Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah bagi golongan yang menjauhi daripada sikap tergopoh gapah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ ۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam masa enam hari; kemudian, Allah bersemayam (tidak sama seperti makhluk) di atas ‘Arasy singgahsana-Nya. Tidak ada bagi kamu pelindung dan pemberi syafaat selain-Nya. Tidakkah kamu mengambil pengajaran?”

(Surah al-Sajdah: 4)

Syed Qutb menjelaskan bahawa pengetahuan manusia berkaitan penciptaan langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya dengan segala makhluk yang tidak terhitung banyaknya adalah amat sedikit berbanding dengan maklumat yang banyak berkaitannya. Malah ia merupakan seluruh alam yang terhampar amat luas sehingga ke hujungnya. Apabila manusia berdiri di hadapannya akan merasa sangat kagum dan takjub dengan penciptaan yang indah penuh keteraturan. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 5/2806-2807)

Merujuk kepada kalimah enam hari ini yang disebut dalam tempoh penciptaan alam secara umumnya bukanlah merupakan ukuran masa yang sama di dunia seperti yang kita ketahui kerana perkiraan hari di dunia diukur dengan masa yang bersandarkan kepada peredaran bumi itu sendiri sehingga berlaku siang dan malam silih berganti ke atas bumi kecil ini. Hakikatnya bumi hanyalah salah satu daripada planet yang terapung di ruang angkasa dalam alam semesta yang sangat luas. Perkiraan hari itu berlaku selepas terciptanya langit dan bumi dan mendatangkan kemaslahatan kepada kita. Hakikatnya tempoh masa enam hari yang disebutkan dalam al-Quran, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahuinya dan tiada cara untuk kita menentukan dan mengukurnya kerana ukuran masa itu merupakan hari-hari Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran sebagaimana dapat dilihat berkaitan ukuran masa dengan firman Allah SWT dalam ayat 47, Surah al-Haj:

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ ۚ وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Maksudnya: “Mereka menggesamu agar disegerakan azab bagi mereka padahal Allah tidak akan memungkiri janji-Nya itu dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu menyamai seribu tahun dalam kiraan kamu”

(Surah al-Hajj: 47)

Bahkan perkataan enam itu sendiri boleh dinisbahkan dengan pelbagai maksud sama ada enam fasa, enam peringkat atau enam tempoh masa, yang hanya di bawah pengetahuan Allah SWT sahaja dan pastinya tidak menyamai dengan masa di dunia. Ia merupakan antara perkara-perkara ghaib Allah dan tiada sebarang medium untuk menentukannya. Ia hanya merupakan ungkapan dalam menentukan pentadbiran dan penentuan dalam penciptaannya seiring dengan hikmah dan pengetahuan Allah SWT. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 5/2806-2807)

Hikmah Menjauhi Perangai Tergesa-gesa

Dalam Tafsir al-Bayan, disebutkan bahawa Jika seseorang bertanya, “Mengapakah Allah SWT tidak menciptakan langit dan bumi secara sekelip mata? Bukankah itu akan lebih menunjukkan kekuasaan-Nya?” Barangkali ini merupakan persoalan yang bermain dalam sebahagian minda sebahagian manusia, khususnya pada zaman moden. Kecepatan menjadi kayu ukur bagi kualiti keseluruhan, tanpa menyedari bahawa suatu perkara yang berlaku secara beransur-ansur lebih ‘nikmat’ untuk direnungi kerana mempunyai banyak hikmat dan kecantikan. Inilah salah satu tujuan dan hikmah yang Allah SWT letakkan dalam penciptaan langit, bumi, dan pentadbirannya dan penciptaan manusia secara berperingkat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/330)

Ibn ‘Asyur menyatakan bahawa kebijaksanaan Allah SWT boleh dilihat dalam kejadian bumi dan langit secara beransur-ansur, apabila segala yang berada dalam alam ini wujud secara tawallud (daripada satu mewujudkan yang lain secara satu persatu). Ini akan menzahirkan sifat kecekapan pada pembuatan itu sendiri berbanding dengan kaedah sekelip mata. Benar, mengikut Kudrat Allah SWT, Dia boleh menciptakan dengan serta merta tetapi manifestasi ilmu dan kebijaksanaan-Nya akan lebih dihargai dan diteliti dengan kaedah beransur-ansur.  (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 8/161)

Sebagai refleksi, manusia hendaklah memerhatikan kejadian alam ini dengan penuh minat dan teliti supaya kebesaran dan keagungan Allah SWT pada penciptaan itu dapat dirasai dengan baik. Selain itu, manusia juga hendaklah ‘meniru’ gaya pentadbiran Allah SWT dengan melakukan suatu perkara berdasarkan ilmu pengetahuan, perancangan, ketekunan, sabar, dan berwaspada. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda kepada al-Asyaj Abdul Qais R.A:

إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam dirimu itu ada dua sikap yang dicintai Allah, iaitu lemah lembut dan cermat dalam tindakan.”

Riwayat Muslim (25)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply