتُهُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ» وَإِمَّا قَالَ: «مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ، أَنْ يُرْفَعَ العِلْمُ، وَيَظْهَرَ الجَهْلُ، وَتُشْرَبَ الخَمْرُ، وَيُظْهَرَ الزِّنَا، وَيَقِلَّ الرِّجَالُ، وَيَكْثُرَ النِّسَاءُ حَتَّى يَكُونَ لِلْخَمْسِينَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ».

Maksudnya: “Sungguh aku akan menyampaikan kepada kamu suatu hadith yang tidak akan disampaikan oleh seorang pun sesudahku, yang aku mendengarnya daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hari Kiamat tidak akan terjadi (melainkan)…” – ataupun Baginda bersabda: “Antara tanda-tanda Hari Kiamat…” – “…ialah ilmu diangkat, kejahilan merebak, arak diminum, zina dilakukan secara terang-terangan, jumlah orang lelaki sedikit dan jumlah wanita banyak, sehingga menjadi (nisbah) lima puluh wanita bagi seorang lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (6808)

Berdasarkan nas di atas, antara tanda Kiamat kecil ialah:

  • Ilmu diangkat,
  • Kejahilan merebak,
  • Arak diminum,
  • Zina dilakukan secara terang-terangan,
  • Jumlah orang lelaki sedikit dan jumlah wanita banyak, sehingga menjadi (nisbah) lima puluh wanita bagi seorang lelaki.”

Dan banyak lagi tanda-tanda lain yang kami muatkan dalam buku-buku kami. Sila rujuk dalam Apps al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Leave a Reply