Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah mati dalam mempertahankan harta termasuk golongan syahid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami telah terangkan banyak kali, syahid dengan pelbagai jenis sama ada syahid dalam peperangan atau sebaliknya. Begitu juga syahid dunia atau syahid akhirat. Salah satu yang dianggap syahid adalah pertahankan harta. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ.

Maksudnya: “Barang siapa dibunuh kerana membela hartanya, maka dia adalah syahid.”

Riwayat al-Bukhari (2480)

Kalau hanya mempertahankan harta juga dianggap syahid, maka bagaimana mereka yang berjuang fi sabilillah, yang mempertahankan agama, tanah watan, negara dan umat Islamnya. Maka sudah tentu ganjaran di sisi Allah SWT amat besar. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ﴿١٦٩﴾ فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١٧٠﴾  يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh(yang gugur syahid)pada jalan Allah itu mati. (Mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Dan mereka bersuka cita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal dibelakang yang belum sampai kepada mereka bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita.Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya, dan (ingatlah) bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.”

(Surah Ali Imran: 169-171)

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: “Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi tuhan dengan mendapat rezeki, mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal di belakang yang belum sampai kepada mereka mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya. Kesemua ini menunjukkan bahawa mereka bertemu melalui 3 perkara tersebut.”

Menurut beliau lagi: Lafaz Istibsyar pada bahasa membawa maksud saling mengkhabarkan antara satu sama lain seperti يتباشرون.    (Lihat Kitab al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 18)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di dalam mentafsirkan ayat ini menyebut: “Yang dimaksudkan dengan ‘وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ adalah mereka saling mengkhabarkan antara satu sama lain berkenaan saudara mereka yang belum lagi sampai bahawa mereka itu akan mendapat seperti mana mereka dapat.”

Beliau juga mentafsirkan ayat ‘أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ’ dengan maksud bahawa mereka saling mengkhabarkan tentang terhapusnya kesedihan mereka dan saudara mereka dengan mendapat kegembiraan yang sempurna. Begitu juga ayat ‘يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ وَفَضْلٍ’, beliau menafsirkan ayat ini dengan makna mereka saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan sebesar-besar tahniah.  (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,  1/156)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply